ALI minta peminat mendoakan anaknya, Sharifah Ainul Mardhiah yang berdepan masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Ali Puteh
ALI minta peminat mendoakan anaknya, Sharifah Ainul Mardhiah yang berdepan masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Ali Puteh
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAWAK yang juga ahli kumpulan Puteh, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau Ali berharap peminat mendoakan kesihatan anak keduanya, Sharifah Ainul Mardhiah yang berdepan masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

Ali berkata, anaknya yang kini berusia 20 hari pada mulanya dilahirkan normal di Pusat Rawatan Islam Kohilal, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Katanya, pada hari kelima kelahiran anaknya disahkan menghidap jaundis lalu dipindahkan ke Hospital Ampang pada 12 Ogos lalu.

"Saya dan isteri terkejut apabila doktor memberitahu injap jantung Ainul terbalik selain jantungnya berlubang. Kami membuat pemeriksaan susulan di Hospital Serdang dan sekali lagi diberitahu masalah sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Ali, anaknya setakat ini menyusu badan tetapi mudah penat jika terlalu lama.

"Doktor memberikan vitamin dan pembedahan hanya dapat dilakukan jika berat badannya meningkat empat kilogram. Berat badan Ainul buat masa ini tiga kilogram," katanya.

Katanya, doktor memerlukan masa kira-kira sebulan untuk pemeriksaan sama ada Ainul dapat dibedah atau sebaliknya.

"Saya berharap peminat dapat mendoakan kesihatan Ainul dan semoga dia kuat," katanya.

Menurutnya, dia dalam keadaan mencabar kerana perlu menguruskan dua anak termasuk anak sulung, Sharifah Nur Aaira Qaireenrusia yang berusia dua tahun.

Katanya, isterinya, Melati Fitri Abdullah masih berpantang dan dalam masa sama dia perlu menguruskan penyertaan dalam Muzikal Lawak Superstar 2019 bersama kumpulan Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:56 PM