FORTES (kiri) akan memperkuatkan bahagian sayap kiri dan kanan Selangor FC. FOTO SELANGOR FC
FORTES (kiri) akan memperkuatkan bahagian sayap kiri dan kanan Selangor FC. FOTO SELANGOR FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain import baharu Merah Kuning, Alvin Fortes mengakui berhijrah ke Selangor FC kerana kelab terbabit memiliki kemudahan latihan moden dan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan prestasinya.

Malah Fortes, 30, berkata prestasi cemerlang Selangor FC musim lalu menarik minat dia untuk meneruskan kariernya bersama pasukan dari Lembah Klang itu.

Menurut Transfermarkt.com, pemain kebangsaan Cape Verde bernilai 400,000 Euro (RM2.09 juta) itu akan memperkuatkan bahagian sayap kiri atau kanan.

"Saya tahu mengenai Selangor FC dan sering memantau perkembangan pasukan.

"Bagi saya, ini adalah kelab besar dengan kemudahan latihan hebat dan prestasi mereka bagus dalam liga (Liga Super) pada musim lalu.

"Jadi, saya yakin ini adalah kelab terbaik bagi saya untuk meneruskan kerjaya bola sepak," katanya menerusi kenyataan rasmi di Selangor FC.

Sementara itu, pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe berkata, kehadiran Fortes akan menambah kekuatan mereka dari segi menyerang.

"Musim lalu, kami kekurangan pemain sayap tulen yang dapat menyumbang kepada kekuatan serangan kami.

"Kehadiran Fortes akan membolehkan kami mengatasi masalah itu di kedua-dua bahagian kiri atau kanan, terutama semasa bersaing di pentas Asia nanti.

"Berbekalkan pengalamannya dalam liga Thailand, saya harap Fortes dapat membiasakan diri lebih cepat untuk bermain di sini," katanya.

Sebelum hadir ke Liga Malaysia, Fortes sudah beraksi di beberapa negara termasuk di Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama pasukan AGMK FC dari Uzbekistan dan kali terakhir beraksi di Liga Thailand bersama Ratchaburi FC.

Selain Fortes, Selangor FC sudah memperkenalkan pemain pertahanan dari Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov dan penyerang baru, Ronnie Fernandez dari Chile.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 5:59 PM