Kuala Lumpur: “Saya membawanya datang berniaga bersama-sama, bukan untuk meraih simpati pelanggan atau orang ramai, tetapi mahu mendedahkannya kepada persekitaran luar.

“Jika tidak dia akan terkurung saja dalam bilik rumah kedai yang saya sewa sebagai tempat tinggal dan ia tidak bagus untuk kesihatannya,” kata Johan Md Salleh, 43.

Johan adalah peniaga jalanan menjual patung watak adiwira popular seperti Spiderman dan Captain America yang membawa anak sulungnya dikategorikan orang kurang upaya (OKU) Siti Nor Ashikin, 16, berniaga di hadapan pusat beli-belah Sogo.

Siti Nor Ashikin juga penerima bantuan OKU terlantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sejak 2014.

Isterinya, Saniah Taib, 44, mengikutinya berniaga di kawasan berkenaan hampir lima tahun lalu, manakala dua anaknya Mohd Salman, 15, dan Mohd Shafiq berusia lapan tahun hanya turut serta pada hujung minggu.

“Siti Nor Ashikin ialah OKU sejak dilahirkan di Hospital Butterworth, Pulau Pinang, selain mempunyai masalah saraf, pekak dan jantung berlubang.

“Ramai orang tegur kerana bawa anak (Siti Nor Ashikin), selain pelbagai kata dilemparkan yang adakalanya melukakan hati. Sedangkan mereka tidak tahu tujuan sebenar berbuat begitu,” katanya.

Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berkata, dia memilih menjadi peniaga jalanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya

dan sejak itu tidak boleh melakukan pekerjaan berat.

“Rutin harian berniaga bermula jam 11 pagi hingga 10 malam di hadapan Sogo, kemudian ke Bukit Bintang sehingga jam 2 pagi dan Jalan Petaling dari jam 5 hingga 8 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 10:20 AM
Johan bersama isteri, Saniah dan Siti Nor Ashikin ketika berniaga dekat pusat beli-belah Sogo.
Johan bersama isteri, Saniah dan Siti Nor Ashikin ketika berniaga dekat pusat beli-belah Sogo.