Nurul Husna Mahmud

SITUASI pasaran hartanah lembab terkesan daripada krisis ekonomi dunia sejak tahun lalu dan kemudian diburukkan lagi dengan masalah Covid-19 membuatkan pelbagai usaha dilakukan baik kerajaan sehinggalah ke peringkat pemaju dalam membantu meningkatkan kelangsungan industri berkenaan.

Pastinya dalam situasi terbabit bagi pemikiran kebanyakan orang bukan masa yang tepat untuk membeli atau membuat pelaburan hartanah kerana bimbang mengalami masalah kewangan.

Sedangkan pada ketika ini, bagi penggiat industri terutama pengamal hartanah melihat tempoh 'genting' berkenaan peluang baik terutama golongan B40 mahupun M40 yang mempunyai aliran kewangan kukuh selain kesediaan mental untuk mula melabur.

Menurut Pengamal Hartanah Maju Link. Com yang juga Pengarah Pro Genesis Resources, Mohd Amir Abdullah berdasarkan pengalaman beliau mula berjinak-jinak dalam pelaburan hartanah sejak 2008, kebanyakan pembeli unit hartanah dilihat menerima banyak kebaikan atau manfaat dalam tempoh 'kesempitan' ini.

"Mengenai milikan hartanah perlu diketahui umum, terdapat tiga kategori untuk pembeli nikmati iaitu hartanah ditawarkan secara langsung dari pemaju untuk pembeli, penjual individu atau syarikat (hartanah sekunder) dan hartanah dilelong.

"Pengamatan saya pilihan terbaik buat pembeli atau mereka merancang untuk melabur, hartanah ditawarkan pemaju adalah tawaran terbaik ketika ini terutama tawaran rebat istimewa boleh memberi diskaun atau penjimatan sekitar 10 hingga 20 peratus mengikut pakej masing-masing.

PELUANG memiliki unit hartanah perlu direbut terutama golongan B40 penjawat awam dan badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com
PELUANG memiliki unit hartanah perlu direbut terutama golongan B40 penjawat awam dan badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com

"Kalau saya senaraikan pakej ditawarkan lebih 70 pemaju berkolaborasi bersama saya dan rakan kongsi, Azizul Abdullah membabitkan projek serata Semenanjung kecuali Johor dan Perlis, didapati pembeli bernasib baik kerana boleh nikmati pelbagai faedah tidak dinikmati pembeli sebelum tempoh Covid-19, katanya.

Antara manfaat dinikmati pembeli rumah termasuk tiada caj yuran tambahan, tiada yuran guaman baik untuk urusan dokumentasi rumah mahupun bank, tiada kos menukarkan pemilikan rumah dan ada juga pengecualian deposit mengikut terma dan syarat.

Namun dalam situasi berkenaan katanya, pemilik B40 penjawat awam dan badan berkanun paling beruntung ketika ini apabila Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam membantu memudahkan urusan pinjaman membabitkan kumpulan pembeli itu.

"Berbanding pembeli swasta yang terpaksa bergantung kepada kaedah tidak menentu dikenakan pihak bank atau institusi kewangan menawarkan pinjaman, situasi bagi penjawat awam dan badan berkanun pada saya mereka lebih baik.

"Golongan ini sewajarnya merebut peluang apabila kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA sudah disubsidikan pada kadar faedah 4.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar yang ditawarkan mana-mana institusi perbankan tempatan menyebabkan komitmen bulanan tidak membebankan.

ANTARA prospek kediaman strategik boleh dimiliki penjawat awam atau badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com
ANTARA prospek kediaman strategik boleh dimiliki penjawat awam atau badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com

"Selain itu, jika mereka mendapat khidmat nasihat betul termasuk menjalankan kaji selidik baik lokasi dan reputasi pemaju, pelaburan mereka beli itu memberi keuntungan sebaik melepasi tempoh krisis ekonomi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amir tidak lupa mengingatkan bakal pelabur atau pemilik hartanah melakukan 'kerja rumah' sendiri termasuk meneliti kesediaan baik kapasiti mental mahupun kewangan dalam memastikan unit hartanah itu tidak membebankan.

"Bukan keputusan 'semborono' kerana komitmen perlu dipukul pembeli sepanjang hayat iaitu 35 tahun tempoh pinjaman. Meskipun pembelian ketika ini sesuai untuk mereka yang tiada kekuatan kewangan bagi pendahuluan rumah, tetapi mereka masih perlu buat semakan dan imbang kewangan setiap bulan atau tahunan.

"Ini kerana nilai hartanah masih berkait dengan harga yang mereka mampu, lokasi strategik selain jenis hartanah diidamkan. Mereka mesti kenal pasti objektif sama ada untuk tinggal sendiri atau pelaburan kerana itu hala tuju tentukan penilaian semasa mereka mengenai pembelian unit hartanah ketika ini, katanya.

ANTARA prospek kediaman strategik boleh dimiliki penjawat awam atau badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com
ANTARA prospek kediaman strategik boleh dimiliki penjawat awam atau badan berkanun. FOTO Ihsan majulink.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 7:00 AM