GAYA elegan trak pikap.
GAYA elegan trak pikap.
Lizam Ridzuan


KEBANYAKAN jenama trak pikap di Malaysia adalah keluaran syarikat Jepun, namun terdapat jenama dari China dan dua jenama lain memecah dominasi iaitu Ford (Amerika Syarikat) serta Peugeot Landtrek (Perancis) yang ditawarkan ke pasaran tempatan.

Vroom berpeluang memandu uji model ini yang hanya ditawarkan menerusi satu varian iaitu 1.9D Allure.

Jika dilihat daripada segi luaran ternyata imej premium jenama Peugeot itu terserlah menerusi rekaan gril hadapan dengan logo singa.

Padanan elemen krom itu diserlahkan dengan bentuk lampu hadapan dengan lampu LED dan lampu nyalaan siang (DRL) ciri signatur jenama Perancis ini iaitu bentuk taring singa.

Pada bahagian bawah bampar dengan elemen 'Skid Plate' menambah gaya lasak serta bahagian sisi dengan tangga sisi, cermin sisi krom, rim aloi 18 inci, serta pada belakang rekaan lampu bergaya dan pada pintu kargo dengan logo jenama dan model.

Menjengah ke dalam ruang kabin, meneruskan kesinambungan gaya premium dengan padanan warna gelap untuk kekal elegan seakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

RUANG kabin gaya elegan.
RUANG kabin gaya elegan.

Untuk pemandu dengan roda stereng kulit bergaya pelbagai fungsi serta boleh laras ketinggian, meter LCD 4.2 inci dan sistem infotainmen bersaiz 10.2 inci dengan kedudukan paparan sudutnya menghadap pemandu.

Selain dengan keterhubungan Bluetooth untuk Apple CarPlay dan Android Auto ia juga dengan fungsi kamera paparan 360 darjah bagi kemudahan urusan parkir atau mengundur.

Ia dengan butang fungsi di dalamnya dengan rekaan elemen piano yang juga terdapat dalam semua model baharu Peugeot juga dilengkapi pada Landtrek.

Kerusi hadapan adalah larasan elektrik dengan enam ketetapan dengan dua untuk sokongan bahagian belakang.

Kerusi belakang boleh dijatuhkan dengan nisbah 60:40 juga selesa dengan bahagian tengah boleh dijadikan sebagai perehat lengan atau meletak air minuman dengan fungsi Isofix.

ENJIN 1.9 liter turbo diesel.
ENJIN 1.9 liter turbo diesel.

Untuk penumpang belakang juga disediakan corong pendingin hawa dan satu pengecas USB serta dua untuk bahagian hadapan.

Menyentuh mengenai pemanduan model ini dikuasakan dengan enjin 1.9 liter empat silinder selari common rail turbo diesel yang menjana 152PS pada 4,000rpm dan tork 350Nm pada 2,800rpm.

Ia didatangkan dengan transmisi automatik enam kelajuan serta dengan pilihan pacuan dua, empat (rendah dan tinggi) roda (2H, 4H,4L) yang boleh dipilih menerusi putaran pada butang yang terdapat pada konsol tengah.

Trak pikap ini juga dengan dua mod pemanduan iaitu Sport dan Eco bagi disesuaikan dengan keperluan dan laluan perjalanan penulis.

Sudah pasti pada pemanduan di lebuh raya meskipun kuasanya tinggi, namun sebagai trak pikap masih terasa olengan terutama ketika melayan selekoh panjang dengan suspensi hadapan double wishbones dan dedaun pada belakang.

Namun sememangnya trak pikap bukan untuk disasarkan penggunaannya buat 'kaki tekan' kelajuan tinggi, tetapi keupayaannya menempuhi pelbagai laluan dengan baik serta membawa lebih muatan.

KARGO luas.
KARGO luas.

Jarak kelegaan jalan dengan 235 milimeter (mm) membolehkan ia mengharungi air sedalam 600 mm dan sudah pasti ketika melalui jalan tidak berturap trak pikap adalah pemenangnya!

Secara keseluruhannya Peugeot Landtrek 1.9D Allure salah satu daripada barisan pilihan trak pikap di Malaysia yang tampil elegan dan gaya premium terutama buat penggemar jenama Eropah.

Selain kemampuan membawa lebih muatan, ia juga dilengkapi ciri keselamatan dengan 6 beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Bantuan Menuruni Bukit (HADC) dan Bantuan Mula Bukit (HSA).

Pada ruang kargo juga terdapat satu soket 12V dan lampu LED-lit bagi kemudahan menyambung kuasa untuk alatan eletrik dan pencahayaan pada waktu malam.

Menerusi tangki bahan api 80 liter diesel ia mampu menjangkau perjalanan lebih 750 kilometer bergantung kepada gaya dan corak tunggangan masing-masing.

Terdapat enam pilihan warna dan untuk pandu uji ini adalah daripada Olea Green tampil unik dan menyerlah.

CIRI lasak trak pikap.
CIRI lasak trak pikap.

Model ini adalah import sepenuhnya (CBU) hasil kerjasama Peugeot dan Changan Automobile, China menerusi platform Changan Kaicheng F70.

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot Landtrek 1.9D Allure dijual pada harga RM120,072 edaran Bermaz Auto Alliance (BAASB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 6:40 AM