PROJEK yang dilaksanakan di Melaka dan Negeri Sembilan.
PROJEK yang dilaksanakan di Melaka dan Negeri Sembilan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Persekitaran pembangunan hartanah di Malaysia menyaksikan transformasi yang besar untuk terus memberi sumbangan kukuh kepada pertumbuhan dan kemajuan negara.

Seiring dengan itu, selama lebih tiga dekad, cabang pembangunan hartanah yang beribu pejabat di Perak, Setia Awan Group turut memainkan peranannya dalam perkembangan itu dengan mengukuhkan kedudukannya di beberapa negeri di Malaysia.

Selain Perak, projek pembangunan syarikat itu turut terdapat di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Ia mendapat perhatian positif yang disokong faktor pasaran dan tawaran inovatif.

Sejak lebih 30 tahun, kawasan di Seri Manjung, Sitiawan dan Pulau Pangkor di Perak mengalami pertumbuhan pesat disebabkan pelbagai faktor iaitu peningkatan pelaburan, penubuhan pangkalan tentera laut di Lumut, projek infrastruktur besar dan projek pembangunan yang memenuhi permintaan terhadap rumah serta perkhidmatan lain.

Sepanjang perkembangan itu, pemaju hartanah berkenaan menjadi salah satu pemain hartanah penting yang memberi sumbangan terus kepada pertumbuhan di dua kawasan utama di negeri terbabit.

Dengan permulaan yang sederhana, pemaju hartanah berwawasan itu bermula dengan projek berskala kecil di Sitiawan dan Seri Manjung, yang mana menjadi asas penting bagi pembangunan daerah berkenaan seperti mana dapat dilihat hari ini.

Rahsia Setia Awan adalah mudah iaitu memastikan projek mereka kekal mampu milik, praktikal dan memiliki pelbagai fungsi.

ASTRUM Ampang dibina dengan konsep TOD, pertama seumpamanya di Malaysia.
ASTRUM Ampang dibina dengan konsep TOD, pertama seumpamanya di Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia mahu memiliki akses kepada pembangunan dengan harga berpatutan yang mana akan menggalakkan lebih ramai memiliki rumah.

Pengarah Eksekutif Wilayah Tengahnya, Ng Teck Hua berkata, meskipun masih dianggap baharu dalam sektor pembangunan hartanah, namun pihaknya meraih kejayaan berterusan menerusi nilai teras dalam inovasi, kelestarian dan kualiti syarikat.

"Sebahagian besar pembeli rumah dan pelanggan mempercayai kemampuan kami dalam memastikan reka bentuk projek hartanah selaras gaya hidup berkualiti mereka.

"Selain itu, kami juga menawarkan nilai komersial mampan untuk pihak berkepentingan kami," katanya.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, syarikat pemaju hartanah itu turut mengembangkan lagi kepakarannya dalam pembangunan hartanah di Melaka (Sri Melaka Residensi) dan Negeri Sembilan (Kemayan Heights S2).

Selain dari negeri di wilayah selatan, ia juga merebut peluang untuk berkembang di ibu negara menerusi Brezza Hill Residensi iaitu projek pertamanya di Kuala Lumpur yang dikelilingi rizab hutan simpan dengan pemandangan kota KL.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami mendapati wujud jurang dalam prospek pemilikan hartanah Lembah Klang menjadikan sesuatu yang hampir mustahil kepada sebahagian besar rakyat untuk memiliki kediaman di kota besar.

"Dengan projek baharu dan akan datang di sekitar Kuala Lumpur, kami berharap ia dapat membantu pembeli rumah dengan membina dan menawarkan kediaman mampu milik yang terletak di lokasi strategik dengan kemudahan moden," kata Ng.

Sementara itu, Setia Awan juga akan melancarkan projek pembangunan bercampur baharu seluas 2.732 hektar dikenali Astrum Ampang.

Ia kebanyakannya terdiri daripada projek kediaman yang terletak di kawasan pesat berkembang di Jalan Ampang dan Jalan Jelatek.

Dihubungkan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Jelatek, Astrum Ampang dibina dengan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), pertama seumpamanya di Malaysia.

Menerusi konsep itu, pembeli dewasa yang bekerja memiliki kemampuan untuk membeli hartanah kediaman di bandar, selain ia turut menawarkan akses kepada kemudahan pengangkutan awam.

Dari satu sudut, kemampuan pembeli dewasa yang bekerja berusia 20-an memiliki rumah di bandar besar sangat jarang berlaku disebabkan kos hidup tinggi.

Justeru, pemaju hartanah terbabit menyasarkan untuk menjadi pencetus perubahan dalam pasaran di Kuala Lumpur dengan menawarkan rumah yang sesuai dengan keperluan golongan pekerja muda di bandar, selain mengembalikan aspek mampu milik bagi pembangunan bandar.

Untuk itu, konsep transit SOHO ditawarkan pada harga bermula RM230,000 seunit.

Projek terbabit dijadualkan dilancarkan pada suku kedua 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:30 AM