PROJEK hartanah pertama Mah Sing Bhd (Mah Sing) di Wangsa Melawati menerima sambutan positif.
PROJEK hartanah pertama Mah Sing Bhd (Mah Sing) di Wangsa Melawati menerima sambutan positif.
Bisnes Metro

M Adora, projek hartanah pertama Mah Sing Bhd (Mah Sing) di Wangsa Melawati menerima sambutan positif ketika dilancarkan hujung minggu lalu dengan Menara A membabitkan 378 unit merekodkan kadar pengambilan kira-kira 90 peratus.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, sambutan luar biasa yang diterima untuk projek berkenaan membuktikan permintaan ke atas produk berkualiti di lokasi strategik kukuh.

"Pelancaran M Adora tepat pada waktunya, menyusul selepas pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan beberapa insentif mesra harta tanah lain yang tentunya memberikan dorongan kepada pencari rumah untuk memiliki kediaman dengan segera.

"Selain kadar pembelian berjumlah 90 peratus dari M Adora pada hujung minggu lalu, projek kami yang lain juga mendapat sambutan sangat baik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

M Adora adalah projek kondominium yang menawarkan 677 unit membabitkan dua menaranya itu terletak hanya sembilan kilometer dari KLCC dengan harga permulaan RM468,000.

Projek yang dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin hujung minggu lalu yang dibangunkan di atas tapak seluas 1.82 hektar menawarkan tiga jenis saiz kediaman. iaitu Jenis A berkeluasan 850 kaki persegi (kps) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Jenis B berkeluasan 1,000 kps dengan tiga bilik tidur, satu bilik belajar dan dua bilik air manakala Jenis C yang berkeluasan 1,200 kps ialah unit dwi kunci yang mengandungi empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Setiap penghuni juga akan diberi antara dua hingga tiga parkir bergantung mengikut jenis kediaman yang dibeli dengan yuran penyelenggaraan pula ialah 35 sen bagi setiap kps.

Projek pembangunan yang dijangka siap pada 2024 itu menawarkan 35 kemudahan kepada penghuninya termasuk kolam renang, taman permainan, taman riadah, jambatan langit, dek langit, tadika, pusat asuhan, surau, gelanggang separuh bola keranjang, gimnasium dan dewan serbaguna.

Disokong oleh permintaan kukuh, Menara B projek berkenaan kini dibuka untuk jualan dan pembeli ditawarkan keistimewaan early bird dan first come, first served.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:59 AM