ANTARA senaman yoga ringan yang boleh dilakukan ibu hamil.
ANTARA senaman yoga ringan yang boleh dilakukan ibu hamil.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DIANGGARKAN seorang daripada dua wanita akan merasai sedikit sakit belakang ketika hamil manakala seorang daripada empat wanita pula akan mengalami sakit belakang selepas bersalin.

Risiko untuk mengalami sakit belakang yang berkaitan dengan kehamilan meningkat mengikut usia seseorang ibu dan bilangan kelahiran sebelumnya.

Selain itu, berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai sejarah sakit belakang pada kehamilan sebelumnya juga memainkan peranan.

Jika ibu hamil kerap mengangkat barangan berat, membongkok dan mempunyai sejarah sakit belakang, ia juga meningkatkan risiko sakit pinggang ketika kehamilan.

Pakar Orthopedik Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Kamalnizat Ibrahim berkata, antara punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil adalah disebabkan perubahan hormon.

Ini kerana seawal trimester pertama, perubahan hormon akan mengendurkan ligamen yang menyokong tulang belakang dan pelvis.

Kata Dr Kamalnizat, walaupun pada minggu ke-10 atau ke-11 dan perut wanita hamil masih tidak kelihatan seperti sedang hamil, ligamen mereka akan mula mengembang.

Katanya, semakin janin membesar, terdapat peralihan pada pusat graviti yang meningkatkan tekanan pada bahagian bawah tulang belakang ibu yang hamil.

"Selain itu, sakit belakang yang dialami wanita hamil juga disebabkan perubahan pusat graviti dan postur.

"Ada kes, kehamilan boleh menjejaskan postur menyebabkan sesetengahnya membulat pertengahan ke atas belakang ke hadapan, dipanggil kyphosis kerana payudara juga membesar ketika kehamilan dan selepas bersalin.

REGANGAN secara duduk.
REGANGAN secara duduk.

"Ia menyebabkan ketidakselesaan di bahagian tengah belakang atau leher dan pada masa sama rahim yang mengembang menegangkan otot lantai perut dan pelvis," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Kamalnizat berkata, sakit belakang ketika kehamilan akan hilang dalam tempoh enam hingga 12 minggu selepas kelahiran.

Katanya, masalah penambahan berat badan juga tanpa disedari akan mengganggu postur asal ketika menunduk dan membongkok.

"Berat badan yang berlebihan juga menyebabkan beban kepada otot dan tulang belakang yang akan mencetuskan ketidakselesaan.

"Turut menjadi punca, faktor gangguan emosi kerana tekanan emosi juga menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan," katanya.

DR Kamalnizat
DR Kamalnizat

Tambah Dr Kamalnizat lagi, wanita hamil yang mempunyai sejarah sakit belakang seperti 'slipped disc' (cakera teranjak), 'piriformis syndrome,' 'coccydinia' dan 'Sacroiliac Joint Dysfunction' juga biasanya akan mengalami masalah sakit belakang ketika hamil.

Namun kata beliau, semua masalah itu boleh diatasi dan tidak bermakna wanita yang menghidapinya tidak boleh hamil.

Dr Kamalnizat berkata, wanita disarankan melakukan senaman ringan secara konsisten jika merancang untuk hamil.

TALI pinggang khas untuk wanita hamil yang dapat membantu mengurangkan sakit belakang.
TALI pinggang khas untuk wanita hamil yang dapat membantu mengurangkan sakit belakang.

Katanya, jika tidak pernah bersenam sebelum hamil, tanya doktor jika anda boleh bersenam.

"Jika seseorang wanita itu tidak berada pada tahap kesakitan yang tinggi dan mereka tidak terbabit dalam program senaman, saya menggalakkan mereka sekurang-kurangnya melakukan beberapa tahap senaman aerobik, walaupun ia hanya berjalan.

"Berenang atau bersenam di kolam mandi, berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20 hingga 30 minit sehari juga adalah senaman yang digalakkan kerana dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang sepanjang tempoh kehamilan," katanya.

CARA menyusukan bayi untuk mengurangkan sakit belakang.
CARA menyusukan bayi untuk mengurangkan sakit belakang.

Dalam pada itu, Dr Kamalnizat turut memberi beberapa panduan untuk mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika hamil.

Jelas Dr Kamalnizat, setiap wanita hamil mempunyai risiko untuk mengalamai kesakitan tulang belakang dan ia biasanya berlaku pada usia kandungan antara lima hingga tujuh bulan atau lebih awal.

"Anda juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk memakai tali pinggang sokongan bersalin.

"Walaupun penyelidikan mengenai keberkesanan tali pinggang sokongan bersalin adalah terhad, sesetengah wanita mendapati ia adalah sokongan tambahan yang membantu," katanya.

Bagi mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika mengandung, wanita hamil juga perlu memantau peningkatan berat badan dengan mengamalkan diet sihat dan mendapatkan nasihat daripada pakar obstetrik-ginekologi untuk memastikan berat badan yang ideal sepanjang tempoh kehamilan.

Dr Kamalnizat berkata, senaman ringan atau regangan yang konsisten juga dapat membantu mengurangkan sakit belakang wanita hamil.

Kata beliau, ibu hamil boleh melakukan regangan yang mudah dari 'yoga pose' di rumah seperti 'Child Pose Yoya 1', 'Child Pose Yoga 2', 'Seated

Piriformis Stretch' dan 'Standing Hamstring Stretch'.

Amalkan juga postur yang baik kerana apabila bayi membesar, pusat graviti akan beralih ke hadapan.

"Untuk mengelakkan terjatuh ke hadapan, anda mungkin mengimbangi dengan bersandar ke belakang, ia membantu menegangkan otot di bahagian bawah belakang dan menyumbang kepada sakit belakang ketika kehamilan

"Oleh itu, pastikan penjagaan postur yang baik, amalkan postur dengan kaedah ergonomik ketika duduk atau berdiri untuk membantu meringankan beban pada pinggang.

"Tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan yang diletakkan antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan juga disarankan ketika mengandung," katanya.

Sementara itu, Dr Kamalnizat berkata, penggunaan tali pinggang ibu hamil juga dapat membantu dalam memberikan postur yang lebih baik.

Selain itu, pemakaian kasut yang sesuai juga penting dalam menampung berat badan ketika kehamilan.

Elakkan memakai kasut tumit tinggi kerana ia boleh menjejaskan lagi postur ketika hamil.

Dr Kamalnizat berkata, tekanan juga perlu dielakkan dan sentiasa berkongsi masalah dengan orang tersayang kerana ia dapat mengurangkan stres ketika hamil.

"Pengurusan tekanan ketika hamil juga mempunyai kelebihannya dari segi fizikal dan emosi.

"Urutan, meletakkan pad panas (hot pads) pada pinggang dan melebihkan rehat juga adalah kaedah yang ideal untuk mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang," katanya.

Menurut Dr Kamalnizat, secara amnya, sakit belakang ketika hamil bukan sesuatu yang sepatutnya dianggap normal.

Ibu hamil perlu berusaha untuk mencegah atau merawat masalah sakit belakang ketika hamil.

"Sekiranya anda mengalami masalah sakit belakang yang teruk lebih dari tempoh dua minggu, segera berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:00 AM