POL (kanan) berbuka puasa bersama rakan sepasukan dan jika berkelapangan akan ke masjid untuk bersolat Tarawih.
POL (kanan) berbuka puasa bersama rakan sepasukan dan jika berkelapangan akan ke masjid untuk bersolat Tarawih.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pembantu dan penganalisis video pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Pol Corpas Cuatrecasas beranggapan berbuka puasa di Malaysia adalah kenangan terindah yang tidak akan luput daripada ingatan sejak memeluk Islam, tahun lalu.

Pol Corpas atau nama Islamnya Abu Bakar mula memeluk Islam pada Februari tahun lalu ketika menabur berbakti bersama pasukan Kelantan FC.

Beliau berkata, kemeriahan sambutan Ramadan di Malaysia cukup dirasai terutama ketika berbuka puasa apabila umat Islam dihidangkan pelbagai juadah dan makanan tradisional masyarakat di negara ini.

Katanya, bulan Ramadan turut mengajarnya erti kesabaran dan lebih menghargai masyarakat kurang bernasib baik kerana setiap individu Islam perlu menahan lapar serta dahaga dari Subuh sehingga terbenamnya matahari.

"Kali pertama berpuasa sudah tentu agak sukar kerana terlalu dahaga. Saya tiada masalah jika tidak makan, namun situasi mencabar apabila tidak boleh minum.

"Tempoh berpuasa pula adalah sebulan dan sudah tentu memeningkan kepala kerana tidak boleh makan serta minum dalam tempoh demikian.

"Namun, Alhamdulillah kerana masyarakat Islam di negara ini banyak menyokong untuk kita terus kuat berpuasa.

"Jika diikutkan banyak makanan kegemaran ketika menyambut bulan puasa. Saya lebih memilih untuk makan roti dan nasi dagang apabila berbuka puasa," katanya.

POL Corpas atau nama Islamnya Abu Bakar mula memeluk Islam pada Februari tahun lalu ketika menabur berbakti bersama pasukan Kelantan FC.
POL Corpas atau nama Islamnya Abu Bakar mula memeluk Islam pada Februari tahun lalu ketika menabur berbakti bersama pasukan Kelantan FC.

Pol yang berasal dari Sepanyol berkata, amalan berpuasa bukan asing baginya sebelum dia memeluk Islam kerana menahan lapar dan dahaga menerusi intermittent fasting untuk kesihatan.

"Sebelum ini saya sudah biasa dengan berpuasa secara intermittent fasting untuk kesihatan, namun kali pertama berpuasa kerana ibadah dan tempoh lebih lama.

"Apa pun saya rasa sangat baik dan mengajar diri untuk bersabar. Malah, ini cara kita untuk lebih mendalami Islam," katanya.

Selain itu, beliau yang hampir lima tahun berada di negara ini mengakui bulan Ramadan tidak mengganggu jadualnya sebagai pembantu jurulatih dan penganalisis pasukan.

"Saya tiada masalah kerana pasukan sudah menyusun jadual khas sepanjang Ramadan, sekali gus tidak ada masalah jika mahu menjalani ibadah puasa.

"Setakat ini, saya berbuka puasa bersama rakan sepasukan dan jika berkelapangan akan ke masjid untuk bersolat Tarawih," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau kini giat mempelajari berkaitan hukum dalam Islam dengan turut mahu mendalami al-Quran dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, ramai yang menyokong dan membantunya untuk mendalami Islam dan pengalaman pertama berpuasa sebagai seorang Muslim cukup menyeronokkan.

Mengikut rekod, Pol memeluk Islam pada awal tahun lalu ketika bersama skuad Kelantan FC sejak 2021.

RAMADAN tidak mengganggu jadual Pol (kiri) sebagai pembantu jurulatih dan penganalisis pasukan.
RAMADAN tidak mengganggu jadual Pol (kiri) sebagai pembantu jurulatih dan penganalisis pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 7:01 AM