BERSEDIA membeli kediaman sejak dari awal boleh mengumpul wang dan menjadikan kediaman lebih selesa.
BERSEDIA membeli kediaman sejak dari awal boleh mengumpul wang dan menjadikan kediaman lebih selesa.
Hafiz Ithnin


BAGI pemuda berusia 31 tahun ini, pengalaman sebagai pembantu ejen hartanah sepenuh masa memberi gambaran lebih jelas kepadanya untuk mencari produk hartanah pertama yang berpotensi membawa pulangan pada masa depan.

Malah, dia juga melihat proses menaik taraf kediaman baharu menerusi kerja-kerja pengubahsuaian mampu memberi kesan yang baik sekiranya ingin dijual kelak.

Menurut Muhammad Haziq Shiub atau lebih mesra disapa Haziq, kerja pengubahsuaian bukan sesuatu pembaziran tetapi ia juga adalah strategi bagi meningkatkan harga jualan sesebuah kediaman.

"Perkara yang paling penting ialah kita mengatur strategi terlebih dahulu iaitu memperuntukkan bajet kerana membeli rumah baharu membabitkan penggunaan wang yang agak banyak.

"Jadi, seperti saya yang membeli rumah ini pada 2019 dan mendiaminya pada penghujung 2020, saya sudah membuat persediaan sekitar tiga tahun lebih awal dengan mengumpul wang bersama isteri, Farah Hanna Abu Kassim," katanya.

Haziq membeli kediaman bersaiz 928 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu terletak di Setapak, Kuala Lumpur dengan harga RM400,000 dan turut mendapat pelbagai diskaun daripada pemaju.

MENGGUNAKAN wang simpanan untuk melakukan kerja renovasi kediaman.
MENGGUNAKAN wang simpanan untuk melakukan kerja renovasi kediaman.

Jelas Haziq, dia dan isteri membuat pengubahsuaian hampir keseluruhan kediamannya kecuali di tandas memandangkan mereka merancang ingin menjadikan hartanah itu sebagai satu aset pelaburan pada masa depan.

"Dari segi kos pengubahsuaian, kami menggunakan wang simpanan yang dikumpul berkenaan kerana tidak mahu bergantung kepada wang pembiayaan dari pihak bank.

"Perkara itu penting kerana dalam membeli kediaman ini kita perlu 'memahami' poket diri sendiri supaya tidak terbeban setiap bulan untuk membayar ansuran pembiayaan," katanya.

RUANG dapur yang siap diubah suai.
RUANG dapur yang siap diubah suai.

Haziq berkata, kediaman yang sudah diubah suai lebih mudah dijual dan tidak membebankan pembeli baharu.

"Saya melihat, kebanyakan pelanggan saya lebih tertarik dengan kediaman sekunder yang sudah diubah suai dan tidak memerlukan mereka mengeluarkan wang yang lebih untuk memilikinya.

"Jadi, di situ kita boleh meletakkan harga yang berpatutan dengan nilai ketika aset yang hendak dijual kepada pembeli baharu," katanya.

Katanya, dia turut berminat untuk membeli kediaman itu sebagai aset hartanah pertamanya kerana status pegangan bebas.

BILIK yang ringkas dan selesa.
BILIK yang ringkas dan selesa.

"Di Kuala Lumpur ini, untuk rumah strata pegangan bebas dengan harga yang kami beli itu agak sukar. Jadi, memiliki kediaman ini seperti rezeki terpijak.

"Selain itu, nilai untuk kediaman berstatus pegangan bebas lebih tinggi pada masa depan dan proses menjualnya juga lebih mudah. Apatah lagi, ia terletak di ibu negara," katanya.

Tidak sekadar itu, Haziq berkata, lokasi kediaman yang dibelinya juga terletak dalam radius kejiranan dan pusat komersial yang sudah matang.

"Perkara itu, turut memberi manfaat kepada saya dan isteri untuk beriadah dan membeli barangan keperluan kerana dekat.

"Paling menarik ialah kemudahan awam yang terletak kurang tiga kilometer dari kediaman strata kami ini kerana isteri memilih menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) untuk ke pejabat yang terletak dekat dengan stesen itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:00 AM