Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tahun lalu terpaksa menyambut bulan puasa dalam suasana ala kadar lebih-lebih lagi tidak merasai kemeriahan bazar Ramadan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik Covid-19.

Namun, tahun ini segala-galanya boleh dikatakan terubat buat pemain Sarawak United, R Gopinathan atau nama Islamnya Gopi Rizqi apabila perkara yang boleh dikatakan wajib dilakukan setiap bulan Ramadan akhirnya dapat dilaksanakan selepas memeluk Islam hampir tiga tahun.

Gopi berkata, antara perkara lain yang ditunggu ketika Ramadan adalah untuk menikmati pelbagai juadah berbuka puasa memandangkan tahun lalu keinginannya itu terbatas berikutan tiada bazar Ramadan.

Bekas pemain Pahang dan PDRM itu berkata, tahun kedua berpuasa kali ini lebih 'gagah' berbanding 2020 yang boleh dikatakan lebih mencabar terutama perlu menahan lapar dan dahaga lebih 11 jam selama sebulan.

"Kali ini puasa lebih seronok dan meriah kerana boleh menikmati pelbagai juadah memandangkan sudah boleh ke bazar Ramadan.

"Paling utama boleh ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat Tarawih dan ia adalah pengalaman buat saya yang memasuki tahun ketiga memeluk Islam.

"Sudah pasti paling ditunggu adalah ketika mahu berbuka puasa kerana seharian tidak makan dan kadang-kadang itu agak menguji kesabaran kita apabila melihat makanan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, bulan Ramadan ini juga memberi kesempatan kepadanya untuk belajar lebih mendalam lagi mengenai Islam terutama berkaitan bacaan al-Quran.

"Keluarga isteri banyak mengajar mengenai beberapa perkara berkaitan Islam dan pada tahun ini saya berpuasa bersama mereka. Sudah tentu begitu seronok apabila dapat berbuka puasa bersama," katanya.

Gopi memeluk Islam pada 2019 selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Pejabat Jabatan Agama Islam Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:20 AM