TAMPIL gaya coupe sporty.
TAMPIL gaya coupe sporty.
Lizam Ridzuan


SELEPAS pelancaran XC40 Recharge Pure Electric pada Mac tahun lalu, Volvo C40 Recharge Pure Electric pula diperkenalkan.

Ia model kenderaan elektrik (EV) kedua dalam barisan Volvo Car Malaysia.

Kenderaan ini bukan saja lebih sporty malah menampilkan elemen prestasi.

Untuk rekaan bahagian hadapan, dengan ciri tanpa gril, ia digantikan dengan permukaan dipersiapkan bersama logo Volvo.

Ia juga datang dengan lampu nyalaan siang (DRL) berkonsepkan tukul 'Thor' sebagai ciri signatur Volvo.

Pada bahagian belakang, bumbungnya lebih rendah. Ia juga dilengkapi spoiler yang berfungsi menjadikan kenderaan ini lebih stabil pada kelajuan tinggi.

CIRI konsep baharu lampu belakang.
CIRI konsep baharu lampu belakang.

Selain cermin sisi hitam, kenderaan ini dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci dengan saiz tayar hadapan ialah 235/50 manakala saiz tayar belakang ialah 255/45.

Bagi ruang dalaman, antaranya dilengkapi kerusi hadapan larasan elektrik serta sistem infotainmen 9 inci menegak dengan fungsi skrin sesentuh berwarna.

Menerusi dwimotor elektrik transmisi automatik satu kelajuan pacuan semua roda, ia menjana 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm.

KEMASAN kabin ciri signatur Volvo.
KEMASAN kabin ciri signatur Volvo.

Ia juga hanya mengambil masa 4.7 saat untuk memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j).

Paling utama, ia mampu bergerak sehingga 450km dengan sekali cas.

Baterinya pula boleh dicas sehingga 80 peratus dalam tempoh 28 minit menerusi bateri Lithium-Ion Nickel rich NCM 78 kWh.

Seperti model lain Volvo, C40 juga dilengkapi dengan ciri keselamatan lengkap seperti beg keselamatan dua peringkat untuk pemandu dan penumpang hadapan serta Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS).

Untuk pasaran Malaysia, Volvo C40 Recharge Pure Electric ditawarkan pada harga RM288,888 (atas jalan tanpa insurans).

Model ini hadir dengan pilihan warna putih, hitam, perak, hijau dan biru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 7:00 AM