KABINET dapur antara aktiviti renovasi dilakukan Alif.
KABINET dapur antara aktiviti renovasi dilakukan Alif.
KEDIAMAN yang sesuai untuk keluarga kecil Alif.
KEDIAMAN yang sesuai untuk keluarga kecil Alif.
Hafiz Ithnin


"SAYA nasihatkan mereka yang masih menunggu harga jualan kediaman turun, lupakan sahaja kerana jika turun pun tidak begitu banyak.

"Ada sahaja peluang terus rebut dan beli. Tidak mengapa terpaksa 'ikat perut' sedikit janji kita ada aset," jelas Alif Zahari.

Lelaki berusia 35 tahun itu berpendapat demikian kerana pengalamannya memiliki kediaman pertama pada usia 30.

Jelasnya, tidak ada yang mustahil untuk memiliki kediaman sendiri yang penting perlu ada usaha selain bijak mencari pendapatan sampingan bagi memastikan aliran tunai setiap bulan mencukupi.

Menariknya, Alif dan isteri, Ain Yunos, 34, ketika berhasrat membeli kediaman pertama mereka yang terletak di Dengkil, Selangor pada 2014 bukan untuk mendiaminya tetapi dijadikan sebagai satu aset pelaburan.

Namun, sebaik kediaman itu siap pada 2018, mereka bertukar fikiran dan ingin mendiaminya. Malah pada tahun yang sama, pasangan itu membeli pula kediaman kedua terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

BILIK utama yang luas.
BILIK utama yang luas.

Alif berkata, rumah pertama mereka yang terletak di Dengkil dibeli pada harga RM340,000 dan dia membuat pinjaman RM300,000 daripada syarikatnya. Manakala selebihnya, dia dan isteri mengeluarkan wang daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Ketika ingin membeli kediaman pertama ini, kami perlu melalui proses undian. Pada awalnya menyasarkan kediaman pada harga minimum iaitu RM280,000 tetapi dalam undian itu kami mendapat unit berharga RM340,000.

"Jadi, selepas berbincang dengan isteri, kami 'tawakal' sahaja dengan mencuba nasib untuk membeli rumah pada harga berkenaan kerana jujurnya saya tidak mempunyai simpanan langsung bagi membeli aset berkenaan," katanya.

Alif berkata, akhirnya urusan mereka dipermudahkan apabila mendapat kelulusan daripada syarikatnya bekerja untuk membuat pinjaman maksimum sebanyak RM300,000.

MEMPUNYAI ruang balkoni.
MEMPUNYAI ruang balkoni.

"Dalam masa sama saya dan isteri ikhtiar mendapatkan RM40,000 itu menerusi simpanan akaun kedua KWSP. Kini, kami perlu membayar komitmen bulanan kepada pembiaya sebanyak RM1,200.

Dalam masa yang sama, pasangan itu juga membuat pembiayaan peribadi bagi melakukan kerja renovasi dan membeli kelengkapan rumah.

Kata Alif, pada 2018, dia dan isteri kemudian tertarik membeli kediaman di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelaburan dan kali ini, kediaman itu atas nama Ain berbanding rumah pertama didaftarkan di atas namanya.

"Isteri saya memohon pembiayaan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kerana dia adalah kakitangan kerajaan untuk membeli kediaman segmen kondominium itu pada harga RM480,000 dengan ansuran bulanan RM2,100. Rumah ini dijangka siap pada 2021.

RUANG makan yang ringkas.
RUANG makan yang ringkas.

"Kami berminat memiliki kediaman ini kerana memang pada awalnya ingin membeli rumah di Kuala Lumpur. Tetapi ketika membeli rumah pertama saya dan isteri masih 'takut' dengan komitmen ansuran bulanan," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, meskipun mereka perlu membayar komitmen dua rumah ketika ini tetapi tidak ada perasaan menyesal memandangkan dia dan isteri sentiasa berusaha mencari pendapatan tambahan untuk mencukupkan aliran tunai setiap bulan.

"Sekarang ini, kami bercadang apabila rumah di Kuala Lumpur siap, salah satu kediaman akan disewakan memandangkan kedua-duanya mempunyai nilai sewaan yang tinggi dan berbaloi sebagai satu bentuk pelaburan.

"Tambahan, saya dan isteri membuat pelbagai perniagaan kecil-kecilan seperti menjual kek dan tart untuk menambah pendapatan. Selain itu, perlu berjimat cermat," katanya.

BILIK anak Alif yang ceria.
BILIK anak Alif yang ceria.

Malah, Alif juga merasakan perkara dia dan isteri melakukan pelaburan yang betul kerana melihat nilai hartanah terutama di ibu negara dan pinggir Kuala Lumpur akan sentiasa meningkat sama ada untuk dijual atau disewakan.

"Seperti kediaman kami di Dengkil ini, di sekelilingnya terdapat banyak universiti dan jika rumah ini disewakan mengikut bilik, pendapatan lebih baik dan boleh dijadikan sumber untuk membayar ansuran pembiayaan.

"Begitu juga dengan kediaman di Setapak itu, ia mempunyai akses yang mudah ke pusat bandar termasuk kemudahan pengangkutan awam membolehkan ia disewakan jika kami tidak mahu mendiaminya selepas mendapat kunci pada tahun depan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:31 AM