Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Hazira Mohd Zaidi


Kota Bharu: Penggemar batik Kelantan menyifatkan batik negeri ini istimewa kerana seni penghasilannya yang lebih halus dan berkualiti tinggi terutama batik canting.

Harga yang mencecah ratusan dan ribuan ringgit bukan halangan untuk penggemar batik asli Kelantan mendapatkan koleksi kegemaran.

Seorang pelanggan yang juga kakitangan kerajaan, Rohaya Ismail, 45, berkata, dia tidak pernah berkira dalam soal batik Kelantan malah sanggup mengeluarkan bajet besar untuk memiliki koleksi itu.

Katanya, lebih tinggi harga tekstil itu lebih halus seni buatannya dan berkualiti tinggi.

“Saya ada dua koleksi batik Kelantan yang mencecah ribuan ringgit dan beberapa helai lagi bernilai ratusan ringgit. Saya akan pakai pada setiap Khamis sebagai memartabatkan batik.

“Walau syarat mengenakan batik pada Khamis sudah dilonggarkan, tetapi bagi saya, penggemar batik sejati perlu terus mengenakannya pada hari itu sebagai sokongan kepada industri.

“Batik Kelantan bagi saya istimewa kerana lambang kerja keras pembikinnya terutama yang dicanting,” katanya yang akan terus menyokong industri batik.

Selain dianggap lambang orang Melayu, Rohaya berkata, budaya memakai batik Kelantan perlu diterap dalam kalangan kanak-kanak lagi dalam usaha mengekalkannya.

“Daripada kenakan fesyen yang tiada identiti, lebih baik martabatkan batik Kelantan ini,” katanya.

Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Zulikha Hasnan berkata, dia menggemari batik selepas melihat kedua-dua ibu bapanya memakai pakaian itu pada setiap minggu untuk ke pejabat.

Untuk itu, katanya, dia mengenakan pakaian berunsur batik ke kuliah walaupun daripada rekaan terkini dan moden.

“Jika dulu, ramai orang memakai batik untuk ke majlis formal, namun sekarang ramai yang menjadikan pakaian ini sebagai pakaian harian,” katanya.

Dia yang tinggal di Ampang, Selangor berkata, lebih gemar batik Kelantan kerana rekaannya yang eksklusif dan berseni berbanding batik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 4:50 AM