Sufian (tengah) ketika pelancaran projek baharu UEM Sunrise. - FOTO Amirudin Sahib
Sufian (tengah) ketika pelancaran projek baharu UEM Sunrise. - FOTO Amirudin Sahib
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menyifatkan masih terlalu awal untuk melihat kesan kepada jualan produk hartanahnya pada tahun ini berikutan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu.

Syarikat itu juga mengambil langkah berhati-hati dengan sasaran jualannya pada tahun ini berikutan pengumuman berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, tahun ini UEM Sunrise memberi tumpuan bukan sahaja kepada pasaran hartanah premium tetapi ia juga membabitkan hartanah peringkat pertengahan yang berharga dalam lingkungan RM600,000 bergantung kepada lokasi hartanah itu.

"Sekiranya terkesan, ia mungkin membabitkan pasaran pertengahan tetapi ia begitu minimal. Namun, masih awal untuk mengatakan kenaikan OPR ini memberi kesan kepada sasaran jualan kerana ia baharu sahaja diumumkan.

"Dari segi sasaran jualan, UEM Sunrise mengunjurkan RM1.5 bilion dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM2.5 bilion pada tahun ini membabitkan beberapa pelancaran projek terbaharu antaranya di taman Taman Connaught, Fasa Baharu di Kiara Bay di Kepong dan Bangi selain itu beberapa pelancaran baharu di Johor," katanya pada majlis pelancaran projek terbaharu The Minh di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UEM Sunrise mengumumkan 70 peratus daripada projek The Minh sudah ditempah.

Projek berkenaan yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur dibangunkan di atas tanah seluas 6.2 ekar membabitkan GDV RM979 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 5:42 PM