ALI bersama isteri dan empat anak mereka yang menghidap jantung berlubang. FOTO Aziah Azmee
ALI bersama isteri dan empat anak mereka yang menghidap jantung berlubang. FOTO Aziah Azmee
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Ketika umat Islam teruja menyambut Ramadan dan sibuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, pasangan Ali Nor Rahim Ali dan Nor Alia Abdullah pula memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal itu.

Apa yang lebih penting buat mereka adalah keperluan empat zuriat mereka yang menderita masalah jantung berlubang.

Selain penyakit berkenaan, tiga daripada empat mereka juga mempunyai lebih satu penyakit yang meletakkan mereka dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Sekalipun perit, Ali Nor Rahim, 49, dan Nor Alia, 38, dari Taman Industri Lembah Jaya, Ampang, Selangor menerima ujian itu dengan reda kerana sedar mereka hanya insan lemah yang tidak dapat menolak takdir.

"Kesemua anak saya ada jantung berlubang namun anak sulung, Muhammad Adam yang kini berumur 10 tahun juga disahkan ada sindrom ADNP atau gangguan perkembangan saraf kompleks dan sudah buat pembedahan manakala anak kedua, Siti Salwa, 8, adalah OKU masalah intelektual.

"Anak ketiga saya, Nur Aleeya Damia, 6, pula ada sindrom Russell-Silver atau tumbesaran terbantut juga Tiroid dan setakat ini hanya yang bongsu, Nur Aleeya Husna berumur sembilan bulan ada satu penyakit iaitu jantung berlubang.

"Saya pernah bawa treler selama hampir 22 tahun namun berhenti dan ambil keputusan berniaga selepas doktor sahkan penyakit anak sulung saya.

"Saya lakukannya demi anak dan apa pun dahulukan mereka. Disebabkan itu, saya tak buat persiapan apa pun untuk Ramadan dan raya tak lama lagi terutama buat diri sendiri...jika ada rezeki lebih nanti pun dahulukan anak dan isteri," katanya.

Meskipun isterinya suri rumah, Ali Nor Rahim enggan mengharapkan pasangannya itu semata-mata tetapi mengambil tanggungjawab membawa anaknya ke hospital jika ada temujanji dengan doktor.

"Buat masa ini, saya cari rezeki dengan menjual nasi ayam kunyit di sebuah gerai dekat tepi jalan tapi kadang berniaga dan ada kalanya tidak.

"Ia kerana saya perlu teman anak buat pemeriksaan dengan doktor.

"Jadi, untuk kerja di luar selalu memang tak dapat malah dalam sebulan anggaran pendapatan saya hanya RM1,200, ada ketikanya bawah RM1,000 dan pernah dapat RM700 saja.

"Mujurlah dapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang ringankan beban dengan bayar sewa rumah selain bekalan susu buat Damia (Nur Aleeya Damia) yang minum susu formula dan sumbangan RM200 bagi anak OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang mempunyai masalah katarak pada kedua belah mata hingga buta sebelah kanan dan asma.

Berkongsi isi hatinya, Ali Nor Rahim berkata, dia manusia biasa yang tidak selalunya kuat kerana pernah hampir putus asa apabila melihat seorang demi seorang anaknya dilahirkan dengan penyakit kronik.

"Tapi saya terima qada dan qadar dengan menganggap anak itu rezeki yang Allah bagi.

"Saya kena kuat.. kalau lemah, anak isteri susah. Minta Allah SWT panjangkan umur supaya dapat besarkan anak dan lihat mereka berdikari, itu saja harapan saya..," katanya.

Sementara itu, isterinya, Nor Alia juga reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia ujian buatnya selepas memeluk Islam kira-kira 11 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 7:30 AM