GABUNGAN
GABUNGAN
Nurul Husna Mahmud


Warna memainkan peranan besar dalam tatarias individu dari hujung rambut hingga hujung kaki. Malah warna juga dikatakan mempunyai pesona dapat menyuntik aura berbeza khususnya personaliti dan ia dapat dilakukan dengan padanan busana tertentu.

Kebiasaannya bagi memberi kesan dramatik dan menonjolkan keyakinan diri, seseorang itu akan pilihan busana dengan warna terang jika inginkan tumpuan.

Sejauhmana warna terang itu sesuai sebagai warna 'primer' atau warna utama dalam penampilan busana? Atau sekadar memadai pada kemasan bahagian tertentu sudah mampu melengkapkan gaya individu terbabit?

Menjawab persoalan itu, perunding imej dan warna profesional, Emi Idura Che Hashim berkongsi tip pemilihan warna terang yang betul supaya penampilan individu berkenaan tampak elektik tanpa menenggelamkan personaliti sedia ada.

Kata Emi Idura, seperti dalam terapi kesenian, warna tidak lari dikaitkan dengan elemen emosi seseorang. Ia mampu mempengaruhi keadaan mental atau fizikal individu termasuk orang sekelilingnya.

"Dalam satu kajian menunjukkan bahawa dengan melihat seseorang individu berbaju merah, ia mampu meningkatkan kadar denyutan jantung orang yang melihatnya, menjadikan mereka mudah cemas, rimas, cepat marah dan berasa hangat.

BIASANYA diletakkan pada bahagian ingin menarik tumpuan mata seperti muka.
BIASANYA diletakkan pada bahagian ingin menarik tumpuan mata seperti muka.

"Kajian lain oleh ahli psikologi dari University of Rochester, New York, Amerika Syarikat, Andrew J Elliot pada tahun 2014 juga melihat tanggapan lelaki berbeza kepada wanita yang mengenakan warna merah dan merah jambu.

"Apabila wanita berpakaian merah, lelaki lebih cenderung memikat wanita yang memakai warna itu.

"Lelaki juga suka melihat wanita yang berpakaian merah jambu (hasil dari campuran merah dan putih) kerana ia melambangkan wanita yang mempunyai personaliti lembut, sopan dan feminin," katanya.

Penggunaan warna terang dalam fesyen juga mempunyai peranan tertentu. Ia tergolong dalam warna aksen iaitu warna kepada pelengkap gaya dan kontra ruang.

"Warna terang ini saya kategorikan sebagai warna pelengkap gaya atau kontras pada ruang.

Kebiasaannya warna terang dan menonjol sesuai buat mereka mempunyai personaliti dramatik.

"Ini berbeza dengan warna universal yang mempunyai paras nilai sederhana, sifatnya tidak terlalu cerah atau gelap, tidak terang dan tidak pula terlalu pudar.

WARNA terang pada motif busana menggunakan warna gelap.
WARNA terang pada motif busana menggunakan warna gelap.

"Warna universal selalu menjadi latar atau warna utama bagi memberi keseimbangan dalam penampilan individu," katanya.

Menerang lebih lanjut, kata Emi Idura, terdapat panduan atau peraturan dalam pemilihan warna busana yang ingin digayakan.

"Bagi memberi efek harmoni, dalam penggayaan busana terdapat peraturan dipanggil 'rule 60/30/10.' Penggunaan 60 peratus ialah warna-warna neutral, 30 peratus warna sekunder dan selebihnya 10 peratus barulah warna-warna terang dan efek kontra," katanya.

Mengabaikan peraturan berkenaan, merisikokan individu tampak berlebih-lebihan dalam penggayaan busana mereka. Jika keterlaluan dalam pemilihan warna terang, boleh juga membuatkan individu berkenaan tergolong dalam mangsa fesyen atau 'fashion faux pas' (gelaran diberikan kepada individu membuat kesalahan ketara dalam berfesyen).

Bagi mengelak daripada tergolong dalam kelompok itu, seseorang itu sebaiknya mendapatkan khidmat nasihat terutama perunding imej dan warna dalam pemilihan busana bersesuaian terutama ketika hari penting.

Merujuk konsep padanan warna tepat bagi individu jika dirujuk kepada perunding imej dan warna bertauliah, biasanya mereka akan didedahkan dengan prosedur berikut:

1.Analisa individu berdasarkan palet warna musim masing-masing. (Warna terbahahagi mengikut musim panas, bunga, luruh dan musim sejuk).

Pemilihan warna mengikut musim sesuai kerana boleh memberi impak visual sama ada tampak tua atau muda dan juga ceria atau suram.

2.Pemilihan warna mengikut kesesuaian bahagian atau kedudukan tumpuan utama pandangan. Refleksi warna mampu menaikkan seri wajah atau menyuramkan.

3.Warna terang tidak digunakan pada bahagian tubuh badan yang ingin disembunyikan.Bentuk badan memberi visual kepada kebesaran dan kelebaran bahagian badan tertentu. Contohnya, susuk bentuk epal dan berlian, memiliki bahagian dada dan perut yang besar.

Sementara bentul pir pula lebih menonjol bahagian pinggul. Jad, pemilihan warna terang tidak sewajarnya mendedahkan bahagian berkenaan.

4.Perlu juga mengelak mengenakan warna terang untuk majlis formal dan acara konservatif seperti ke pejabat atau menghadiri majlis adat istiadat seperti jemputan majlis istana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:00 AM