FRISCHIA adalah projek terkini dibangunkan UEM Sunrise di Serene Height Bangi.
FRISCHIA adalah projek terkini dibangunkan UEM Sunrise di Serene Height Bangi.
Hafiz Ithnin


UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia mencatatkan lebih dari RM400 juta dalam jualan dan tempahan, dalam hanya kurang dari dua bulan selepas pelancaran kempen 'The Happy Chase'.

'The Happy Chase' adalah usaha UEM Sunrise dalam menyahut Kempen Pemilikan Rumah (KPR) oleh kerajaan iaitu sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penyebaran pandemik Covid-19.

Projek Residensi AVA umpamanya membentuk fasa pertama Kiara Bay, satu pembangunan seluas 73 ekar di tepi tasik oleh UEM Sunrise di Kepong.

Sementara itu, Frischia iaitu rumah teres kontemporari dua tingkat di Serene Heights Bangi dan fasa 1A Senadi Hills di Iskandar Puteri menyaksikan 91 peratus dan 80 peratus unit habis dijual sejak dilancarkan pada Julai lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan strategi untuk membina kesedaran dan menarik minat terhadap produk dan jenama UEM Sunrise ketika PKP dan PKP Bersyarat.

"Kami sedar terhadap permintaan dari pembeli dan keyakinan mereka dengan produk kami. Justeru itu, kami berjaya mengubah semua minat ini kepada tempahan sebenar. Ini menunjukkan bahawa usaha kami membuahkan hasil.

"Malah, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kepercayaan berterusan mereka," katanya.

Kempen 'The Happy Chase' bertujuan membantu mereka yang mengalami masalah pemilikan rumah dengan menjanjikan potongan harga dan rebat menarik selain proses pembelian yang mudah.

Pada masa sama, kempen ini menawarkan yuran tempahan serendah RM1, pengecualian yuran guaman dan pelbagai ganjaran lain seperti rebat serta subsidi tambahan.

RESIDENSI Ava di Kiara Bay, Kuala Lumpur.
RESIDENSI Ava di Kiara Bay, Kuala Lumpur.

Di samping itu, pembeli juga akan menikmati pelbagai hadiah menarik dengan setiap pembelian seperti pengecualian yuran penyelenggaraan selama dua tahun, kabinet dapur dan perkakas rumah percuma untuk projek tertentu.

Jelas Anwar Syahrin, perkara itu memberi momentum kepada UEM Sunrise untuk memanfaatkan trend positif dan terus maju dengan pelancaran baharunya termasuk Allevia, sebuah pembangunan bertingkat tinggi yang eksklusif di tengah Mont'Kiara, Solaris Parq Plot B, satu komponen campuran menara pejabat dan residensi seluas 18.76 ekar dan Verna, plot rumah teres dua tingkat terbaharu di Serene Heights Bangi.

ANWAR Syahrin
ANWAR Syahrin

"Orang ramai tidak perlu teragak-agak dan rebut peluang yang disediakan 'The Happy Chase' sementara pelbagai projek yang popular masih tersedia. Kempen 'The Happy Chase' berterusan sehingga 31 Mei tahun depan selaras KPR 2020," katanya yang turut menjelaskan UEM Sunrise melancarkan 'The Happy Chase Gameshow.'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:20 AM