BUJINS turut turun padang untuk menghasilkan batik binari berkualiti.
BUJINS turut turun padang untuk menghasilkan batik binari berkualiti.
Muhamaad Razis Ismail


SEBUT saja batik, perkara yang terbayang di minda adalah motif yang biasa dilihat di pasaran termasuk flora, fauna, geometri dan abstrak.

Motif ini menjadi pilihan kepada pengusaha batik berikutan mendapat permintaan tinggi.

Bagaimanapun, bagi pereka batik Amir Harith Mat Kashim atau lebih dikenali sebagai Bujins, mencipta kelainan dengan menghasilkan batik dengan menampilkan motif binari.

Bujins bukan calang-calang individu dalam bidang diceburinya apabila pernah menerima anugerah Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014 serta Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009.

ANTARA batik binari yang dihasilkan.
ANTARA batik binari yang dihasilkan.

Beliau antara individu pertama berjaya menghasilkan produk batik motif binari menggunakan nombor kod sebagai motif batiknya yang mempunyai maksud tersendiri.

Keunikan motif yang ditonjolkan Bujins ini membolehkannya memenangi Pertandingan Rekaan Batik Malaysia pada tahun lalu.

Bujins berkata, idea untuk menghasilkan motif batik itu terhasil daripada usahanya yang mahu mencipta kelainan dalam penghasilan batik.

Katanya, dia sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru sesuai dengan peredaran zaman tanpa mengabaikan identiti batik itu sendiri.

"Saya mengambil masa lima bulan untuk membuat kajian mengenai motif binari ini termasuk mendapatkan maklumat menerusi carian di Internet.

"Selain berjumpa individu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi komunikasi yang biasa menggunakan sistem ini.

"Alhamdulillah usaha saya ini nyata membuakan hasil dan mendapat sambutan menggalakkan," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

SETIAP produk yang dihasilkan mempunyai mesej berbeza.
SETIAP produk yang dihasilkan mempunyai mesej berbeza.

Menurutnya, biarpun menggunakan motif baru, dia tetap menggunakan teknik asas iaitu teknik canting dan tindanan (double boiling) yang diolah dengan cara baru.

"Teknik tindanan ini memerlukan kain batik direbus dua kali untuk menghasilkan kualiti yang baik biarpun mengambil masa dan kos.

"Sebelum itu saya akan buat beberapa lakaran untuk ditunjukkan kepada pelanggan dan selepas mendapat persetujuan lakaran akan dibuat di atas kain.

"Pergerakan nombor perlu seimbang dengan bahagian depan dan belakang selain penggunaan warna yang betul," katanya.

Tambahnya, setiap produk yang dihasilkan adalah berbeza antara satu sama lain kerana nombor digunakan mempunyai mesej tertentu.

"Pada masa sama, ia dihasilkan mengikut karakter si pemakai untuk dipadankan dengan motif binari yang akan dihasilkan.

"Kekemasan susunan nombor binari dan warna juga memberi kesan kepada yang melihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:15 AM