Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap tiga peratus sedikit sebanyak dapat mengurangkan ketidakpastian dalam kalangan bakal pembeli rumah.

Ini kerana sebelum pengumuman itu, ramai bakal pembeli terutama yang mencari rumah pertama masih ragu-ragu untuk membeli rumah impian mereka kerana bimbang kenaikan kadar OPR.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata, pengekalan kadar OPR tiga peratus itu dilihat sesuai untuk keadaan ekonomi negara ketika ini.

Katanya, jika OPR dinaikkan, rakyat perlu membayar gadai janji lebih daripada sebelumnya.

"Salah satu kerisauan bakal pembeli rumah adalah mengenai kadar OPR kerana ia boleh memberi kesan kepada bayaran gadai janji bulanan mereka.

"Apabila ia dikekalkan, rakyat berasa lega dan mengurangkan ketidakpastian mereka terhadap pasaran hartanah," katanya.

Menurut beliau lagi, keputusan itu juga menunjukkan Kerajaan Perpaduan prihatin akan masalah dan bebanan rakyat.

Katanya, ketika ini rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang dan jika OPR turut mengalami kenaikan, pastinya membebankan mereka terutama golongan berpendapatan rendah atau B40.

PROSES membeli rumah terutama rumah pertama bukan mudah dan ia juga memerlukan kos yang banyak.
PROSES membeli rumah terutama rumah pertama bukan mudah dan ia juga memerlukan kos yang banyak.

"Jadi, apabila OPR tidak dinaikkan, kurang sedikit beban rakyat terutama pembeli rumah untuk membayar gadai janji setiap bulan kepada bank.

"Duit lebihan yang ada boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti membeli barangan keperluan harian, ia secara tidak langsung merancakkan lagi sektor ekonomi berkaitan," katanya.

Dr Bany Ariffin berkata, pengekalan kadar OPR itu juga dilihat antara isyarat kepada rakyat khususnya bakal pembeli hartanah bahawa keluh kesah mereka didengari kerajaan.

Ia memandangkan proses membeli rumah terutama rumah pertama bukan mudah dan ia juga memerlukan kos yang banyak.

"Namun, dengan kadar OPR dikekalkan selain insentif perumahan lain yang disediakan, ia memperlihatkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka," katanya.

Sementara itu, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lalu mengekalkan OPR pada paras tiga peratus.

Ini adalah kali ketiga berturut-turut MPC memilih untuk mengekalkannya pada tahap sama.

RAMAI bakal pembeli masih ragu-ragu membeli rumah impian kerana bimbang kenaikan kadar OPR.
RAMAI bakal pembeli masih ragu-ragu membeli rumah impian kerana bimbang kenaikan kadar OPR.

Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI pula menyifatkan keputusan BNM itu meyakinkan pasaran hartanah Malaysia untuk kekal pada harga mampu milik.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kashif Ansari dalam kenyataannya berkata, dengan keputusan itu pembeli dan pemilik rumah tidak akan menyaksikan bayaran gadai janji mereka meningkat.

Pada masa sama, pemilik hartanah juga tidak mengalami tekanan kewangan untuk menaikkan sewa.

"Mengenai masa depan, kami menjangkakan bank pusat sekali lagi mengekalkan kadar berkenaan tidak berubah pada mesyuarat akan datang (November).

"OPR yang stabil akan membawa kepastian dan kestabilan kepada pasaran serta mengukuhkan pasaran hartanah kediaman yang semakin berkembang. Apabila urus niaga semakin meningkat, hartanah yang tidak terjual semakin berkurangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:00 AM