Shazril dan isteri, Azura Abas
Shazril dan isteri, Azura Abas

Kuala Lumpur: Pengacara dan pempengaruh, Dr Say Shazril berkongsi mengenai kejutan yang diterimanya, apabila menerima hadiah serta kad daripada wanita misteri, yang memperkenalkan diri sebagai isterinya.

Dalam hantarannya di Instagram, Shazril berkongsi mengenai hadiah yang diterima daripada wanita bernama Ayu itu.

"Sebelum ni saya bersungguh-sungguh bagi nasihat perhubungan, tapi saya hanyalah manusia biasa yang tak lari dari mempunyai nafsu, mahu cuba seseorang yang baharu, mahu rasa berdebar-debar apabila baru bercinta.

"Kisahnya hari ini (semalam), isteri terima satu bungkusan dengan nama saya di klinik. Sebenarnya dah agak lama bungkusan tu sampai tapi hari ini baru tergerak hati isteri nak buka bungkusan tu.

"Luaran bungkusan cukup istimewa, ada belon "I Love You". Bila isteri buka bungkusan itu, ada bunga ros yang separa layu, patung beruang dan coklat kegemaran saya," tulisnya.

Kad bersama gambar dikirimkan wanita bernama Ayu
Kad bersama gambar dikirimkan wanita bernama Ayu

Tambahnya, hadiah itu juga menjadi punca pertanyaan daripada isterinya.

"Di samping itu ada sekeping kad yang luarannya tertulis 'February Bloom'. Apabila kad 'February Bloom' itu dibuka, saya kantoi teruk!

"Dalam kad tertulis 'Kepada Dr Say Shazril, saya rindukan awak, suamiku. Selamat menyambut Ramadan, dari isterimu, Ayu' disertakan sekali gambarnya di tepi. Cukup manis orangnya.

"Apa lagi, terus isteri saya WhatsApp saya, 'Siapa pula ini?'. Terduduk saya dibuat belon, patung beruang, bunga, coklat, gambar Ayu berserta dengan ayat 'From Your Wife Ayu'," tulisnya.

Shazril kemudian menjelaskan bahawa berkemungkinan besar, ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan identitinya untuk menipu wanita itu.

"Kesimpulan yang saya cuba sampaikan kepada Ayu kalau awak terbaca status ini, saya minta maaf tapi isteri sebenar saya, Azu dah ambil kesemua empat slot poligami saya. Jadi, tiada ruang untuk saya izinkan Ayu ke dalam hidup saya.

"Kalau ada Dr Say Shazril yang memberi harapan dan janji-janji manis kepada Ayu di luar sana, kemungkinan besar itu Dr Say Shazril palsu. Semoga Ayu tak sayu dengan berita ini ya Ayu dan minta maaf, bunga dah layu," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:08 PM