Siti Rohana Idris

Tumpat: Keadaan kesihatan kanak-kanak perempuan yang pernah menjalani pembedahan pintasan (bypass) pada usia lapan bulan akibat menderita penyakit jantung berlubang kini semakin merosot sekali gus perlu menjalani satu lagi pembedahan dalam masa terdekat.

Nurul Suhaida Hassan, 39, berkata anak ketiganya Nur Farah Aleeya Che Mohd Fairul Ahmadi, 9, semakin kerap demam, cepat penat dan sesak nafas sehingga sering ponteng sekolah disebabkan masalah kesihatan itu.

"Doktor memaklumkan jantung anak saya tersumbat dan menjadikan keadaan jantungnya semakin merosot ditambah lubang yang terbentuk sejak bayi dahulu juga bertambah besar saiznya.

"Aleeya perlu menjalani pembedahan secepat mungkin dan saya dimaklumkan dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan kami buntu untuk menyediakan wang kerana doktor tidak dapat memberi jumlah kos yang tepat.

"Kos pembedahan pertama yang dijalani ketika dia masih bayi dahulu mencecah RM24,000 dan kami bernasib baik kerana menerima subsidi hospital dan hanya perlu membayar RM5,000 sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hutan Jambu, di sini, hari ini.

NUR Farah Aleeya menderita penyakit jantung berlubang sejak lahir dan kini menjadi tersumbat bersama ibunya, Nurul Suhaida ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hutan Jambu. FOTO Siti Rohana Idris
NUR Farah Aleeya menderita penyakit jantung berlubang sejak lahir dan kini menjadi tersumbat bersama ibunya, Nurul Suhaida ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hutan Jambu. FOTO Siti Rohana Idris

Nurul Suhaida berkata, Aleeya perlu menjalani pembedahan pada Isnin ini dan mereka dikehendaki mendaftar masuk ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, esok.

Menurutnya, Aleeya juga sudah menjalani pembedahan membuang 13 batang gigi yang rosak pada bulan lalu bagi mengurangkan komplikasi untuk pembedahan jantung pada Isnin ini.

Dia yang kini sarat mengandung enam bulan berkata, mereka buntu memikirkan cara untuk mencari wang kerana suaminya, Che Mohd Fairul Ahmadi Che Yeah, 38, hanya bekerja sebagai pomen.

"Suami juga tidak dapat bekerja dengan baik sejak dua tahun ini kerana turut mengalami masalah kesihatan dipercayai menghidap angin pasang.

"Saya sebelum ini membantu suami dengan membuat biskut dan menjual secara dalam talian selain turut menjadi 'dropship', namun saya mengalami alahan teruk sejak mengandung menyebabkan aktiviti dikurangkan," katanya.

Menurutnya, selain dibantu saudara mara, mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Aleeya sebanyak RM450 sebulan.

"Apa yang penting adalah pembedahan Aleeya kerana dia ada peluang untuk menjalani hidup normal dan kami akan terus mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah kewangan," katanya.

Katanya, orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Nurul Suhaida di talian 01111664544.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 3:48 PM