RUMAH dua tingkat di Kuantan yang menawarkan harga mampu milik buatnya. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz
RUMAH dua tingkat di Kuantan yang menawarkan harga mampu milik buatnya. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz
Hafiz Ithnin


TIGA tahun menyimpan wang bagi memastikan ia mencukupi untuk memiliki aset idamannya. Walaupun ketika itu, beliau sudah memiliki keluarga kecil namun benar bagai dikatakan jika berusaha pasti ada kejayaannya.

Mohd Azim Fitri Abd Aziz, 30, kini boleh tersenyum puas pada usia 29 tahun dia mempunyai sebuah kediaman dua tingkat seluas sekitar 1,540 kaki persegi di Bandar Putra, Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

Dia mengakui bukan mudah untuk memiliki kediaman berharga RM362,000 itu kerana perlu melalui proses permohonan pembiayaan daripada bank yang pastinya menganalisis komitmen ansuran bulanannya.

Mujur dalam tempoh tiga tahun, dia berjaya mengumpul RM30,000 bagi melunaskan pembiayaan kenderaan yang menjadi komitmen utama dalam ansuran bulanannya.

“Dua bank saya mohon pembiayaan, tetapi ditolak kerana faktor komitmen saya yang tinggi. Namun, selepas dinasihatkan bank yang ketiga untuk melunaskan bayaran kenderaan, saya melakukannya dengan menggunakan simpanan. Akhirnya, dalam tempoh 10 hari sahaja saya dimaklumkan pembiayaan itu diluluskan,” katanya.

Mohd Azim berkata, sebelum ini selama dua tahun bertugas di Kuala Lumpur dan dipindahkan ke Kuantan pada 2016. Melihat kepada harga dan produk hartanah yang ditawarkan pemaju di daerah itu ia menjadi tarikan untuk membelinya.

KABINET dapur antara elemen renovasi di kediamannya. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz
KABINET dapur antara elemen renovasi di kediamannya. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz

“Jika di Kuala Lumpur mungkin untuk kediaman dua tingkat ini mencapai harga lebih RM500,000 dan pastinya tidak layak untuk saya memilikinya kerana faktor pendapatan.

“Bagaimanapun, apabila dipindahkan ke Kuantan, saya melihat harga dan produk hartanah yang ditawarkan sesuai dengan pendapatan bulanan. Jadi, tidak perlu menunggu masa lama untuk membuat keputusan memilikinya,” katanya.

Katanya, ketika melihat kediaman itu diiklankan pemaju dengan konsep seni bina moden sudah tentu menjadi satu daripada tarikan untuk memilikinya selain harga jualan yang ditawarkan.

“Selain itu, lokasinya juga amat dekat dengan pejabat sekitar 10 minit saja memandu. Tambahan, lokasinya mempunyai kemudahan untuk beriadah sudah pasti menjadi tarikan.

“Saya mencari kediaman teres kerana ia lebih mudah untuk diuruskan dan membuat aktiviti renovasi berbanding kediaman srata yang kita tahu terikat dengan pelbagai syarat serta komitmen bayaran penyelenggaraan,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun menabung membeli kediaman dia juga peka dengan persekitaran industri hartanah semasa bagi memastikan pelaburannya dalam aset itu berbaloi.

“Bagi saya ilmu mengenai pemilikan hartanah itu amat penting selain pengurusan kewangan kerana dari situ kita dapat tahu cara mendapatkan sumber untuk membayar deposit rumah, menganalisis harga pasaran semasa dan lebih penting tidak ditipu.

MEMASANG jeriji kediaman antara yang diutamakan sebaik mendapat kunci. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz
MEMASANG jeriji kediaman antara yang diutamakan sebaik mendapat kunci. FOTO Mohd Azim Fitri Abd Aziz

“Meskipun melihat kediaman yang ditawarkan itu menarik, tetapi saya amat berhati-hati untuk memutuskan pembelian kerana saya sendiri mahu kediaman ini mempunyai nilai pasaran yang baik pada masa depan,” katanya.

Katanya, mendapatkan maklumat daripada rakan yang sudah membeli rumah dan melayari laman web banyak membantunya untuk menggali ilmu pengetahuan mengenai pembelian hartanah.

Tambahnya, dia juga tidak membuat pelaburan yang banyak dari segi renovasi kediaman dan hanya mementingkan bahagian utama terlebih dahulu seperti pemasangan jeriji dan kabinet dapur.

“Memandangkan ia adalah kediaman sendiri, bagi saya tidak perlu terburu-buru untuk melakukan kerja renovasi dan hiasan yang besar kerana kita perlu melihat aliran tunai peribadi terlebih dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:45 AM