TANAK nasi mudah tetapi boleh juga menjadi rumit apabila nasi menjadi mentah.
TANAK nasi mudah tetapi boleh juga menjadi rumit apabila nasi menjadi mentah.
Nurul Husna Mahmud

Kemahiran memasak yang pertama sering diajar ialah cara menanak nasi. Ia menjadi lebih mudah apabila menggunakan periuk nasi elektrik.

Berbanding nasi yang ditanak menggunakan kaedah tradisional iaitu dapur kayu api, anda perlu tahu cara kawalan api supaya nasi yang terhasil elok dan tidak mentah. Jika api atau suhu terlalu tinggi, nasi mudah menjadi kering atau mentah.

Selain tahu kendalikan api, mereka yang menanak nasi juga perlu tahu sukatan air dengan kuantiti beras. Sukatan adalah berbeza untuk jenis beras yang digunakan.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis beras yang mempunyai kaedah tersendiri penyediaannya. Beras basmathi umpamanya, perlu direndam terlebih dahulu sebelum dimasak supaya beras 'memanjang' dengan baik selain jumlah air yang lebih banyak berbanding penggunaan beras biasa.

Meskipun menanak nasi adalah tugas mudah berbanding penyediaan lauk, tetapi ada ketika hasilnya mentah.

Terutama dalam penyediaan nasi berperisa seperti nasi tomato, nasi beriani atau nasi lemak, dikatakan masalah nasi mentah serta lembik lebih mudah berlaku meskipun memasak dalam periuk nasi elektrik.

Bagi mengelakkan nasi mentah atau lembik itu terbuang begitu sahaja, dikongsikan beberapa tip diamalkan orang dahulu bagi untuk 'selamatkan' semula nasi yang mentah.

1.Menggunakan periuk kukus

Kaedah ini paling mudah dan selamat jika nasi ditanak terlalu kering atau mentah. Dalam nasi mentah, biasanya bahagian paling atas yang kerap mengalami masalah ini.

Caranya, asingkan terlebih dahulu bahagian yang masak dan mentah. Sediakan dulu periuk kukus sebelum bahagian mentah tadi diletakkan dalam bekas berjaring.

Kukus sehingga masak iaitu kira-kira 20 minit sebelum boleh dimakan. Boleh lakukan kaedah sama pada nasi berperisa.

GUNAKAN periuk pengukus.
GUNAKAN periuk pengukus.

2. Menggunakan kaedah mangkuk kecil yang berisi air

Konsep sama seperti dalam penggunaan periuk kukus, tetapi kaedahnya lebih mudah apabila meletakkan mangkuk kecil berisi air di tengah-tengah.

Tip penting menggunakan kaedah ini ialah air isian mangkuk terbabit perlu menggunakan air panas. Biarkan nasi dikelilingnya dan tutup rapat-rapat periuk nasi terbabit.

Masak atas api perlahan dan bagi penggunaan periuk elektrik, laras semula butang memasak. Nasi itu akan masak dengan elok.

3. Renjiskan air dalam nasi mentah

Tip ketiga ini ada dua kaedah yang boleh dicuba pertama, renjis menggunakan air biasa dan kedua, menggunakan air garam.

Selepas merenjis, tutup semula peutup periuk nasi dengan plastik pembalut makanan atau kain bersih. Biarkan beberapa ketika sehingga nasi masak.

Jika menggunakan kaedah merenjis air garam, nasi itu perlu digaul dan tutup periuk semula. Biarkan ia masak untuk beberapa ketika.

TELUR antara kaedah unik digunakan orang terdahulu untuk mengatasi masalah nasi mentah.
TELUR antara kaedah unik digunakan orang terdahulu untuk mengatasi masalah nasi mentah.

4. Menggunakan telur

Kaedah ini agak unik kerana dikatakan apabila telur dimasak dalam nasi mentah, tekstur nasi juga menjadi baik.

Caranya adalah dengan menggunakan telur (dua hingga lima biji bergantung kepada kuantiti nasi yang ditanak).

Telur tadi diletakkan antara nasi yang mentah dan tanak semula nasi berkenaan. Nasi menjadi elok apabila telur tadi masak.

Malah kaedah ini juga digunakan untuk 'menyelamatkan' nasi yang lembik. Apabila telur masak, nasi dikatakan mengering atau 'menggebu' dengan elok.

Bagaimanapun, sebelum meletakkan telur dalam nasi yang mentah, ia perlu dicuci sebersih-bersihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:30 AM