ALAHAN antara cabaran yang terpaksa dilalui wanita bergelar ibu.
ALAHAN antara cabaran yang terpaksa dilalui wanita bergelar ibu.
Muhamaad Razis Ismail


Dalam menempuh tempoh kehamilan, alahan antara cabaran yang terpaksa dilalui wanita bergelar ibu.

Kajian mendapati hampir 80 peratus wanita hamil akan mengalami mual-mual dan muntah di awal kehamilan.

Namun, kurang dari 3.6 peratus wanita yang betul-betul mengalami Hyperemesis gravidarum (HG) yang mana mereka akan mengalami muntah yang teruk, dehidrasi dan penurunan berat badan.

HG adalah alahan yang teruk ketika kehamilan di mana wanita hamil bukan sahaja merasa mual, tetapi mengalami muntah lebih dari tiga kali sehari.

Mereka yang mengandung kembar, mengandung anggur (molar) atau mengandung bayi perempuan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami alahan pada kehamilan ini.

Manakala 20 hingga 30 peratus wanita hamil ini mempunyai ibu atau saudara perempuan yang mengalami masalah sama yang mana faktor genetik dikatakan menjadi punca kepada keadaan ini.

Jenis alahan juga berbeza, sehingga ada dalam kalangan masyarakat melihat wanita hamil seperti mengada-ada dan ingin perhatian suami dan orang terdekat.

Pakar Perunding Kanan Sakit Puan dan Perbidanan, Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata, ada wanita hamil dimasukkan ke wad disebabkan tidak boleh tengok rumah dan tidak boleh pandang muka suami.

"Sekiranya alahan tidak boleh melihat rumah, boleh dinasihatkan supaya pindah sementara waktu ke rumah sewa sehingga fasa muntah-muntah ini berkurangan.

"Bagaimanapun, agak sukar sekiranya alahan tidak boleh lihat muka suami kerana dalam keadaan emosi yang tidak stabil, sokongan daripada pasangan sangat penting.

HAMPIR 80 peratus wanita hamil akan mengalami mual-mual serta muntah.
HAMPIR 80 peratus wanita hamil akan mengalami mual-mual serta muntah.

"Di sini sangat penting sokongan moral daripada keluarga terdekat amat diperlukan sehingga alahan dapat ditangani," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) berkata, sehingga kini masih ramai yang masih menganggap alahan kehamilan adalah plot mengada-ada wanita hamil.

"Hanya mereka yang pernah mengalaminya mungkin memahami perasaan wanita lain berdepan alahan kehamilan.

"Ia sukar dijelaskan fakta sains buat masa ini, namun tidak harus dipandang remeh kerana adakalanya ia boleh menyebabkan berlakunya keadaan lebih serius yang boleh membawa padah kepada wanita serta bayi yang dikandung," katanya.

Mengulas lanjut, punca sebenar berlakunya alahan belum dapat dipastikan dengan tepat.

"Peningkatan hormon fl-hCG dalam badan ketika trimester pertama dikatakan menjadi punca mual dan muntah ini. Wanita yang mengandung anak kembar dan mengandung anggur (molar) dikatakan mempunyai kadar fl-hCG yang sangat tinggi.

"Paras hormon progesteron yang tinggi juga menyebabkan pencerut di bahagian perut longgar menyebabkan berlaku refluks ketika kehamilan dan ini memburukkan lagi keadaan. Faktor psikomotor seseorang wanita itu juga dikatakan menjadi punca berlaku HG ini," katanya.

Beliau berkata, alahan teruk yang tidak dirawat boleh menjejaskan kesihatan wanita hamil dan bayi yang dikandung.

"Muntah yang teruk boleh menyebabkan kekurangan nutrisi kepada wanita itu termasuk kekurangan vitamin B1 (thiamin), vitamin K serta garam galian potassium.

DR Nur Azurah
DR Nur Azurah

"Ia juga boleh menyebabkan luka dalam salur pemakanan (esophagus) yang mana akan berlaku pendarahan dikenali sebagai Sindrom Mallory-Weiss.

"Mereka yang mengalami HG dikatakan lebih cenderung melahirkan bayi pramatang dan mempunyai berat yang lebih rendah. Mereka juga dikatakan lebih berisiko mengalami darah tinggi (pre-eclampsia) dan lekang uri (abruptio placenta)," katanya.

Tambahnya, wanita hamil yang mengalami alahan teruk perlu diberi hidrasi mencukupi bagi menampung kekurangan air dalam badan. Selain menggantikan garam galian yang hilang dalam badan.

"Selain itu, ubat tahan muntah akan dapat mengelak mereka daripada terus muntah. Pengambilan halia serta vitamin B1 dan B6 dapat mengurangkan rasa mual.

"Bagi mereka yang tidak mendapat tindak balas pada rawatan di atas, penggunaan ubat steroid dapat membantu mengurangkan gejala muntah ini," katanya.

Bagi mengurangkan alahan, wanita hamil perlu mengenal pasti punca rangsangan mual atau muntah supaya ia dapat dielakkan.

"Mereka juga digalakkan kerap minum dan elakkan makanan berminyak atau pedas.

"Acupressure juga dapat membantu mengurangkan rasa loya serta muntah. Kajian yang dilakukan menunjukkan memakai 'acupressure band' pada titik tekanan di P6 dapat mengurangkan penggunaan ubatan dan mempercepatkan kadar pemulihan dalam wanita hamil ini," katanya.

Dr Nur Azurah berkata, setiap wanita akan melalui pengalaman yang berbeza untuk setiap kehamilan.

"Wanita hamil perlu mempunyai minda yang positif. Sentiasa menjaga pemakanan dan kekal aktif demi kebaikan diri serta anak yang dikandung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:10 AM