Wanita alami kemurungan digital lepas sering bandingkan pencapaian diri dengan individu lain dalam media sosial.
Wanita alami kemurungan digital lepas sering bandingkan pencapaian diri dengan individu lain dalam media sosial.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: " Saya pernah rasa seperti kehidupan tiada arah tuju, tiada kawan-kawan yang selalu habiskan masa bersama, tiada kehidupan sosial yang indah dan rupa paras menawan seperti orang lain di media sosial."

Demikian luahan Ani (bukan nama sebenar), 21, dibelenggu isu kemurungan digital yang mempunyai rasa membandingkan diri dengan orang lain di sosial media.

Akibat penggunaan digital berlebihan menjadikan dirinya kurang keyakinan, berasa terpinggir dan tiada motivasi dalam hidup.

Wanita yang berasal dari utara itu berkata, dia selalu berasa cemburu dan rendah diri melihat kehidupan serta aktiviti harian orang lain terutama rakan yang dipamerkan di sosial media seperti Facebook dan Instagram.

"Saya rasa insecure melihat orang di media sosial. Pada saya mereka ada kehidupan yang jauh lebih baik daripada saya, malah mempunyai rupa paras yang cantik walaupun saya tahu kadang-kadang ada yang hanya memakai filter.

"Selain itu melihat rakan lain yang berjaya apabila sambung belajar di peringkat lebih tinggi dengan keputusan yang baik juga membuatkan saya lebih rasa kurang keyakinan dan sedih.

"Saya bukan terlalu negatif dan cuba menjadikannya sebagai persaingan sihat sekali gus pembakar semangat untuk belajar tetapi tak boleh, saya akan menjadi down sehingga pernah nyahaktif akaun media sosial," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia mengakui penggunaan digital yang terlalu kerap sehingga lebih tujuh hingga lapan jam sehari menjadi masalah itu semakin serius sejak tamat persekolahan dan menuntut di sebuah universiti swasta.

Katanya, dia tidak menolak media sosial mempengaruhinya, biarpun orang akan mengatakan dirinya terlalu mengikut perasaan atau tidak pandai mengawal diri tetapi baginya 'berperang' dengan perasaan dan emosi sendiri tidak mudah.

"Saya melayari internet setiap hari terutama Instagram dan telefon pintar jarang berenggang dengan saya. Sebenarnya saya cuba untuk tidak bandingkan kehidupan diri dengan orang tetapi sukar. Akhirnya saya tanya kenapa kehidupan saya tak seperti mereka yang dilihat indah saja.

"Ketika ini saya sedang cuba membantu diri dengan satu-satunya cara iaitu mengehadkan penggunaan digital dan kurang aktif di sosial media.

"Saya hanya menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat atau berita saja.

"Saya sekarang banyak menghabiskan masa dengan aktiviti lain seperti membaca buku dan bermain badminton walaupun ia sangat sukar pada mulanya.

"Saya gunakan ilmu dalam bidang kaunseling yang dipelajari di universiti untuk bantu diri supaya saya gembira dengan cara sendiri," katanya.

Derita kemurungan sejak usia 14 tahun

Pergolakan keluarga, rasa diri tidak dihargai, masalah kewangan dan tiada rakan berbual membuatkan wanita ini sering berasa tertekan serta sedih terlampau.

Keadaannya semakin serius selepas kerap membandingkan diri dengan kehidupan orang yang lebih bahagia di media sosial sehingga menyebabkannya kemurungan.

Malah lebih parah, Anita (bukan nama sebenar) berusia awal 20-an juga pernah terfikir untuk membunuh diri kerana berasa lebih baik dia tiada di dunia ini dan kehidupan orang lain lebih baik tanpa dirinya.

Berkongsi kisahnya, Anita yang tidak bekerja dan kini masih menunggu peluang melanjutkan pelajaran mengakui mengalami masalah kemurungan serius ketika berusia 14 tahun selepas memiliki telefon pintar dan kerap melayari media sosial setiap hari.

Menurutnya, dia menghabiskan masa melayari internet antara tujuh hingga lapan jam sehari dan kadang-kadang melebihi tempoh itu hanya untuk menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram serta TikTok dan mengakui dirinya akan sedih melihat kehidupan orang lain.

"Di media sosial, ramai yang mempamerkan kehidupan mereka yang lebih harmoni, bahagia dan indah bukan saja bersama keluarga, malah rakan. Mereka selalu keluar bersama rakan, berbual dan menghabiskan masa dengan aktiviti menyeronokkan bersama meskipun hanya keluar.

"Semua itu saya tiada. Saya tiada kawan seperti itu, malah keluarga juga mempunyai kehidupan masing-masing dan hubungan kami tidak seperti keluarga lain, walaupun anak bongsu tetapi saya tidak manja dan layanan juga tidak seperti anak bongsu lain. Saya rasa tidak dihargai.

"Apabila melihat kehidupan orang lain yang lebih bahagia saya berasa sangat sedih, tertekan dan tertanya kenapa saya tidak merasai perkara itu, tetapi saya tidak berasa cemburu cuma sedih terlampau hingga saya pernah terfikir lebih baik saya tiada di dunia ini," katanya.

Katanya, ibu bapanya juga akhirnya berpisah sejak lebih lima tahun lalu dan dia tinggal bersama adik-beradik yang sudah berkahwin namun mengakui kehidupannya tidak sebebas wanita lain yang melalui fasa kehidupan dengan pelbagai pengalaman.

"Kehidupan saya banyak di rumah dan masa terluang memang digunakan untuk melayari internet. Saya cuba menghalang diri daripada melayari dan melihat akaun sosial orang lain, tetapi tak boleh walaupun hati saya terasa sangat sedih.

"Kadang-kadang saya menangis seorang diri dan dalam seminggu dua hingga tiga kali saya rasa down dan empat tahun lalu saya pernah ada rasa mahu bunuh diri kerana terlalu memikirkan dan membandingkan kehidupan saya dengan orang lain," katanya.

Anita berkata, dia tidak pernah mendapatkan rawatan kemurungan dan mengakui dia cuba mengatasi masalah itu dengan mengurangkan penggunaan Internet terutama media sosial setiap hari.

"Saya tahu mengenai kemurungan digital dan sebab itu saya cuba had penggunaan digitalisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 12:00 PM