TAMAN rekreasi Mellat, Tehran.
TAMAN rekreasi Mellat, Tehran.
GUNUNG Sofeh, Isfahan.
GUNUNG Sofeh, Isfahan.
33 Arches Bridge, Isfahan.
33 Arches Bridge, Isfahan.
KALE Pache makanan tradisi Iran.
KALE Pache makanan tradisi Iran.
SUASANA di Old Bazaar .
SUASANA di Old Bazaar .
OLD Bazaar (Naqsh-e Jahan Square), Isfahan.
OLD Bazaar (Naqsh-e Jahan Square), Isfahan.
PENULIS bersama pelajar sekolah.
PENULIS bersama pelajar sekolah.

SHUHADA MANSOR berkesempatan meneroka negara Parsi yang jelas berbeza daripada apa yang dikhabarkan. Jom kita kongsi pengalaman penulis yang berpeluang mengembara ke negara itu.

Berbanding Eropah atau negara Asia lain, Iran bukanlah sebuah negara yang menjadi pilihan majoriti anak muda untuk mengembara. Mungkin faktor kedudukannya yang terletak bersebelahan negara bergolak iaitu Iraq menjadikan ia takut untuk dilawati. Namun, kembara lima hari penulis ke negara Parsi ini banyak mengubah persepsi tipikal yang ternyata berbeza daripada apa yang dilaporkan di media massa.

Tidak dinafikan kepadatan penduduk, kesesakan trafik terutama di bahagian ibu negaranya iaitu Tehran tidak jauh beza seperti berada di Jakarta. Pun begitu, aura masyarakatnya yang ramah meskipun wujud kekangan bahasa membuatkan penulis kagum dengan budaya mereka yang sangat menghargai pelancong luar.

Kepadatan penduduk dengan populasi hampir 70 juta (Wikipedia, 2006) menjadikan Iran sebuah negara padat, namun kurang dirasai kerana kebanyakan penduduknya tertumpu di kawasan bandar. Tehran dihuni penduduk seramai lebih tujuh juta orang dan kawasan metropolisnya pula seramai 14 juta orang.

Berbeza dengan negara lain, penduduk Iran meggunakan bahasa mereka sendiri iaitu bahasa Parsi. Bahasa Parsi antara bahasa yang tertua di dunia yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Selain bangsa Parsi, Iran juga didiami etnik minoriti seperti Azeri, Turkmen, Lurs dan Baloshi.

Menu pesawat pembuka selera

Bermula dengan menaiki Mahan Air iaitu penerbangan kendalian syarikat swasta menyuntik aura berbeza kepada penulis. Jika sebelum ini penulis lebih gemar memilih penerbangan kendalian syarikat tempatan, namun mencuba sesuatu yang baru ternyata tidak merugikan.

Perbezaan pertama sebelum menjejakkan kaki di negara Parsi dimulakan dengan layanan ramah pembantu penerbangan. Makanan bercirikan selera Parsi yang dihidang antara persediaan awal untuk penulis mempersiapkan diri dengan juadah berbeza sepanjang kembara di negara itu. Ruang rehat yang luas membuatkan hampir tidak terasa perjalanan selama kira-kira lapan hingga sembilan jam ditempuhi dengan cukup selesa.

Takut bertukar teruja

Tidak dinafikan, sebelum menjejakkan kaki ke sini, perasaan takut, bimbang bercampur baur menjadikan penulis berasa was-was. Namun, saat pertama kali melihat sendiri pembangunan bandar raya Tehran dengan landskap menghijau dan persekitaran menarik mematikan terus aura negatif di minda.

Berpeluang berjalan-jalan mencari makanan di gerai tepi jalan memberi kelebihan kepada penulis untuk mengenali lebih dekat cara hidup masyarakat Parsi. Meskipun ada antara warganya yang kurang fasih berbahasa Inggeris, namun mereka cuba sedaya upaya untuk berkomunikasi walaupun terpaksa menggunakan bahasa tubuh.

Selepas beberapa kali disoal mengenai negara asal, penulis mulai faham cara sebutan mereka terhadap Malaysia. Berbanding ‘Malaysia’, mereka lebih cepat mengangguk faham sekiranya kita menyatakan asal daripada ‘Malayzi’. Menurut rakan penulis, sebutan ini hampir sama jika anda melancong ke negara Timur Tengah lain meskipun berbeza latar belakang budaya.

Beberapa hari di Tehran dengan melawat tempat bersejarahnya seperti muzium karpet, muzium barang kemas, istana lama dan beberapa tempat menarik lain melupuskan rasa takut dan digantikan dengan perasaan teruja.

Cuba makanan pelik

Keramahan penduduk Iran terhadap pelancong luar tidak terhad ataupun hanya memilih mana-mana negara. Mendengar saja penulis berborak menggunakan bahasa berbeza, lantas ditegur dengan ramah dan diajak makan bersama-sama.

Antara menu pelik yang kemungkinan besar tidak boleh didapati di negara kita adalah sup otak kambing. Berborak panjang dengan pemandu teksi di bandar Tehran membawa kepada pengalaman cukup menarik untuk diceritakan kepada sesiapa saja. Sup yang dihidangkan sama ada dengan roti atau nasi itu antara menu tradisional masyarakat Iran. Mungkin tidak semua yang boleh mencubanya, namun melihat bagaimana mereka berselera menikmati hidangan itu menyedarkan kita betapa setiap negara mempunyai keunikan tersendiri.

Didendangkan lagu tradisi

Kembara penulis diteruskan ke dua kota lain iaitu Isfahan dan Kashan. Semakin jauh daripada hiruk-pikuk bandar, suasana tenang dirasai mencerminkan cara hidup mereka yang sederhana.

Lari daripada rutin biasa dengan melawat tempat bersejarah sekitar kota Isfahan, penulis berkunjung ke Gunung Sofeh yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki teksi. Kereta kabel tersedia untuk membawa pelancong naik ke puncak Sofeh, sekali gus menikmati pemandangan kota itu dari puncak gunung.

Bertemu dengan sepasang penduduk tempatan yang turut sama bersantai di atas puncak gunung itu membawa kepada memori yang tidak akan penulis lupakan. Dibantu ketika ingin membeli minuman panas kerana penjualnya tidak tahu berbahasa Inggeris, penulis kemudiannya dihantar oleh mereka ke lokasi seterusnya secara percuma.

Perjalanan kami menuruni gunung menaiki kereta kabel didendangkan dengan nyanyian Kareem. Katanya, lagu alunan Parsi itu adalah lagu tradisional berkisar mengenai penduduk Parsi yang tinggal di tepi sungai. Apa yang boleh penulis gambarkan, tanpa mengira usia, penduduk Parsi mudah mesra dan gemar meraikan kedatangan pelancong dengan sikap penuh terbuka.

Sepanjang beberapa hari di sana, penulis dapat simpulkan bahawa tidak perlu kita wujudkan persepsi negatif terhadap mana-mana negara jika kita sendiri belum menjejakkan kaki ke sana. Ada sisi lain yang perlu dipertimbangkan tetapi bagi penulis, jalan terbaik untuk memahami adalah dengan meneroka sendiri ikut cara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 8:42 AM