ORANG ramai melihat model projek pembangunan M Oscar kendalian Mah Sing.
ORANG ramai melihat model projek pembangunan M Oscar kendalian Mah Sing.
hmdigital

BERIKUTAN sambutan menggalakkan diterima bagi projek pembangunan terbaharunya dikenali sebagai M Oscar, Mah Sing Berhad (Mah Sing) melancarkan 200 unit tambahan dengan tawaran rebat dua peratus kepada pembeli awal.

M Oscar yang terletak secara strategik di kawasan kejiranan matang di Kuchai Lama turut dikelilingi kawasan membangun seperti Jalan Klang Lama, Sri Petaling, Bukit Jalil dan Salak Selatan.

Pengarah Strategi dan Operasi Kumpulan, Lionel Leong berkata, projek M Oscar berjaya merekodkan sambutan menggalakkan pada pelancaran awal sebelum ini.

“Minggu lalu, kami melancarkan projek pembangunan ini secara rasmi dengan tawaran 200 unit untuk fasa pertama.

“Atas sambutan baik yang diterima, kami membuat keputusan untuk menambah 200 lagi unit dengan insentif istimewa rebat dua peratus,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pembangunan M Oscar membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta yang dibangunkan di atas tanah seluas 1.83 hektar.

Ia menawarkan dua blok bangunan masing-masing setinggi 32 tingkat dan 31 tingkat yang mengandungi 910 unit kediaman.

“M Oscar menawarkan empat jenis unit iaitu masing-masing dengan keluasan 708 kaki persegi (kps) dilengkapi dua bilik tidur dan dua bilik air, 895 kps (tiga bilik tidur serta dua bilik air).

“Selain itu, ia juga mempunyai rumah pada keluasan 1,096 kps yang terdiri daripada empat bilik tidur dan dua bilik air serta 1,198 kps yang mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air,” katanya.

M Oscar menawarkan rumah pada harga bermula daripada RM428,000 seunit.

Dibina pada ketinggian 100 meter dari aras laut, M Oscar menampilkan gaya hidup yang berlainan dengan pemandangan luar biasa di sekelilingnya serta tiga konsep utama yang diselitkan bersama binaannya.

Katanya, penghuni kediaman di M Oscar bakal menikmati 35 kemudahan seperti kolam renang sepanjang 50 meter, taman permainan, pavilion BBQ, gimnasium, trek joging, jakuzi dan kebun bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:21 AM