Lizam Ridzuan

Gaya kompak ciri urban antara yang diketengahkan untuk Volvo XC40 T5 R-Design sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover ini mula ditawarkan ke pasaran tempatan pada 2018.

Tiga tahun selepas itu, diperkenalkan pula model XC40 dengan ciri Kenderaan Plug-In Hibrid (PHEV) yang melengkapi keseluruhan model Volvo di Malaysia dengan ciri sebegitu.

Namun, evolusi diteruskan pada tahun ini dengan pengenalan Volvo XC40 Recharge Pure Electric.

Ia adalah Kenderaan Elektrik (EV) dan satu anjakan teknologi terbaharu jenama itu di Malaysia.

Lebih menarik, ia adalah kenderaan elektrik pertama di Malaysia yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Volvo di Shah Alam, Selangor.

Vroom berpeluang memandu uji Volvo XC40 Recharge Pure Electric pada sesi pandu uji di Janda Baik, Pahang anjuran Volvo Car Malaysia.

Model ini secara asasnya sama dengan model XC40 sebelum ini yang diasaskan daripada platform Compact Modular Architecture (CMA).

Rekaan luaran dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk tukul 'Thor' adalah ciri signatur model-model Volvo.

VOLVO XC40 Recharge Pure Electric tawar prestasi ciri masa hadapan.
VOLVO XC40 Recharge Pure Electric tawar prestasi ciri masa hadapan.

Ia juga didatangkan dengan ciri Pencahayaan 'Bending' Aktif (ABL), Sistem Penetapan Tahap Lampu Utama Automatik, lampu kabus hadapan dengan fungsi selekoh LED dan lampu brek belakang pada kedudukan tinggi.

Oleh kerana ia adalah kenderaan elektrik (EV), maka tiada gril radiator. Bahagian itu ditutup sepenuhnya dengan warna kereta serta diperkemaskan dengan logo Volvo.

Ia juga didatangkan dengan rim aloi corak lima jejari potongan berlian hitam bersaiz 19 inci manakala pengecas elektriknya pula terletak pada bahagian sisi kiri kenderaan.

Ruang dalaman kabin tampil elegan dengan ciri dan gaya Volvo seperti papan pemuka dengan sistem infotainmen menegak bersaiz sembilan inci yang dihubungkan dengan Android serta Peta Google.

Sistem pembesar suara Harman Kardon menambah ciri premium model ini.

Untuk pemandu, disertakan kluster meter TFT bersaiz 12.3 inci paparan digital adaptif serta Sistem Maklumat Pemandu Pintar.

Ia juga dilengkapi roda stereng tiga jejari kulit buatan dengan lapisan Unideco, pedal sport dan penukar gear daripada R-Design.

Kerusinya pula gabungan kulit dan tekstil Nubuck. Bagi kerusi pemandu, ia dilengkapi larasan elektrik selain fungsi memori.

Lebih menarik sudah pasti aspek pemanduan. Ia dilengkapi sistem Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) elektrik dwi-motor pada gandar hadapan dan belakang dengan pacuan semua roda.

Sebaik memasuki kenderaan, motor elektrik sudah sedia dihidupkan, malah tanpa bunyi.

Ia boleh bergerak dengan ciri pedal tunggal iaitu brek dan kelajuan.

SPOILER belakang dengan rel bersepadu pada bumbung.
SPOILER belakang dengan rel bersepadu pada bumbung.

Perjalanan kami bermula dari Subang dengan memasuki Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menuju Gombak.

Kami kemudian memasuki Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Bentong dan berpatah balik ke Janda Baik.

Dalam lingkungan jarak lebih 100km itu, penulis mencuba pemanduan dinamik kenderaan ini.

Dengan suntikan 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm, ia menyamai jentera berprestasi tinggi.

Volvo XC40 Recharge ini bukan sahaja responsif, malah tork yang tinggi memudahkan pintasan kenderaan lain dilakukan dan ia sangat pantas.

Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer/sejam (km/j).

Model ini dikuasakan dengan bateri Lithium-ion Nickel rich NCM dengan kapasiti 78 kWh.

CIRI papan pemuka ringkas.
CIRI papan pemuka ringkas.

Menerusi pengecasan penuh bateri, ia mampu mencapai jarak sehingga 418km (WLTP). Ia boleh dilakukan di rumah atau lokasi pengecasan awam (rujuk info grafik).

Selesai di Janda Baik, kami berpeluang ke Genting Highlands bagi menguji keupayaan pendakian dan ternyata tiada masalah atau kehilangan kuasa.

Cuma perlu lebih berhati-hati dengan pengendalian kerana kenderaan ini sentiasa bersedia dengan limpahan kuasa.

Meskipun dilengkapi pelbagai ciri terkini, Volvo yang dikenali sebagai kenderaan paling selamat melengkapi semuanya dengan elemen keselamatan terbaik Intellisafe untuk pencegahan dan perlindungan kepada keseluruhan penumpang.

Untuk perlindungan, ciri Keselamatan Bandar membolehkan ia membrek automatik sebaik sistem mengesan persimpangan, pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar.

Ia juga datang antaranya dengan Sokongan Mitigasi dan Amaran Perlanggaran Hadapan serta Belakang, Kawalan Amaran Pemandu (DAC) dan Bantuan Kekal Laluan (LKA).

Bagi perlindungan keseluruhan penumpang, ia juga lengkap dengan 'Pre-Prepared Restraints' (PRS), Perlindungan Jalanan Run-Off, tujuh beg keselamatan SRS, Isofix dan banyak lagi.

Untuk kemudahan pemanduan, ia dilengkapi Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Kawalan Menuruni BUkit (HDC), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Penulis juga sempat menguji Kawalan Pelayaran Adiptif dengan gabungan sistem Intellisafe yang menawarkan kemudahan tambahan terutama ketika menempuh kesesakan jalan raya untuk kenderaan bergerak dengan pengendalian minimum.

PENGECAS elektrik.
PENGECAS elektrik.

Secara keseluruhan, Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini akan menjadi pemangkin kepada pasaran EV di Malaysia.

Malah menurut Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Charles Frump, pihaknya berhasrat melancarkan model EV baharu setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang dan selepas ini, model C40 bakal menjengah ke pasaran tempatan.

Ia seiring visi global Volvo Cars iaitu 50 peratus barisan model adalah elektrik menjelang 2025, sebagai pengeluar kereta elektrik sepenuhnya pada 2030 dan syarikat neutral iklim menjelang 2040.

Sudah pasti tiada kos petrol lagi diperlukan dan secara purata, pandu uji kami pada hari itu untuk jarak 400km hanya membabitkan kos sekitar RM28 berdasarkan anggaran kadar tarif elektrik semasa.

Malah untuk kos servis juga, dengan selang masa setiap 30,000km, ia pastinya menawarkan lebih kelegaan kepada pemilik.

Sememangnya model ini seronok untuk dipandu dan bakal memberi pengalaman baharu kepada pemiliknya.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Black Stone, Crystal White Pearl, Denim Blue, Glacier Silver dan Sage Green.

Untuk pasaran Malaysia,XC40 Recharge Pure Electric dijual pada harga RM262,459 yang merangkumi kabel pengecas kereta, pakej servis (tahun/km), jaminan kenderaan selama lima tahun, bateri HV (lapan tahun) dan bantuan jalanan (lima tahun).

SPESIFIKASI

VOLVO XC40 RECHARGE PURE ELECTRIC

• Enjin: Bateri elektrik dwi-motor pacuan semua roda

• Transmisi: Satu kelajuan

• Kuasa maksimum: 408 hp

• Tork maksimum: 660Nm

• Kuasa motor elektrik maksimum: 300kWh

• Ciri keselamatan: Sokongan Mitigasi dan Amaran Perlanggaran Hadapan serta Belakang, Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dengan Bantuan Pengendalian, Amaran Trafik Melintas (CTA) dengan brek auto, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

Bagi Perlindungan keseluruhan penumpang juga dengan Pre-Prepared Restraints (PRS), Perlindungan Jalanan Run-Off, tujuh beg keselamatan SRS, Isofix dan banyak lagi.

• Harga: RM262,459 (atas jalan tanpa insurans selepas pengecualian cukai)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 11:05 AM