PEMBAWAKAN diri dan identiti yang dapat menaikkan aura dalam berpakaian (gambar hiasan).
PEMBAWAKAN diri dan identiti yang dapat menaikkan aura dalam berpakaian (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin

JIKA sebelum ini apabila tibanya Aidilfitri pasti keriangan disambut dengan busana baru dan pelbagai fesyen digayakan.

Apatah lagi, dalam era sosial media ini, gaya baharu dan terkini menjadi tumpuan untuk dimuat naik si pemiliknya.

Bagaimanapun, memandangkan Aidilfitri tahun ini berpusing 180 darjah senarionya akibat tamparan pandemik Covid-19, ia mungkin menyebabkan sesetengah daripada kita tidak lagi merasakan kemeriahan menyambut perayaan itu pada tahun ini terutama untuk membeli baju raya baharu.

Mana tidaknya, mungkin ramai antara kita tidak dapat pulang kampung halaman masing-masing kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilanjutkan menyebabkan ada antara kita tidak dapat melepasi sempadan negeri.

Kita perlu akur demi memastikan peperangan kita sebagai rakyat Malaysia melawan pandemik Covid-19 tidak kalah.

Perunding fesyen, Faizal Hamid berkata, meskipun senario itu berlaku ia tidak semestinya menjadikan penampilan seseorang itu di pagi raya tidak tampak anggun seperti sebelum ini.

Malah, ini masa terbaik untuk menjadikan seseorang itu lebih kreatif dalam mengayakan busana yang mereka miliki.

Beliau berkata, bagi mereka yang merasakan tiada mood untuk membeli busana baru boleh memadankan busana lama dimiliki mereka pada Aidilfitri tahun ini.

BAGI mereka yang tidak mempunyai keinginan untuk membeli baju raya jangan hilangkan mood raya kerana perlu lebih kreatif dalam bergaya pada 1 Syawal (gambar hiasan).
BAGI mereka yang tidak mempunyai keinginan untuk membeli baju raya jangan hilangkan mood raya kerana perlu lebih kreatif dalam bergaya pada 1 Syawal (gambar hiasan).

Lebih indah, jika busana itu ditukar pakai adik-beradik atau anak saudara.

"Selalunya apabila kita bercakap mengenai busana Aidilfitri, selalunya orang akan memilih pakaian yang paling cantik untuk diri mereka di pagi raya kerana hari raya pertama aktiviti mengunjung rumah sanak saudara menjadi pilihan utama.

"Namun, dalam keadaan sekarang aktiviti mengunjungi tidak dapat dilakukan. Saya ingatkan jangan kecewa kerana dalam keadaan ini anda seharusnya menjadi individu yang bijak untuk mengolah kreativiti dalam berfesyen jika tidak mahu membeli busana baru," katanya.

Perunding itu berkata, biasanya pakaian Aidilfitri jarang sekali dipakai secara basahan kerana lebih eksklusif dan tidak ada salahnya jika dapat 'dikitar' semula dengan memberi peluang kepada individu yang dirasakan dapat 'membawa roh' busana milik mereka untuk memadankannya pada hari raya kali ini.

"Mungkin ada adik-beradik atau anak-anak saudara yang muat memakai pakaian anda dan busana mereka juga anda muat. Apa kata, tukarkan sahaja gaya masing-masing pada kali ini supaya anda nampak sedikit kelainan.

"Mungkin sebelum ini anda kelihatan sudah biasa berbaju kurung moden dan adik perempuan berkebaya labuh, tukarkan sahaja. Pasti imej kebiasaan itu berubah pada Aidilfitri kali ini, terutama apabila untuk dimuat naik di media sosial," katanya.

Faizal berkata, aktiviti bertukar pakaian itu juga sebenarnya satu konsep yang boleh mendidik jiwa untuk mereka yang gemar berfesyen supaya tidak melakukan pembaziran dalam memiliki koleksi pakaian.

"Tidak ada salahnya menyarung pakaian adik-beradik atau sanak saudara yang lain kerana ia dapat menjadikan kita lebih dekat antara satu sama lain dalam berfesyen. Bukankah perayaan itu adalah untuk menjadikan kita lebih sejiwa dan menghargai antara satu sama lain?

"Selain itu, tidak memiliki pakaian baru juga dapat menyelamatkan daripada pembaziran dalam berfesyen memandangkan isu pakaian yang terbuang begitu sahaja kini menjadi perbualan hangat di peringkat global," katanya.

SEKIRANYA terdapat koleksi baju raya tahun lalu yang masih elok boleh bertukar dengan orang tersayang (gambar hiasan).
SEKIRANYA terdapat koleksi baju raya tahun lalu yang masih elok boleh bertukar dengan orang tersayang (gambar hiasan).

Jelasnya lagi, dalam keadaan PKPB ini juga kelihatan ada individu yang terpaksa mengikat perut kerana hilang punca pendapatan dan dengan adanya aktiviti 'mengitar semula' itu dapat menjadikan orang ramai menjimatkan kos daripada berbelanja untuk kelangsungan hidup selepas ini.

"Bukan ertinya saya menolak untuk mereka tidak langsung membeli pakaian baharu pada tahun ini kerana industri fesyen juga antara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang perlu dibangunkan pemain industri dengan begitu gigih selepas ini,"katanya.

Katanya, realiti dalam dunia fesyen ialah pakaian bukan faktor utama menjadikan anda tampak hebat, tetapi identiti anda yang mampu menjadikan pakaian itu hebat.

"Jika kita bijak memadankan sesuatu pakaian lama itu dengan kreatif seperti menambah ciri-ciri aksesori dan mekap, baju kurung lusuh juga mampu nampak begitu mahal kerana wujud elemen klasik apabila disarungkan.

"Disebabkan itu, kita jangan melihat pakaian adalah segala-galanya untuk menampilkan kita tampak cantik di mata orang lain kerana kreativiti dalam memadankannya mampu menjadikan anda lebih nampak bijak dalam memakai sebarang pakaian," katanya.

Tambahnya, bersederhana dalam berfeysen ketika musim PKPB ini juga antara langkah yang boleh menonjolkan orang ramai lebih menghargai golongan yang perlu bertugas di barisan hadapan dan tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.

"Ertinya, orang ramai juga dapat menunjukkan mereka bersatu hati menyokong barisan hadapan dengan menyemai sifat sederhana ketika berfesyen dalam menyambut Aidilfitri kali ini.

"Tidak salah juga kalau kita dapat menonjolkan busana yang mempunyai rona biru dan memuat naik di media sosial pada hari raya pertama yang menunjukkan sokongan kepada mereka memandangkan warna itu begitu sinonim dengan barisan hadapan," katanya.

FAIZAL
FAIZAL

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 7:00 AM