SENARAIKAN pencapaian harian anda.
SENARAIKAN pencapaian harian anda.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Kalau akhir-akhir ini anda berasa hidup sudah hilang keindahan, tidak lagi seronok, cepat letih, emosi pula berubah-ubah dan cepat marah, segeralah dapatkan bantuan. Ini antara tanda anda mengalami tekanan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan kehidupan secara keseluruhan ter­utama sikap anda terhadap orang tersayang.

Jangan biarkan keadaan ini terus menguasai hidup dan menganggap ia akan hilang sendiri, apatah lagi jika anda kerap berasa sedih tanpa sebab dan mula kecewa dengan diri sendiri. Perkara ini jika dibiarkan berlanjutan hanya akan mendekatkan kita dengan masalah yang lebih besar iaitu kemurungan.

Baru-baru ini saintis mendapati orang yang dikenal pasti mengalami masalah kemurungan teruk mempunyai kecenderungan tiga kali lebih tinggi untuk terbabit dalam jenayah seperti merompak, menyerang dan melakukan keganasan seksual.

Menurut ketua penyelidik di jabatan psikiatri Universiti Oxford Seena Fazel, kajian ke atas 47,000 responden itu mendapati kadar jenayah yang dilakukan individu murung tidaklah sehebat jenayah pesakit skizofrenia atau bipolar kerana kurang­nya penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Kemurungan adalah antara masalah mental yang paling lazim, dialami lebih 350 juta orang di seluruh dunia. Rawatan biasanya membabitkan kaedah perubatan, terapi psikologi atau gabungan kedua-duanya.

Andrea Cipriani, pe­nyelidik klinikal dan perunding psikiatri di Oxford yang tidak terbabit secara langsung dalam kajian berkenaan berkata, hasil kajian menunjukkan betapa pentingnya untuk pakar perubatan memberitahu pesakit murung bahawa pemikiran dan perlakuan ganas boleh menjadi sebahagian daripada penyakit mereka.

“Apabila pesakit dapat bercakap dan meluahkan perasaan, mereka akan berasa lebih tenang. Malah mereka juga akan tenang apabila mengetahui masalah ini boleh dirawat,” katanya.

Kajian disiarkan dalam jurnal Psikiatri Lancet itu meneliti rekod perubatan dan jenayah dilakukan 47,158 orang di Sweden yang disahkan mengalami kemurungan berbanding 898,454 individu tidak mengalami kemurungan.

Dalam tiga tahun, pe­nyelidik mendapati pesakit murung mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk membahayakan orang lain atau diri sendiri.

Malah penyelidik juga melihat kepada faktor lain seperti sejarah perlakuan ganas, pernah cuba membahayakan diri sendiri, psikosis dan penyalahgunaan dadah - yang semuanya boleh meningkatkan risiko keganasan dalam kalangan pesakit murung.

Penyalahgunaan dadah termasuklah dadah pesta seperti pil yang diambil ketika berseronok - tidak kira apa jenis atau namanya - juga boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah mental.

Tentulah menyedihkan jika ia berlaku dalam keluarga kita. Lebih sedih apabila si anak mula mencederakan ibu bapa sendiri kerana kemurungan. Keluarga akan pincang jika kita sendiri yang mengalami kemurungan. Jadi jika anda mula mengalami perubahan emosi yang melampau dan berpanjangan, segeralah dapatkan bantuan.

Kajian mendapati wanita mempunyai kemungkinan 70 peratus untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki. Faktor biologi, kitaran hidup, hormon dan psikologi semuanya menjadi penyumbang kepada masalah kemurungan ini. Contohnya wanita yang baru melahirkan anak berisiko mengalami kemurungan pospartum akibat beberapa faktor iaitu perubahan hormon, bentuk fizikal dan tanggungjawab baru untuk menjaga anak.

Selain itu, belajarlah cara untuk menggembirakan diri sendiri walaupun saban hari berdepan dengan tekanan. Semua orang ada tekanan hidup masing-masing dan di sinilah kita perlu berfikir dengan bijak atau kreatif untuk menanganinya.

Disenaraikan beberapa langkah yang penulis kutip di sana-sini untuk dijadikan panduan bersama. Buat senarai sendiri perkara yang boleh menceriakan anda. Kadangkala perkara yang anda lihat remeh dan terlalu kecil memberi impak besar kepada kesihatan mental.

Bersenam

Pilih jenis senaman yang anda gemari. Ada orang suka berenang dan menjadikannya senaman terapi minda dan fizikal. Kalau dapat, lakukan setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Seorang teman penulis gemar menari dan dia memuat turun klip video muzik kumpulan penyanyi Korea yang diminatinya. Selepas beberapa minggu berlatih menari (meniru gaya tarian kumpulan berkenaan), dia mengakui bukan saja bertambah ceria malah berat badannya juga turun - yang tentu saja membuatkan teman ini tambah gembira.

Ada banyak kajian membuktikan bahawa bersenam bukan saja baik untuk kesihatan tetapi ia juga memberi kesan positif kepada emosi. Apabila kita bersenam, badan akan menghasilkan hormon endorfin dan serotonin yang membuatkan kita berasa gembira. Inilah juga yang dirumuskan oleh pakar psikologi Universiti Duke, Dr James A Blumenthal selepas mengetuai kajian kesan senaman ke atas lebih 200 pesakit murung yang diarahkan bersenam setiap hari.

Rekodkan perkara yang membuat anda rasa gembira

Berhenti daripada memikirkan ‘mengapa saya rasa sedih? Saya rasa tidak berguna, Bila saya akan rasa gembira? atau semua perkara yang negatif. Sebalik­nya alihkan tumpuan anda kepada perkara baik atau gembira yang berlaku dalam hidup kita setiap hari - tidak kira sekecil mana pun.

Buat satu jurnal atau buku rekod kegembiraan. Senaraikan perkara gembira ini. Contohnya - bersenam, dapat berbual dengan rakan, masak makanan kegemaran suami, isteri atau anak, melihat senyuman manis pasangan atau mencium tangan suami.

Percayalah, dengan membuat senarai ini, lama-kelamaan aura positif akan bertambah banyak dalam diri anda. Malah secara tidak langsung ia akan mengajar kita menghargai apa yang ada di sekeliling kita. Pakar psikologi berkata, membuat rekod atau jurnal penghargaan seperti ini akan membuat kita lebih positif dan bertenaga. Apabila kita positif, masalah tidak lagi akan menjadi beban pada fikiran.

Senaraikan pencapaian harian

Memang diakui, ada hari kita agak kecewa dengan prestasi harian. Tapi jangan jadikan ia sebagai perosak emosi. Senaraikan pencapaian harian anda walaupun ia kecil dan dianggap remeh. Contohnya sarapan di rumah sebelum pergi kerja. Ya, bersarapan di rumah juga satu pencapaian kerana tidak ramai yang dapat melakukannya.

Antara contoh lain ialah berjaya bersenam, menelefon ibu bapa atau menghantar e-mel mahupun pesanan ringkas yang ‘manis’ kepada pasangan. Bagi yang beragama Islam, kita boleh memasukkan kejayaan menunaikan solat fardu pada awal waktu dalam senarai ini. Jika selama ini kita sering melengahkan solat, apa kata mulai hari ini, cuba solat pada awal waktu contohnya untuk Subuh. Kemudian kita boleh cuba untuk memanjangkan senarai bagi solat yang lain.

Beribadat

Menunaikan ibadat khususnya solat adalah meditasi terbaik untuk menenang­kan fikiran. Setiap bacaan dan pergerakan memberi impak besar dalam diri kita. Untuk rasa tenang, cubalah memahami bacaan dalam solat dan bacalah perlahan-lahan dengan sepenuh hati.

Ramai pendakwah memberitahu ketika anda berasa susah hati, ambillah al-Quran (yang ada terjemahan), bukalah mana-mana halaman dan bacalah ayat yang tertera di depan anda. InsyaAllah, anda akan temui jawapan kepada masalah yang dihadapi. Namun janganlah membaca al-Quran ketika anda ada masalah saja, sebaliknya jadikan ia sebagai amalan harian.

Makan sayur dan buah

Ya, ramai antara kita yang tidak berjaya mencapai saranan makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah setiap hari. Dua sumber makanan ini membantu mengekalkan kesihatan yang secara tidak langsung akan membuatkan kita rasa bertenaga dan segar. Orang yang menghidap penyakit akan lebih cepat berasa tertekan berbanding individu sihat.

Sertai aktiviti sosial atau kegiatan masyarakat

Individu yang murung biasanya memilih untuk mengasingkan diri. Jadi, ambil langkah awal dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan atau sukarela. Kerja sukarela misalnya memberi impak positif kepada sukarelawan kerana ia akan membuatkan kita berasa gembira apabila melihat kegembiraan orang lain.

Memaafkan diri sendiri dan orang lain

Setiap malam sebelum tidur, cuba renung­kan sejenak apa yang kita lakukan sepanjang hari. Maafkan diri sendiri andai kita ada lakukan perkara yang kurang baik dan berazamlah untuk memperbaiki diri. Maafkan juga orang sekeliling yang mungkin tidak sedar membuat kita terasa. Bersangka baiklah kepada mereka kerana dengan cara ini kita akan lebih mudah memberi kemaafan sekali gus menenang­kan perasaan sendiri.

Senyum

Jangan lupa untuk menghadiahkan senyuman kepada semua ahli keluarga. Senyuman anda bukan saja menceriakan hati pasangan dan anak-anak malah ia juga membuat hati anda sendiri berasa tenang dan gembira.

Apabila berada di tempat kerja, lemparkan senyuman kepada semua orang yang anda temui. Ya, langkah yang tidak perlu sebarang modal ini mempunyai ‘kuasa besar’ dalam menjadikan hidup anda lebih ceria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 2:32 PM