BAJU kurung turut mengalami inovasi.
BAJU kurung turut mengalami inovasi.
Hafiz Ithnin

Perkembangan fesyen sememangnya tidak lari daripada pengaruh persekitaran selain menjadi arus yang sering berputar mengikut selera pereka fesyen dan si pemakai.

Pereka Persatuan Pereka Bumiputera (BDA), Bon Zainal Harun atau Bon Zainal, melihat perkembangan fesyen di negara ini begitu 'dramatik' bukan sahaja dipengaruhi idea pereka fesyen, malah pengguna sendiri.

Jelas graduan dari School of Fashion & Merchandising di Los Angeles, Amerika Syarikat itu, apabila ingin bercakap mengenai perubahan fesyen tempatan, ia begitu luas.

"Perkara paling mudah untuk kita katakan ialah setiap rekaan pakaian tradisional kita seperti baju melayu, baju kurung atau kebaya mempunyai maksud dan praktikal yang tersendiri.

"Disebabkan itu, walaupun berlaku perubahan zaman, pakaian tradisional ini masih malar segar dan menjadi identiti rakyat kita dari pandangan masyarakat luar," katanya.

Jelasnya, pakaian tradisional tempatan menjadi kemegahan sejak zaman kesultanan Melayu dan ia mempunyai etika dalam pemakaian.

"Dalam kajian busana tradisional, contohnya pemakaian selendang walaupun dilihat sesuatu yang santai tetapi ia mendedahkan status wanita berkenaan sama ada anak dara, janda atau ibu.

"Jadi, walaupun kita sudah melalui arus teknologi yang rancak, elemen pemakaian busana tradisional ini perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang sepi," katanya.

Bon Zainal berkata, evolusi pemakaian tempatan dari tradisional mula dipengaruhi elemen barat khasnya ketika zaman penjajahan.

Katanya, ketika itu, penjajah bukan sekadar ingin menjajah hasil bumi tempatan tetapi turut membawa ideologi mereka untuk disebarkan kepada kita.

"Ketika itu, arus fesyen tidak sehebat seperti sekarang yang boleh dirujuk menerusi Internet atau media sosial tetapi ia dibawa pengaruh luar termasuk pedagang," katanya.

MARILYN Monroe antara bintang Hollywood yang membawa pengaruh dalam industri fesyen dunia.
MARILYN Monroe antara bintang Hollywood yang membawa pengaruh dalam industri fesyen dunia.

Tambahnya, pemakaian masyarakat tempatan mula berubah secara agresif apabila munculnya filem di negara ini.

"Jika kita lihat seperti kegemilangan studio di Jalan Ampas, Singapura, pemakaian busana aktor sudah membawa perubahan dalam masyarakat pada sekitar 50-an.

"Malah ketika itu, kita boleh lihat mereka memakai pakaian yang mempunyai pengaruh barat di mana lelaki lebih memilih untuk mengenakan kemeja dan berseluar slack. Manakala wanita pula sudah ada mengenakan skirt kembang," katanya.

Tambahnya, lebih agresif apabila masuk era 70-an iaitu kita boleh lihat pemakaian yang mempunyai pengaruh Hollywood mula menjadi ikutan selebriti tempatan.

"Maka, peminat-peminat selebriti tempatan akan meniru gaya artis kesayangan mereka. Namun, ia masih dipengaruhi media tradisional seperti televisyen, surat khabar dan majalah.

"Kalau kita lihat pada era itu, masyarakat sudah berani mengenakan jaket besar, seluar slack yang mempunyai potongan kaki besar dan juga baju kemeja yang lebih berwarna warni kerana pengaruh perkembangan hippies di luar negara," katanya.

Bon berkata, dalam era 90-an apabila munculnya kepesatan Internet, masyarakat sudah mula mencari fesyen yang serasi dengan identiti masing-masing.

"Ketika ini, saya lihat sudah berlaku suai padan dalam pemakaian kerana mereka tidak lagi mengikut idea yang digerakkan pereka fesyen semata-mata.

"Pengguna sudah mempunyai platform rujukan dalam fesyen yang lebih luas sesuai dengan keinginan peribadi," katanya.

Tambahnya, bermula tahun 2000, pelbagai media sosial muncul dan ia menjadi persaingan hebat antara idea pereka fesyen dan juga kehendak pengguna.

FESYEN berhijab yang semakin berkembang.
FESYEN berhijab yang semakin berkembang.

"Jika dahulu pereka fesyen yang mengaturkan gaya tetapi apabila kemunculan media sosial, berlaku sebaliknya iaitu pereka fesyen perlu peka dengan kehendak fesyen masyarakat.

"Bagaimanapun, menjadi keresahan kepada pejuang pakaian tradisional apabila busana itu juga terkena tempiasnya apabila terdapat segelintir yang melakukan inovasi keterlaluan," katanya.

Menariknya dalam arus fesyen tempatan ketika ini ialah pemakaian sopan mula menjadi perhatian pengguna dan juga pereka fesyen.

"Malah dalam membentuk fesyen bagi wanita berhijab juga semakin berkembang dan tidak keterlaluan untuk saya katakan masyarakat Malaysia adalah perintis dalam membentuk gaya wanita bertudung di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 9:44 AM