KANAK-kanak berumur 12 tahun ke atas luang lebih banyak masa melayari media sosial dan platform penstriman video. - FOTO Google
KANAK-kanak berumur 12 tahun ke atas luang lebih banyak masa melayari media sosial dan platform penstriman video. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENULARAN Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental serta fizikal golongan dewasa, malah turut memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.

Mereka yang dahulunya bebas ke sekolah dan melakukan aktiviti luar serta beriadah, kini terpaksa menjalani kehidupan yang serba terbatas.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan kanak-kanak beralih kepada dunia digital dan menghabiskan lebih banyak masa dalam talian.

Begitupun, dunia digital bukan semuanya indah kerana jika disalah guna, ia boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan kanak-kanak.

Menyedari hakikat itu, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengadakan kaji selidik khas, Kehidupan Dalam Talian Kanak-Kanak Semasa Covid-19: Nilai dan Cabaran (2021) yang memberikan perincian mengenai kehidupan digital belia ketika pandemik.

Inisiatif itu adalah kaji selidik ketiga Yellow Heart Digi yang mengemukakan pengalaman golongan muda dalam aspek keselamatan dalam talian, kesejahteraan mental dan pemupukan kemahiran masa hadapan.

Ia turut membabitkan Universiti Sunway sebagai rakan penyelidikan dengan penyertaan 1,746 pelajar berumur bawah 21 tahun di seluruh negara bermula dari Ogos hingga September lalu.

Kajian itu mendapati sebanyak 71 peratus responden (kanak-kanak) meluangkan lebih banyak masa dengan skrin sejak pandemik melanda.

Selain itu, seramai 89 peratus kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam kajian itu mengakui menggunakan telefon pintar untuk melayari internet manakala 36 peratus responden menggunakan komputer riba dan hanya 22 peratus menggunakan komputer meja.

Responden yang lebih muda pula didapati menghabiskan sebahagian besar masa untuk e-pembelajaran manakala kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas, mula meluangkan lebih banyak masa melayari media sosial dan platform penstriman video untuk berhubung dengan rakan selain mengikuti trend terkini.

BULI siber masih jadi isu besar yang dihadapi kanak-kanak. - FOTO Google
BULI siber masih jadi isu besar yang dihadapi kanak-kanak. - FOTO Google

KANAK-kanak juga alami kemurungan ketika pandemik melanda. - FOTO Google
KANAK-kanak juga alami kemurungan ketika pandemik melanda. - FOTO Google

Kaji selidik itu juga mendapati sebahagian besar responden bersetuju bahawa buli siber masih menjadi isu besar yang dihadapi, namun buli dalam talian sedikit berkurangan.

Dianggarkan lapan peratus daripada responden mengalami buli siber sebelum pandemik, tetapi hanya lima peratus mengatakan mereka mengalami buli siber sejak pandemik bermula.

Separuh daripada responden juga menghadapi buli dalam talian sekurang-kurangnya sekali seminggu, terutama daripada media sosial dan platform pemesejan.

Hanya 42 peratus mengatakan bahawa mereka sudah menerima beberapa bentuk bimbingan untuk melindungi diri daripada buli dalam talian, terutama daripada ibu bapa, penjaga atau inisiatif yang dikendalikan pihak sekolah.

Dalam pada itu, 80 peratus kanak-kanak bawah 10 tahun melaporkan bahawa mereka tidak menerima sebarang bentuk latihan perlindungan buli siber.

Hal itu secara tidak langsung menekankan akan keperluan kolaborasi yang lebih bersepadu oleh kerajaan, industri, penjaga, warga pendidik dan ibu bapa untuk meningkatkan inisiatif melindungi kanak-kanak daripada risiko buli dalam talian dengan lebih baik.

Meskipun kaji selidik melaporkan bahawa secara amnya, pelajar sekolah di Malaysia menghargai lebihan masa bersama keluarga ketika pandemik, namun masih terdapat sentimen negatif dalam kalangan mereka kerana kebanyakan kanak-kanak tidak dapat bersosial dengan rakan mereka di sekolah.

Di samping itu, apabila ditanya mengenai perasaan mereka sepanjang pandemik secara amnya, hampir separuh daripada responden menyatakan mereka tidak dapat merasai perasaan positif dalam hidup, dengan 44 peratus daripadanya mengalami gejala kemurungan yang ringan hingga sangat teruk seperti yang ditakrifkan mengikut Ujian Saringan Minda Sihat (Depression Anxiety Stress Scale).

Mengulas lanjut penemuan itu, Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, hasil kajian terbabit membimbing inisiatif pihaknya pada masa akan datang untuk menambah baik kesejahteraan digital belia memandangkan penggunaan digital kini adalah tunjang utama dalam kehidupan mereka.

Kata Philip, sebagai penyedia perkhidmatan digital, Digi mempunyai tanggungjawab untuk mengenal pasti risiko dan bahaya digital yang mungkin dihadapi kanak-kanak dalam talian serta melindungi mereka.

"Kaji selidik ini memberi peluang untuk memupuk kemahiran masa hadapan dan mengadakan lebih banyak program mengenai pembinaan kapasiti kanak-kanak supaya dapat meningkatkan daya tahan digital mereka serta menggalakkan penyertaan digital.

PERLU lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih kondusif, selamat dan sihat untuk anak-anak. - FOTO Google
PERLU lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih kondusif, selamat dan sihat untuk anak-anak. - FOTO Google

"Hasil kaji selidik ini juga menekankan keperluan untuk lebih banyak kolaborasi dilakukan dengan pihak yang berkongsi matlamat sama bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih kondusif, selamat dan sihat untuk anak-anak kita.

"Dalam usaha meneruskan advokasi ini, kami mengalu-alukan lebih ramai rakan kongsi untuk turut serta bagi memaksimumkan impak positif kepada masyarakat," katanya.

Dalam perbincangan khas yang diadakan secara maya, Pengarah Projek Khas, Pejabat Canselori yang juga Profesor Madya Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Hayat Universiti Sunway, Dr Ooi Pei Boon berkata, kajian itu menunjukkan bahawa mereka yang menghabiskan banyak masa dengan skrin ketika Covid-19 mengalami 1.3 kali lebih banyak rasa murung.

Bagi mereka yang menghabiskan lebih banyak masa dengan skrin juga, risiko mereka mengalami gejala kemurungan meningkat sebanyak lima kali ganda.

"Penemuan kami juga menunjukkan bahawa mereka yang dibuli dalam talian sebelum atau sejak Covid-19 bermula mengalami gejala kemurungan yang lebih tinggi.

"Justeru, ibu bapa atau penjaga boleh mengadakan perbincangan mengenai keselamatan dalam talian dan bekerjasama dengan anak-anak untuk mencari jalan penyelesaiannya," katanya.

Sementara itu, Digi turut memperjuangkan daya tahan digital dan internet yang lebih selamat untuk semua sejak sedekad lalu melalui program utamanya Internet Selamat.

Ia memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran masa hadapan digital.

Antara usaha lain di bawah inisiatif Yellow Heart termasuk portal sehenti untuk keperluan keselamatan dan bahan pendidikan serta inisiatif Future Skills For All yang memperkayakan pengalaman pendidikan bagi pelajar sekolah menerusi pembangunan modul pembelajaran digital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 7:00 AM