PASTIKAN hantaran dibuat di media sosial bersifat positif dan melayani orang lain dengan baik sebagaimana anda mahu dilayani.
PASTIKAN hantaran dibuat di media sosial bersifat positif dan melayani orang lain dengan baik sebagaimana anda mahu dilayani.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MEDIA sosial membentuk sebahagian daripada hubungan penting sesama manusia pada hari ini.

Pengguna media sosial sering berkongsi pengalaman dan kenangan serta perkembangan hidup mereka menerusi pelbagai platform termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan terbaharu, Threads.

Setiap aplikasi berkenaan sentiasa menambah baik ciri-cirinya bagi meningkatkan tahap penggunaan.

Dalam dunia yang semakin sukar memisah dunia nyata daripada dunia maya, bagaimana media sosial mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia dan tanggapan mereka terhadap nilai diri?

Kaji Selidik Wellness Begins At Home (Kesejahteraan Bermula di Rumah) 2023 oleh Gardenia KL baru-baru ini mendapati 32.4 peratus daripada responden berusia antara 26 hingga 30 tahun cenderung berasa tertekan melihat hantaran rakan berkait kehidupan berbanding responden daripada kumpulan umur lain (23 peratus).

Data itu menunjukkan trend membimbangkan berkenaan kesihatan mental pengguna media sosial di negara ini.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun berkata, pihaknya percaya perbincangan kesihatan mental sewajarnya membabitkan semua golongan peringkat umur, daripada yang muda sehinggalah kepada warga emas.

"Inilah faktor mendorong inisiatif Kesejahteraan Bermula di Rumah kami, yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan unit keluarga dan setiap insan di rumah.

KETAGIHAN dalam kalangan pengguna media sosial dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan dan penyakit lain.
KETAGIHAN dalam kalangan pengguna media sosial dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan dan penyakit lain.

"Hasil kaji selidik itu jelas menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran dan keterbukaan bagi membincangkan punca tekanan mental dan cara lebih sihat untuk menangani cabarannya," katanya.

Menurut kaji selidik berkenaan, responden mengalami masalah kewangan lazimnya mengelak melayari media sosial dengan harapan mengurangkan perasaan sedih terhadap situasi mereka.

Data itu selari dengan hasil kaji selidik Kekayaan Moden 2019 oleh Schwab yang dilaporkan dalam artikel di CNBC.

Kaji selidik itu mendapati 49 peratus daripada golongan milenial mendakwa media sosial memberi kesan terhadap perbelanjaan dalam aktiviti mahal.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, ketika pandemik Covid-19 melanda, masyarakat belum bersedia menghadapi kesannya daripada segi fizikal dan mental.

Katanya, kebanyakan orang terputus hubungan dengan rakan dan sahabat rapat mereka, terutama apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan.

"Diharap perbincangan kesihatan mental dapat dilakukan menerusi platform Kesejahteraan Bermula di Rumah untuk tahun akan datang kerana kesejahteraan mental satu proses dan ia perlu disemai bermula dari rumah," katanya.

Sementara itu, ramai tidak tahu media sosial sebenarnya boleh dijadikan alat bermanfaat untuk menyokong kesihatan mental.

Antara panduan menggunakan media sosial secara positif untuk kesihatan mental lebih baik adalah memastikan hantaran dibuat bersifat positif dan melayani orang lain dengan baik seperti anda mahu dilayani.

Elak menilai harga diri berasaskan 'like' dan memahami kecantikan dan kejayaan boleh dirai dalam pelbagai cara.

Pada masa sama, MIASA sedia menawarkan penilaian dan rundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapeutik, perkhidmatan pakar psikologi dan sokongan rakan setara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 6:20 AM