BUJIN mahu  mengetengahkan identiti Malaysia di mata dunia menerusi batik bermotif bunga raya. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim
BUJIN mahu mengetengahkan identiti Malaysia di mata dunia menerusi batik bermotif bunga raya. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim
Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan rasa cinta dan semangat patriotisme terhadap negara.

Bagi pereka batik, Amir Harith Mat Kashim, 32, atau lebih dikenali sebagai Bujin banyak menghasilkan pelbagai rekaan eksklusif dan unik termasuk motif bunga raya untuk menonjolkan identiti Malaysia di mata dunia.

Dalam industri batik, Bujin cukup dikenali kerana pernah menerima anugerah Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014 serta Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009.

Kini, dianggarkan lebih 1,000 rekaan batik dengan bunga raya sudah berjaya dihasilkan sama ada untuk pertandingan dan komersial.

Lebih menarik, setiap tahun, Bujin pasti akan menghasilkan rekaan batik sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Bujin berkata, bunga raya memiliki keunikan tersendiri untuk diketengahkan sebagai identiti Malaysia.

Katanya, menerusi motif itu, beliau gemar menampilkan kelainan dengan mencampurkannya dengan olahan nombor binari, geometri dan sebagainya.

ANTARA batik motif bunga raya yang dihasilkan Bujin. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim
ANTARA batik motif bunga raya yang dihasilkan Bujin. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim

"Saya suka tampilkan sesuatu yang unik dan berbeza dengan mengolah motif bunga raya yang tidak sama seperti orang yang lain.

"Sebagai contoh, pada 2019, saya berjaya hasilkan motif bunga raya dengan enjin kereta Mercedes dan nombor binari," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai pereka batik, beliau turut berasa bertanggungjawab memperkenalkan Malaysia melalui rekaan batik.

"Apabila ke luar negara, saya kerap membuat demonstrasi penghasilan batik dengan menggunakan motif bunga raya supaya masyarakat luar mengenali batik Malaysia.

"Saya bangga bercerita kepada mereka mengenai keistimewaan bunga ini sehingga menjadi bunga kebangsaan negara kita. Bukan bercerita sahaja, dalam penghasilan rekaan juga saya cuba menghasilkan bunga raya terbaik," katanya.

MOTIF bunga raya sering jadi pilihan. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim
MOTIF bunga raya sering jadi pilihan. FOTO Ihsan Amir Harith Mat Kashim

Menurutnya, pada tahun ini, beliau sudah menyiapkan rekaan bunga kebangsaan untuk sebuah barisan hadapan.

"Selain itu, sempena hari kebangsaan, saya akan membuat demonstrasi penghasilan batik dengan menggunakan motif bunga raya secara dalam talian.

"Pada masa sama, saya juga dijemput menjadi juri pertandingan penghasilan batik dengan tema Malaysiaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:15 AM