MARANON (kanan) mengakui JDT mempunyai standard fasiliti yang sama, malah lebih baik daripada kebanyakan pasukan di La Liga. FOTO Ihsan Instagram bienvecadiz
MARANON (kanan) mengakui JDT mempunyai standard fasiliti yang sama, malah lebih baik daripada kebanyakan pasukan di La Liga. FOTO Ihsan Instagram bienvecadiz
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Bienvenido Maranon mengakui skuad Harimau Selatan memiliki fasiliti terbaik di rantau Asia Tenggara, bahkan lebih baik daripada kelab-kelab di La Liga Sepanyol.

Jelas pemain import Filipina kelahiran Sepanyol itu, kemudahan yang terdapat di JDT sebaliknya boleh disifatkan setaraf dengan apa yang dimiliki dua kelab gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid dan Barcelona.

"Saya sangat teruja dengan pengalaman ini. Tidak banyak perkara yang perlu ditambah tentang JDT yang orang belum tahu. Bagi saya, JDT ialah kelab terbaik di Asia Tenggara.

"Anda tidak boleh membandingkan JDT dengan tempat lain di Asia Tenggara. Saya rasa JDT mempunyai standard fasiliti yang sama, malah lebih baik daripada kebanyakan pasukan di La Liga di Sepanyol.

"Apabila anda perlu membandingkan Johor, anda perlu membandingkan dengan Real Madrid, Barcelona dan pasukan-pasukan seperti ini," katanya kepada portal milik Konfederasi Bolasepak Asia AFC) iaitu the-AFC.com.

Maranon antara muka baharu yang di bawa musim ini bagi menambah kekuatan JDT khususnya menjelang saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Ditanya mengenai peluang JDT dalam kempen ACL, dia akui skuad kendalian Benjamin Mora kali ini lebih bersedia dan yakin mampu lakukan kejutan.

"Lawan yang akan kami tempuhi sangat kuat dengan ramai pemain import yang berkualiti dan hebat. Saya fikir ia sama dengan situasi di JDT, sebenarnya.

"Pemain Malaysia (tonggak tempatan) pula berkualiti tinggi dan mampu menaikkan prestasi pasukan. Import juga sangat bagus, jadi saya rasa kami mempunyai pasukan yang sangat kompetitif untuk ACL tahun ini," katanya.

JDT diundi dalam Kumpulan I bersama Guangzhou FC, Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai/Port FC dengan kesemua aksi peringkat kumpulan itu berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim bermula 15-30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 9:49 PM