TAMPIL gaya sporty.
TAMPIL gaya sporty.
Lizam Ridzuan


ANTARA perkara yang menjadi bualan ramai kini ialah berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan terdapat banyak sekali model yang dibawa masuk ke dalam pasaran di Malaysia.

Satu daripadanya ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo C40 Recharge Pure Electric yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada hujung tahun lalu dan Vroom berpeluang memandu ujinya baru-baru ini.

Kenderaan ini bolehlah dikatakan sebagai versi coupe untuk model XC40 Recharge Pure Electric dengan rekaannya yang tampil lebih sporty.

Secara asasnya, rekaan C40 adalah sama dengan XC40 terutama pada bahagian hadapan yang mengekalkan ciri seperti lampu nyalaan siang gaya tukul "thor' dan lampu LED.

Pada bahagian bumbung belakang lebih rendah 70 milimeter (mm) berbanding XC40 menjadikan kenderaan utilti sukan (SUV) ini tampil bergaya dengan spoiler serta rekaan bentuk lampu terbaharu menegak tampil unik dan berbeza.

GAYA coupe SUV.
GAYA coupe SUV.

Ia juga dipadankan rim bersaiz 19 inci bentuk potongan berlian menjadikan keseluruhan kenderaan tampak gaya aktif.

Ruang kabin juga menawarkan gaya elegan dengan papan pemuka corak topografi menghiasinya yang dilengkapi sistem infotainmen menegak bersaiz 9 inci dengan sistem Google binaan dalam merangkumi Bantuan, Peta dan Play Store untuk tempoh empat tahun.

Ciri itu membolehkan ketika kenderaan ini berhenti anda boleh memainkan aplikasi YouTube pada sistem infotainmen namun ia tidak berfungsi ketika kereta bergerak.

Ia juga dengan sistem bunyi premium Harman Kardon, pembersih udara, kamera 360 darjah dan sistem tempat duduk hadapan larasan elektrik.

RUANG kabin elegan dan ringkas.
RUANG kabin elegan dan ringkas.

Ia juga dengan bumbung panorama yang tiada lapisan fabrik menutupinya membuatkan perjalanan pada siang lebih cerah dan antara yang dilihat sebagai sedikit kekurangan untuk model ini bagi negara rantau Asia Tenggara yang sentiasa panas.

Untuk pemanduan sudah pasti sebagai EV menawarkan sesuatu yang lebih senyap dan jarak perbatuan sehingga 450 kilometer (km) dengan sekali pengecasan menerusi kuasa daripada bateri 78 kWh.

Kuasa yang dihemburkan menerusi dwi motor elektrik menjana 402 kuasa kuda (hp) dan tork 660 Nm serta mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.7 saat.

Ia adalah pacuan semua roda (AWD) dengan kelajuan maksimum sehingga 180 km/j.

Sepanjang pemanduan, penulis dan merasakan kuasa yang ditawarkan sangat lancar dan berprestasi malah tidak banyak perbezaan 'rasa' dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) cuma ia lebih senyap dan sifar emisi.

Kuasanya boleh diperolehi menerusi pengecas 150 kW dengan sifar ke 80 peratus dalam tempoh 28 minit untuk pengecas terus (DC) menerusi penyambung CCS2.

ELEKTRIK sepenuhnya.
ELEKTRIK sepenuhnya.

Untuk pengecas aliran ulang-alik (AC) 11kw mengambil masa sekitar 7.5 jam bagi pengecasan penuh yang kebiasaannya dilakukan di rumah, pusat pengecasan awam, pejabat atau pusat membeli-belah.

Ketika bateri berbaki 32 peratus penulis melakukan pengecasan dengan kos sekitar RM15 untuk 30 min menerusi pengecas DC 30.2kW membolehkan bateri mencapai sehingga 51 peratus untuk perjalanan sehingga jarak 210km.

Secara keseluruhan model Volvo C40 Recharge Pure Electric adalah model pilihan buat mereka yang mahu tampil kelainan dan dalam masa dengan ciri prestasi serta keselamatan terbaik.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM288,888 (atas jalan tanpa insurans) adalah versi pemasangan tempatan (CKD) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan untuk bateri lithium-ion selama 8-tahun atau 160,000 km (yang mana lebih dahulu).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:33 AM