LAKUKAN kajian pasaran dengan mengambil kira lokasi strategik.
LAKUKAN kajian pasaran dengan mengambil kira lokasi strategik.
Muhamaad Razis Ismail


BARU-BARU ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail menyambut baik pengumuman kerajaan itu yang dilihat bertepatan dengan matlamat menjayakan agenda Malaysia berdaya huni.

Katanya, dalam merealisasikan matlamat satu keluarga satu rumah, ia perlu dilihat pasaran hartanah secara menyeluruh.

"Kini, di Malaysia terdapat lebih 6.7 juta rumah dan berdasarkan bancian terkini negara mempunyai 32.4 juta penduduk. Sekiranya setiap isi rumah dikira seramai empat orang, kita memerlukan lapan juta kediaman.

"Congakkan yang dibuat, kita memerlukan kira-kira 1.3 juta lagi kediaman supaya matlamat ini tercapai.

"Bagaimanapun, saya melihat perancangan membina 500,000 rumah adalah satu permulaan yang baik untuk membantu golongan B40 dan M40 memiliki kediaman," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dalam membantu golongan B40 dan M40 ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan termasuk memerlukan pangkalan data yang bersepadu.

"Data ini penting untuk mengenal pasti golongan sasaran ini sama ada sudah memiliki kediaman atau sebaliknya," katanya.

Selain itu, kerajaan perlu memutuskan hanya sebuah agensi yang akan dipertanggungjawabkan untuk membekalkan 500,000 unit rumah ini untuk mengelakkan wujud persaingan dan pertindihan membabitkan agensi kerajaan dan swasta.

"Perkara ini penting dalam usaha untuk menjimatkan perbelanjaan termasuk membabitkan kos pengurusan.

"Konsep pembinaan yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) perlu digunakan untuk menjimatkan kos pembinaan sekali gus tidak memberi kesan kepada harga rumah," katanya.

Ishak yang juga Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn Bhd menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan memudahkan pinjaman perumahan bagi golongan B40 dan M40.

Katanya, satu perkara yang harus dititik beratkan adalah kajian pasaran perlu dilakukan untuk memastikan pembinaan rumah mampu milik berada di lokasi strategik.

"Ini penting kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, rumah mampu milik terletak jauh daripada kemudahan sehingga ia tidak mendapat sambutan.

"Perkara ini perlu diberi penekanan selain reka bentuk yang lebih ekonomik dan selesa," katanya.

WUJUDKAN tabung perumahan.
WUJUDKAN tabung perumahan.

Pada masa sama untuk penyelesaian jangka masa panjang, beliau mencadangkan penubuhan sebuah tabung perumahan.

"Tabung ini boleh dicarum dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau menabung secara sukarela. Menerusi tabung ini golongan muda dapat membuat persediaan awal untuk memiliki kediaman sendiri.

"Sementara tabung itu mencukupi, golongan muda dibenarkan menyewa kediaman dengan Skim sewa untuk dimiliki (RTO). Sebahagian bayaran sewaan itu boleh dijadikan sebagai deposit manakala wang dari tabung perumahan boleh digunakan untuk renovasi," katanya.

Seterusnya, Pengarah Institut Antarabangsa Alambina Malaysia, Profesor Dr Ismail Omar, melihat pelaksanaan strategi ini menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah perumahan mampu milik rakyat.

"Bagaimanapun rakyat juga tertanya-tanya mengenai kualiti, kaedah pembinaan, bayaran balik, keselamatan, harga, lokasi dan sebagainya yang belum dijelaskan.

"Rakyat menunggu dengan penuh harapan dan mengharapkan perumahan yang benar-benar mampu milik dalam erti kata sebenar.

"Mereka tidak mahu melihat rumah mampu milik dibina dengan kuantiti yang banyak tetapi hanya mampu tengok dan hanya dijadikan alat spekulasi golongan tertentu. Apatah lagi dengan kualiti yang rendah tetapi harga yang masih di luar kemampuan kewangan mereka," katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kolej Geomatika itu berkata, sekiranya dasar dan konsep perumahan mampu milik dapat dilaksanakan dengan sempurna serta telus nescaya kerajaan dapat memenuhi cita rasa dan keperluan rakyat marhaen.

"Justeru itu dicadangkan supaya setiap kerajaan tempatan dengan bantuan kerajaan negeri dan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu membina sistem maklumat perumahan yang lengkap bagi memastikan data permintaan serta penawaran rumah milik yang boleh dipertanggungjawabkan.

"Kita juga perlu memiliki satu bentuk Pelan Reformasi Perumahan Mampu Milik Negara supaya perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang disediakan di setiap negeri untuk dijadikan panduan.

"Pemain-pemain (termasuk pakar pakar di universiti) dalam sistem penyampaian perumahan perlu mewujudkan jaringan perumahan mampu milik untuk membantu pihak kerajaan dalam usaha merumahkan rakyat menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:00 AM