FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerancakan saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024-2025 dijangka terus meriah dengan kehadiran import baharu terutama yang bergred 'A' membabitkan dua pasukan tempatan.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, pasaran jual beli pemain musim ini agak perlahan dengan majoriti pasukan lebih gemar 'mengitar semula' tonggak import yang sudah beberapa musim beraksi di Liga M.

Begitupun, dua pasukan membabitkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bekas juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC tetap tampil berbeza dengan kemasukan awang import yang berkualiti.

Langkah dua kelab itu yang berbelanja besar tidak mengejutkan kerana kedua-duanya sememangnya memerlukan pemain berkualiti bagi membantu pasukan musim ini.

Penampilan di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menyebabkan skuad Harimau Selatan dan Gergasi Merah merekrut pemain import terbaik di mana kehadiran tonggak ini mampu membawa dimensi lain apabila berdepan kelab terkuat dari Jepun dan Korea Selatan nanti.

Daripada analisis dilakukan, tonggak pertahanan kiri baharu JDT, Murilo Santos berada pada kedudukan pemain paling mahal dalam laman sesawang Transfermark.

Santos yang berusia 29 tahun dan berasal dari Brazil berada pada nilai 500,000 Euro atau bersamaan RM2.5 juta.

Kehadiran bekas pemain Seinajoen Jalkapallokerho di Liga Finland itu mampu mengukuhkan benteng pertahanan JDT khususnya apabila bertanding di ACL nanti.

Seorang lagi pemain tumpuan dari JDT adalah pemain tengah menyerang, Nicolao Dumitru yang diletakkan pada tanda harga 250,000 Euro atau RM1.2 juta.

Dumitru yang cukup berpengalaman beraksi dengan pelbagai kelab termasuk Nottingham Forest di England, Suwon Bluewings (Korea Selatan) dan Buriram United (Thailand) diyakini antara bintang yang bakal menyerlah di Liga M musim ini.

Selain itu, penyerang import baharu Selangor FC, Ronnie Fernandez turut perlu diberi perhatian peminat bola sepak tempatan.

Dengan mencatatkan tanda harga sekitar 450,000 Euro atau bersamaan RM2.3 juta, Fernandez bakal menjadi taruhan terbaik Selangor dalam misi merobek gawang lawan sekali gus dilihat pengganti paling ideal mengisi kekosongan ditinggalkan pemenang Kasut Emas musim lalu, Ayron del Valle.

Malah dengan status Fernandez sebagai bekas penyerang skuad kebangsaan Chile meletakkan dia sebagai senjata baharu yang perlu diberi perhatian.

Menurut ejen bola sepak tempatan yang juga Pengarah Proglobal Sports, Raja Azlan Shah, beliau menjangkakan JDT dan Selangor bakal terus menguasai saingan Liga M seperti mana dilakukan pada musim lalu apabila masing-masing menamatkan kempen di tangga pertama dan kedua Liga Super.

"Saya lihat JDT dan Selangor antara pasukan paling hebat berbelanja musim baharu ini dengan kehadiran pemain import berkualiti.

"Mungkin disebabkan mereka perlu bersaing dalam ACL menyebabkan pengurusan kelab memancing pemain yang bagus kerana pengalaman pemain import seperti ini penting dalam memberi keseimbangan kepada pasukan," katanya ketika dihubungi.

Situasi berbeza dialami pesaing lain musim ini dengan Raja Azlan mengakui kebanyakan pasukan memilih untuk berjimat pada musim baharu ini.

"Saya lihat kelab lain agak perlahan dalam mendapatkan pemain import dan ada yang ambil pemain import daripada pasukan lain musim lalu untuk kuatkan pasukan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:40 AM