BUJIN (dua dari kanan) ketika mempromosikan batik Malaysia di Cape Town, Afrika Selatan.
BUJIN (dua dari kanan) ketika mempromosikan batik Malaysia di Cape Town, Afrika Selatan.
Hafiz Ithnin

"Kalau belah kulit saya mungkin yang keluar juga adalah batik!," seloroh pemuda ini kepada penulis yang membayangkan kesungguhannya dalam seni lukis dan fesyen itu.

Jika ditanya dalam kalangan pemain industri, jenama Bujin bukan suatu yang asing kerana sentuhannya sentiasa mendapat perhatian golongan kenamaan termasuk kerabat diraja.

Namun, di sebalik kejayaan itu, mungkin ramai tidak tahu bahawa pemuda berusia 32 tahun ini melalui pelbagai cabaran sejak remaja sebelum mampu berada di tahap sekarang.

"Saya mengenal batik sejak kanak-kanak. Ketika berusia 15 tahun saya sudah mula bekerja sebagai pelukis batik dan tidak tinggal bersama keluarga kerana mahu lebih berdikari.

"Ketika itu, ibu saya, Azizah Abdul Wahab adalah penjual batik dan ayah, Mat Kashim Mahamad, guru seni lukisan di sekolah. Jadi, minat dan bakat itu sudah ada sejak kecil," kata pemilik nama sebenar Amir Harith ini.

Malah, Bujin sejak bangku sekolah sentiasa membina kejayaan dalam pelbagai pertandingan seni lukis.

Bersandarkan itu, dia pernah mendapat tawaran dari sebuah universiti swasta tempatan untuk menjadikannya sebagai pelajar termuda kerana kemampuannya mencipta nama dalam seni lukisan di peringkat dunia.

ANTARA sentuhan unik Bujin.
ANTARA sentuhan unik Bujin.

"Bagaimanapun, saya tidak mengikuti kursus di universiti itu kerana tiada wang yang cukup. Jadi, saya menyambung pelajaran di Institut Kraf Negara (IKN). Hanya di peringkat diploma.

"Ketika di IKN, saya mula berjinak-jinak untuk menyertai pelbagai pertandingan lukisan dan fesyen batik kerana saya melihat ia sebagai platform untuk mengukur sejauh mana keupayaan diri," katanya.

Antara pertandingan yang paling berprestij dalam kalangan pemain industri batik tempatan, pastinya Piala Seri Endon.

Dari 2008 sehingga 2017, Bujin menyertai pertandingan itu sehingga namanya dijulang sebagai juara pada 2012.

Bujin berkata, tatkala ramai rakan lain mengumpul duit untuk membeli barangan peribadi, dia mengikat perut untuk sentiasa bersedia menyiapkan koleksi menyertai pertandingan.

"Menyertai pertandingan bukan suatu kos yang murah. Memang ada tajaan daripada IKN, tetapi kita sebagai peserta perlu ada wang simpanan sendiri.

"Boleh katakan saya begitu taasub untuk menyertai pertandingan kerana hanya dengan cara itu kita dapat melihat keupayaan seni batik dan fesyen sentuhan peribadi di mata orang lain," katanya.

Ketika menyertai Piala Seri Endon, namanya sentiasa tersenarai dalam 10 terbaik dan bermula dari itu, jenamanya mendapat perhatian ramai.

Katanya, ketika mula mencipta nama dengan mendapat kepercayaan pelanggan, dia diuji sekali lagi apabila mengalami masalah kesihatan.

"Tujuh bulan saya tidak boleh berjalan sekitar 2013 hingga 2014. Ketika itu, saya memang hampir putus asa kerana sebagai pelukis batik kita perlu berdiri untuk berkarya.

BERSAMA ibu meraikan kejayaan antara yang sukar dilupakan.
BERSAMA ibu meraikan kejayaan antara yang sukar dilupakan.

"Tetapi, saya tidak mengalah dan terus membina semangat dengan niat untuk tinggal bersama ibu apabila sihat memandangkan sejak remaja saya tidak tinggal dengannya," katanya.

Selepas sihat, dia membuat keputusan untuk mempunyai kilang batik di Kota Bahru dan ia berhasil. Malah, mula menyusun pelbagai strategi untuk menaikkan semula jenamanya, termasuk mempunyai akademi sendiri.

"Walaupun saya dan anak didik saya sehingga hari ini mampu meraih pelbagai kejuaraan dalam seni lukis serta fesyen batik, namun saya belum puas.

"Bagi saya, bukan melahirkan usahawan atau pereka batik, tetapi pencinta batik kerana ia adalah khazanah kita yang perlu dipelihara," katanya.

Bercerita mengenai motif batik sentuhannya, Bujin berkata, dia suka berimaginasi mengenai sesuatu untuk masa depan.

"Setiap karya saya bersifat masa depan dan diilhamkan menerusi perkara yang berlaku di sekeliling saya. Malah, motif itu juga boleh mengangkat dan memberi aura kepada si pemakainya," katanya yang dijulang sebagai pemenang dalam Pertandingan Rekaan Batik Malaysia 2020.

Selain itu, hasil sentuhan Bujin, rekaannya sentiasa mendapat perhatian di media sosial dan dalam berkarya dia tidak pernah takut untuk meluahkan ideanya.

Katanya, perkara paling teruja apabila perniagaan mendapat bimbingan daripada usahawan dari Amerika Syarikat, Taufiq Hussein yang sering membantu dalam mengembangkan perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:00 AM