SHAZREEN merakam memori di padang pasir, Bafgh di luar kota bandar Yazd.
SHAZREEN merakam memori di padang pasir, Bafgh di luar kota bandar Yazd.
Hafiz Ithnin

Terbuntang mata penulis melihat karya fotografi dirakam seorang lelaki berusia 34 itu tatkala dia menunjukkan pengembaraannya di Iran selama sembilan hari baru-baru ini.

Sebenarnya kenalan penulis itu seorang yang suka mengembara kerana sekeping foto. Kali ini karya dibawanya dari empat bandar iaitu Tehran, Yazd, Isfahan dan Tehran mempunyai aura keunikan tersendiri.

"Berapa lama engkau rancang ke Iran?" tanya penulis kepada Mohamad Shazreen Mohamad Yunus.

"Tidak sampai seminggu, Isnin aku beli tiket tanpa ada rancangan dan Sabtu kemudiannya, aku berangkat," katanya. Dia yang penulis kenali memang gemar mengembara tanpa ada perancangan awal.

Bercerita kepada penulis, dia yang lebih mesra disapa Shazreen berkata, sebelum ini, dia pernah mengembara solo seperti menaiki motocross di sempadan Vietnam-China dan juga merentasi tiga negara dari Thailand-Laos-Cambodia hanya menaiki sleeper bus iaitu bas yang menyediakan tempat tidur untuk perjalanan jarak jauh.

"Setiap pengembaraan menceritakan perjalanan dan mematangkan cara kita menghargai setiap peluang yang wujud dalam sebuah kehidupan hakiki.

"Jadi aku ingin cuba keluar dari zon selesa dan mengembara solo di negara timur tengah seperti Iran. Aku ada membaca sedikit mengenai negara ini yang sebenarnya mengalami sekatan ekonomi dunia lebih 20 tahun dari kuasa besar, Amerika Syarikat. Perkara itu menyebabkan aku tertarik untuk melihat dunia nyata di sana," katanya.

Kata, ketika berada di Iran segala jenis bayaran seperti kad kredit dan kad debit jenama besar seperti Visa, Mastercard termasuk transaksi dari luar negara tidak berfungsi di negara itu kerana sekatan ekonomi dunia.

PANORAMA waktu malam dari bumbung rumah seni Yazd atau Yazd Art House.
PANORAMA waktu malam dari bumbung rumah seni Yazd atau Yazd Art House.

"Hanya wang tunai sahaja boleh diterima termasuk Dolar Amerika dan Pound untuk pertukaran mata wang kepada Iranian Rial.

"Perkara ini kerana setiap aliran transaksi berlaku dalam Iran sahaja. Ada cara lagi seperti membawa wang tunai, pergi ke bank di bandar Iran untuk mendapatkan kad debit dan boleh membayar apa-apa sahaja transaksi jual beli di Iran," katanya.

Namun katanya, teknologi pembayaran negara itu tidak terkebelakang contohnya ada pengimbas kod bar menggunakan telefon pintar untuk membeli barang, perkhidmatan kereta api dan kedai-kedai runcit," katanya.

Katanya lagi, perjalanannya mengembara di Iran antara lain ingin melihat seni bina yang hebat, belajar mengenai sejarah tertua kerajaan Parsi iaitu nama lama Iran dan misi penting mencari gambar utama untuk menerbitkan buku pengembaraan solo kelak.

"Insurans untuk pengembaraan di sini hanya boleh dibeli di sebuah syarikat insurans di Iran sendiri kerana sekatan ekonomi dunia.

"Kalau perkhidmatan internet dan rangkaian telekomunikasi, aku pilih jenama Iran Cell yang mampu mencapai setiap tempat sekitar di Iran dan tiada tamat tempoh," katanya.

Jelas Syazreen lagi, di Iran juga ada aplikasi e-hailing terkemuka seperti di Malaysia iaitu jenama Snapp! untuk membuat tempahan kereta ke destinasi dituju tanpa membuat bayaran, hanya tambah nilai melalui dalam talian dan aplikasi.

"Kos membuat tempahan kereta melalui Snapp! separuh harga dari menggunakan khidmat teksi rasmi dan senang didapati di bandar besar.

"Pembelian tiket kereta api boleh dibuat di laman web iranrail.net atau di kaunter stesen kereta api contohnya di stesen kereta api terbesar, Tehran," katanya.

Katanya, landskap dan geografi Iran dikelilingi gunung-ganang dan padang pasir contoh bandar ibu negeri, Tehran. Sistem pengangkutan awam bas, kereta api dan jalan di padang pasir berjaya menghubungkan semua bandar.

"Rencana perjalanan aku dari bandar Tehran ke Bandar Yazd ke Bandar Isfahan dan destinasi terakhir Bandar Tehran (lapangan terbang) ia selama sembilan hari.

"Kereta api dan stesen bas mudah didapati di bandar utama dan mudah dibeli termasuk harga sleeper train iaitu kereta api yang mempunyai tempat tidur untuk kelas ekonomi sekitar RM33 hingga RM40 sehala dan tiket bas sekitar RM30 hingga RM40.

"Dalam kereta api disediakan katil tempat tidur bersama enam orang asing pada satu gerabak, tandas dan ruang membuat air serta tempat melihat pemandangan dari tingkap. Pengangkutan awam seperti kereta api ini cukup terkenal pada era Raja Reza Shah dari 1927 hingga 1938," katanya.

Katanya lagi, pengangkutan itu juga sebahagian tapak warisan dunia mengikut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

KOMPLEKS Amir Chakhmaq dibina pada era dinasti Timurid pada abad ke 15.
KOMPLEKS Amir Chakhmaq dibina pada era dinasti Timurid pada abad ke 15.

Ia mendapat pengiktirafan pada 2021 kerana kejuruteraan hebat pada abad ke-20 kerana mampu melengkapkan perjalanan sejauh 866 batu merentasi pergunungan dari satu tempat lain dan padang pasir.

"Perjalanan dari Tehran menaiki kereta api ke Bandar Yazd mengambil masa lapan jam dan bandar ini terletak di atas padang pasir dengan ketinggian 1,200 meter (m) paras aras laut. Kejuruteraan hebat masa era kerajaan Parsi membina bandar menggunakan tanah liat atau 'clay brick' mampu mengurangkan haba panas di padang pasir.

"Perkara ini kerana purata hujan di bandar Yazd hanya 28 hari dalam setahun, tetapi ada dua musim di sini, musim panas sekitar lapan bulan dan musim sejuk empat bulan," katanya.

Disebabkan pelancong ramai pada musim panas, dia memilih melancong pada musim sejuk untuk menjimatkan perbelanjaan dari segi tempat tinggal, makanan dan boleh mengambil gambar pada satu-satu tempat tanpa 'kelibat' manusia.

"Ini cara aku jimat setiap kali pengembaraan di negara-negara asing. Aku suka cari tempat tidak menjadi tumpuan orang ramai dan tempat itu jauh dari bandar utama," katanya.

Bercerita lagi mengenai destinasi, katanya, bandar Yazd menjadi pilihan kerana majalah terkenal NatGeo pernah menerbitkan artikel mengenai antara bandar tertua di dunia dan bandar Yazd mendapat pengiktirafan Unesco pada 2017.

"Pakar budaya dunia percaya bandar Yazd berjaya menggunakan sumber yang terhad di padang pasir dengan mencipta sistem Qanat.

"Ia sistem air melalui bawah tanah dari pergunungan ke Yazd yang membantu pertanian penduduk dan penyimpanan tangki terbesar air di bandar Yazd untuk musim panas.

"Kedudukan Yazd di padang pasir dengan laluan angin dari gunung-ganang dan menara penangkap angin, tangki air serta Qanat membantu menyejukkan bandar kerana ada laluan air dibina di bawah tanah," katanya.

Tambahnya, Masjid Jamed di Yazd, dibina pada abad ke-14 dengan rupa bentuk seni bina dari Azerbaijan dan Syiah dengan jubin biru, kubah dan dua menara di sebelah kiri serta kanan amat menarik perhatian.

"Aku juga menuju ke padang pasir di luar kawasan Yazd. Sebelum itu, aku harus mendapatkan khidmat jurupandu dan kenderaan empat roda untuk membantu selok-belok di sana.

"Aku cuba bermalam seperti berkhemah di padang pasir dengan suhu antara tiga hingga lima darjah Celcius pada sebelah malam. Ketika matahari terbit, aku mendaki di padang pasir untuk merakam gambar cuma keseorangan kerana jurupandu masih tidur. Sambil aku melihat matahari terbit dari pergunungan Iran," katanya.

Akhir bicara ujarnya, dunia ini bergerak seperti kapal berlayar yang ditentukan arah angin, arus ombak berlawanan, pusingan arah sebuah orbit bumi dan matahari.

"Kita ini cuma pelayar dunia, mencari matlamat hidup yang terus memberi peluang menemui jalan yang dicari," katanya yang menoktahkan penceritaan kepada penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 7:00 AM