BAKRI IBNI
BAKRI IBNI
Firdaus Hashim


MALAS dan tiada sikap tanggungjawab adalah dua punca mengapa segelintir pasukan lebih berminat menggunakan tonggak import ‘kitar semula’ setiap musim dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurut bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni, sikap pengurusan yang malas mengkaji dan meneliti calon pemain import baharu benar-benar mengecewakan.

Malah, tanggungjawab pengurusan untuk meningkatkan kualiti pemain tempatan dengan bersaing bersama pemain import berkualiti hanya ‘cakap-cakap kosong’ yang tidak membawa manfaat buat anak tempatan.

“Liga M sudah menuju ke arah liga profesional dan mula dilihat oleh mata luar terutama selepas kejayaan JDT (Johor Darul Ta’zim) beraksi di ACL (Liga Juara-Juara Asia) musim ini. Tapi hakikatnya liga kita masih lagi tidak berkembang dari segi tahap permainan kerana kebanyakan pemain import yang ada adalah pemain sama.

“Kita kena ingat, apa objektif sebenar kemasukan pemain import dalam liga kita. Objektifnya adalah membantu meningkatkan kualiti pemain Malaysia sebab itu dibenarkan kehadiran pemain asing. Tapi kalau asyik pemain sama saja, macam mana pemain kita nak belajar sesuatu daripada mereka (pemain import). Sepatutnya pemain yang dibawa mestilah berkualiti atau lebih baik daripada pemain sedia ada,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim melahirkan kebimbangan suasana Liga M 2020 apabila membayangkan kemungkinan berlangsung suram daripada musim sebelumnya.

Ia berpunca daripada tiadanya faktor ‘wow’ buat peminat bola sepak tanah air khususnya dalam penggunaan pemain import yang ‘dikitar semula’ oleh sebahagian besar pasukan liga tempatan.

Kata Zakaria, beliau beranggapan situasi berkenaan akan lebih mendatangkan banyak keburukan dengan stadium dijangka kosong tanpa kehadiran penyokong yang sudah muak dengan aksi sama diperagakan awang import terbabit.

Dalam perkembangan sama, Bakri antara tonggak utama yang berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka untuk layak ke Sukan Olimpik 1980 mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengetatkan peraturan pengambilan pemain import.

“Saya harap kalau boleh ketatkan sikit peraturan. Letaklah umur pemain pada had 28 tahun saja berbanding sekarang sampai ada yang umur 30 lebih pun main dalam liga kita,” katanya.

Liga M akan membuka tirai pada 28 Februari ini membabitkan pertembungan Piala Sumbangsih antara juara Liga Super musim lalu, JDT dan juara Piala FA, Kedah di venue baharu skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:05 AM