SERONOK timba pengalaman bekerjasama dengan pengarah vokal di Jakarta.
SERONOK timba pengalaman bekerjasama dengan pengarah vokal di Jakarta.
Norhayati Nordin


Rezeki tidak pernah salah alamat! Itu yang boleh dikatakan buat satu demi satu peluang bermakna yang kini diperoleh komposer dan penyanyi wanita berkaliber tanah air, Aina Abdul, 31, dalam karier seninya.

Kalau dulu, bakatnya pernah tidak dipandang ramai, namun kini sebaliknya. Nama Aina sekarang boleh dikatakan tengah 'naik daun' dan dia juga sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri yang setia memberikan sokongan.

Terbaharu, rezeki Aina menyanyikan lagu ciptaan komposer dan penyanyi wanita terkenal dari Indonesia, Melly Goeslow untuk runut bunyi (OST) filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu arahan Hanung Bramantyo, disifatkan peluang bermakna bagi dirinya.

Menurut penyanyi lagu Sumpah dan Semalam ini, dia berharap karya lagu baharu nyanyiannya secara duet bersama penyanyi Indonesia, Fabio Asher itu membawa diri dan bakatnya diterima baik pendengar di negara jiran berkenaan.

"Alhamdulillah, saya amat gembira sebab ia peluang yang tidak pernah difikirkan selama ini, tapi akhirnya menjadi kenyataan. Saya dapat menyanyikan lagu ciptaan Melly dan tidak sabar sebenarnya mahu pendengar menilai.

"Tidak lama juga saya merakamkan lagu ini, kira-kira tiga jam dan proses itu amat teliti kerana turut bekerjasama dengan seorang pengarah vokal terkenal di Jakarta. Dia pernah bekerja menjaga vokal untuk Afgan dan Datuk Seri Rossa.

"Jadi, sebenarnya satu pengalaman baharu juga buat saya apabila dapat bekerja dengan seorang pengarah vokal. Ini kerana, selama bertahun-tahun saya menyanyi dan membuat rakaman lagu, tak pernah menggunakan khidmat pengarah vokal," katanya.

Menurut Aina, dia amat selesa apabila ada seseorang yang menjaga vokalnya ketika menjalani proses rakaman lagu dan itu banyak membantu dalam memastikan produk dihasilkan berkenaan terbaik.

"Saya rasa macam dilindungi seseorang yang berpengetahuan dan berpengalaman (ketika proses rakaman lagu). Sebelum ini, saya yang mengarahkan vokal sendiri dan apa yang dirasakan betul, itu yang saya nyanyi.

"Tapi, kini saya dapat pengalaman baharu iaitu sentuhan daripada pihak yang tepat seperti pengarah vokal. Biasalah, kadangkala kita nyanyi dah rasa betul, tapi mungkin nyanyiannya sedap, namun 'feel' yang kurang dan itu saya kena terus perbaiki lagi," katanya.

Aina persembahkan lagu ciptaan komposer, penyanyi wanita terkenal Indonesia untuk OST filem Cinta
Aina persembahkan lagu ciptaan komposer, penyanyi wanita terkenal Indonesia untuk OST filem Cinta

Mengakui dia mungkin perlu ada pengarah vokal selepas ini, Aina berkata, bagi memastikan memperoleh hasil kerja seni yang bagus dan terbaik, tiada masalah untuknya menggunakan khidmat pengarah vokal berkenaan.

Turut melihat kerjasamanya bersama pemuzik di Indonesia itu sebagai satu ruang untuk mengembangkan pengaruh bakat seni di sana, Aina berkata, dia hanya mampu bersyukur takdir rezeki sudah diatur dengan baik oleh Allah.

"Apa yang boleh dikatakan, saya suka Indonesia dan beberapa kali sudah ke sana, saya rasa makin dekat dan setiap kali saya ke sana juga saya dapat inspirasi. Tidak tahulah menerusi tempat atau orangnya.

"Justeru, bagi saya ini adalah petanda baik untuk karier seni saya berkembang dan fikirkan apa langkah seterusnya serta diharapkan Indonesia adalah salah satu daripada destinasinya," katanya.

Ditanya juga harapannya untuk ada projek duet bersama Melly, wanita asal Negeri Sembilan ini berkata, sudah tentu dia ada impian itu dan semuanya tetap bergantung pada rezeki serta peluang yang datang, temasuk dirinya juga bersedia.

Rezeki konsert di DFP

Sebagaimana penyanyi popular lain, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani juga sudah lama 'bermimpi' membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Jadi, apabila tawaran keemasan itu diperoleh, ia umpama 'a dream come true' yang enggan dilepaskan meskipun ada cabaran dalam persembahan perlu dihadapinya iaitu susunan melodi lagu.

"Saya sangat teruja hendak bekerjasama dengan konduktor muzik MPO, Ahmad Muriz Che Rose yang cukup berpengalaman, sekalipun saya sedar perlu berhadapan cabaran dalam persembahan kerana menyanyi dengan orkestra sangat berbeza.

AINA bersama konduktor muzik MPO, Ahmad Muriz.
AINA bersama konduktor muzik MPO, Ahmad Muriz.

"Ia boleh dianggap umpama 'kerja gila' untuk saya memberanikan diri mencubanya apabila susunan melodi lagu saya akan diubah menjadi sesuatu yang baharu dan lebih segar. Apa pun, saya seorang yang sukakan cabaran.

"Namun, saya ingin berterima kasih kepada MPO dan DFP kerana memberikan saya peluang bermakna ini. Saya akan sehabis baik berusaha menghiburkan peminat yang menonton persembahan saya di konsert ini nanti," katanya.

Terdahulu, Aina ditemui media ketika hadir pada sesi sidang media sempena konsertnya bersama MPO di DFP yang berlangsung pada 10 dan 11 Mei depan di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:20 AM