IDEA dekorasi ruang dalaman unit contoh TuJu@Duta North.
IDEA dekorasi ruang dalaman unit contoh TuJu@Duta North.
Hafiz Ithnin

Distinctive World Sdn Bhd menjalin bekerjasama dengan rakan strategik, Distinctive Capital Sdn Bhd dan Eccaz Sdn Bhd bagi membangunkan projek hartanah, TuJu @ Duta North yang terletak di Kuala Lumpur.

Projek berkenaan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (gdv) RM750 juta itu mempunyai dua menara pangsapuri servis dengan 932 unit kediaman dengan menawarkan 10 pilihan reka bentuk berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Lim Ech Chan berkata, TuJu @ Duta North adalah projek yang dirancang dan direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan dan kehendak generasi baharu hari ini sambil memelihara nilai-nilai kekeluargaan.

Jelasnya, kemudahan akses secara terus ke pusat bandar melalui Jalan Kuching dan ke rangkaian lebuh raya di sekitar menjadi salah satu faktor penting pembangunan projek itu.

"Selain itu, untuk membolehkan kehidupan berbilang generasi bahagia, kami menawarkan unit kediaman yang boleh dihubungkan dan unit dwi-kunci. TuJu menawarkan 10 pilihan reka bentuk berbeza untuk pilihan pembeli mengikut keperluan keluarga.

"Susun atur unit kediaman yang direka bentuk boleh dikonfigurasikan dan fleksibiliti yang jarang ditemui menerusi tawaran pemaju lain. Misalnya, unit kediaman dua bilik kami boleh dikonfigurasikan menjadi tiga bilik. Sebaliknya, bagi mereka memerlukan ruang yang lebih besar, unit kediaman tiga bilik kami boleh dikonfigurasikan menjadi dua bilik," katanya.

LIM (kiri) ketika pelancaran TuJu @ Duta North di Galeri Jualan TuJu, Kuala Lumpur.
LIM (kiri) ketika pelancaran TuJu @ Duta North di Galeri Jualan TuJu, Kuala Lumpur.

Projek itu terletak di lokasi strategik yang menawarkan akses secara terus ke pusat bandar melalui Jalan Kuching dan ke rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Duke, Lebuhraya PLUS, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Damansara Link dan Penchala Link.

Dijual pada harga purata RM650 kaki persegi dengan keluasan kediaman seunit bermula pada saiz 710 kaki persegi hingga 1,442 kaki peregi, TuJu @ Duta North sudah mendapat pendaftaran kira-kira 30 peratus. Projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2027.

Kehidupan yang harmoni menjadi asas kepada reka bentuk projek ini. Justeru, terdapat lebih daripada 50 kemudahan dan memastikan ia selamat untuk dinikmati kanak-kanak dan mesra untuk warga emas.

Katanya, TuJu juga adalah projek mesra kenderaan elektrik (EV) apabila infrastruktur kenderaan jenis itu disediakan untuk penghuni dan ia memberi satu lagi kemudahan.

"Kami juga menawarkan unit-unit kediaman mesra orang kurang upaya (OKU) dengan kemudahan khusus seperti bilik mandi yang boleh diakses dengan kerusi roda dan dilengkapi dengan butang kecemasan.

"Selain itu, terdapat unit kediaman tertentu yang boleh dihubungkan dengan unit kediaman bersebelahan yang memberi manfaat kepada pembeli terutama jika mereka mempunyai ahli keluarga warga emas yang memerlukan kehidupan privasi," katanya.

Katanya, mempunyai lokasi strategik dengan akses yang mudah ke destinasi utama seperti KLCC, MITEC dan KL Metropolis serta lebuh raya utama, penghuni TuJu juga akan menerima manfaat perkhidmatan pengangkutan percuma ke lokasi transit terdekat dan Galeri Membeli-belah Publika.

"Dengan komitmen untuk menawarkan gaya hidup yang mesra dan baik, TuJu mempunyai kepadatan penghuni yang lebih rendah berbanding projek lain di kawasan sekitar, bagi memastikan penghuni dapat menikmati persekitaran yang luas dan privasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 6:30 AM