Aishah pastikan tahap stamina kekal bertenaga bagi persembahan selama dua jam.
Aishah pastikan tahap stamina kekal bertenaga bagi persembahan selama dua jam.
Sudirman Mohd Tahir


MENGIKUT perancangan, Konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Ogos depan sepatutnya diadakan dua tahun lalu. Namun, disebabkan pandemik Covid-19, ia ditunda.

Keterujaan Datuk Aishah, 57, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin tidak dapat disembunyikan lagi apabila penantian selama 37 tahun untuk beraksi solo di pentas berprestij itu akhirnya tercapai.

Bagaimanapun, Aishah yang pernah dua kali dijangkiti Covid-19 mengakui banyak persiapan dan latihan dijalani bagi memastikan tahap stamina kekal bertenaga bagi persembahan selama dua jam.

Aishah berkata, dia mula menjalani latihan ketat sejak dua bulan lalu dan berasa penuh yakin kesihatan diri dalam keadaan terbaik termasuk vokal.

"Dua bulan selepas terkena Covid-19 terasa begitu penat, suara pun menggigil-gigil apabila mengaji al-Quran, namun sekarang semuanya sudah kembali okey. Selain itu, saya menjaga pemakanan dan menjalani latihan ketat supaya dapat memberi persembahan terbaik," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai konsert itu, Aishah berkata, dia bakal mempersembahkan 23 lagu selain mengakui menghadapi kesukaran untuk memilih lagu.

Ini kerana, sepanjang 35 tahun menyanyi, Aishah memiliki lebih 160 seleksi lagu daripada 16 album yang pernah diterbitkan.

"Sebelum ini saya pernah mengajukan pertanyaan kepada peminat di Instagram, kebanyakan mereka meminta saya menyanyikan lagu balada putus cinta. Agak mustahil untuk saya menyanyikan semua lagu hit kerana terlalu banyak dan momentum konsert perlu ada turun naiknya.

"Oleh itu, saya memilih lagu yang menceritakan perjalanan saya sebagai penyanyi. Saya pilih lagu daripada setiap era bermula dari The Fan Club. Menariknya, saya akan menyanyikan sebuah lagu yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini, tetapi popular dalam kalangan peminat," katanya.

AISHAH bersama Ahmad Muriz.
AISHAH bersama Ahmad Muriz.

Menurut Aishah, kebanyakan lagu yang bakal dipersembahkan itu kedengaran begitu segar dan berbeza selepas digubah oleh konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose.

"Saya berharap peminat hadir ke konsert ini dengan fikiran terbuka dan tidak mengharapkan susunan muziknya sama seperti dalam album. Lagu saya masih sama, tetapi kedengaran berbeza.

"Sebagai penyanyi, saya sudah menyanyi puluhan tahun dengan gaya nyanyian yang sama. Kali ini lagu semua agak berbeza, jadi satu cabaran untuk saya," katanya.

Lebih menarik perhatian juga adalah konsert Aishah itu bertembung dengan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Malah, Aishah dalam satu kenyataan sebelum ini ketika Sidang Media Pelancaran Single Ketentuan Takdir ada mencadangkan kepada pihak DFP untuk mengubah tarikh konsert.

Ahmad Muriz berkata, pihaknya menyifatkan penganjuran dua konsert serentak di kawasan berhampiran adalah satu persaingan sihat.

"Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan tiket konsert bahagian C habis terjual, tinggal beberapa bahagian saja lagi yang belum terjual.

"Kami tetap dengan keputusan untuk meneruskan konsert pada hari sama kerana yakin dengan Aishah. Kalau kami tidak yakin dengannya mungkin kami mengambil jalan dengan mengubah tarikh.

"Saya melihat ini satu perkembangan industri seni yang sihat, banyak penganjuran konsert dan peminat sanggup untuk bayar menyaksikan persembahan. Jadi, saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:47 AM