WONG
WONG

UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) bekerjasama dengan Affin Bank Berhad (Affin Bank) untuk program perolehan gadai janji terbaharu, Affinita, bagi menyokong usaha pemilikan rumah dalam kalangan wanita.

Kerjasama itu diumumkan di antara projek pembangunan UEM Sunrise, KAIA Heights di Taman Equine di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, inisiatif itu usaha kedua-dua syarikat untuk mengukuhkan landasan ke arah kebebasan kewangan dalam kalangan wanita serta memperkasakan golongan itu dalam usaha mereka untuk memiliki hartanah.

Beliau berkata, kerjasama itu juga melambangkan kepercayaan kedua-dua pihak terhadap kesaksamaan peluang dan pemerkasaan kewangan.

"Kami teruja untuk mengumumkan kerjasama dengan UEM Sunrise bagi program terbaharu kami - Affinita.

"Dengan menyertai program ini, anda boleh menikmati diskaun hebat dan penebusan faedah menerusi rangkaian terkemuka kami yang merangkumi 100 peniaga eksklusif, yang menawarkan pelbagai produk gaya hidup dan perkhidmatan khusus buat wanita," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, program ini khusus buat pembeli rumah wanita sama ada untuk kediaman pertama mahupun bagi mereka yang mencari kediaman yang lebih luas atau yang ingin mengembangkan portfolio hartanah.

"Selain pelbagai perkhidmatan dan faedah sedia ada, kerjasama ini memperluaskan tawaran pemilikan rumah di pelbagai projek pembangunan UEM Sunrise di sekitar Lembah Klang.

"Ia termasuk pelancaran projek-projek terbaharunya pada tahun ini seperti The MINH, Mont'Kiara, The Connaught One, Taman Connaught, Residensi AVA dan Residensi ZIG, Kepong; Serene Heights Intrika, Semenyih, KAIA Heights, Taman Equine dan lain-lain di Wilayah Tengah.

"Selain itu, Aspira Gardens dan Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya, dan Serimbun di Iskandar Puteri antara pembangunan yang mengambil bahagian di Wilayah Selatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perniagaan Gadai Janji, Affin Bank Jessie Wong berkata, pihaknya percaya dengan kuasa memperkasakan wanita dalam mendorong mereka mengawal masa depan kewangan mereka.

"Menerusi pelbagai pilihan pembiayaan menarik dan kerjasama dengan peniaga untuk menawarkan diskaun eksklusif, kami bukan sahaja menggalakkan wanita untuk melabur di dalam hartanah tetapi turut memupuk pertumbuhan peribadi dan profesional mereka," katanya.

Katanya, antara insentif yang ditawarkan termasuk akses kepada INVIKTA Premier Banking Affin Bank untuk pelanggan wanita dengan jumlah pinjaman melebihi RM500,000.

UEM Sunrise dan Affin Bank akan menganjurkan pameran di Galeri Jualan KAIA Heights UEM Sunrise pada 19 November di mana orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang Affinita dan cara mereka boleh bermanfaat daripada kerjasama berkenaan.

Untuk maklumat lanjut tentang Kerjasama ini, sila layari laman web UEM Sunrise di uemsunrise.com/affinita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:15 AM