Norhaslina Abd Hamid giat membuat perkongsian mengenai kesihatan mental di Tik Tok. FOTO Ihsan IG Norhaslina Abd Hamid
Norhaslina Abd Hamid giat membuat perkongsian mengenai kesihatan mental di Tik Tok. FOTO Ihsan IG Norhaslina Abd Hamid
Noor Hidayah Tanzizi

Taiping: "Saya cuba menerima diri ini supaya kuat berdepan semua stigma kerana ketika doktor sahkan (penyakit) ini.

"Saya tak tahu macam mana mahu berdepan dengan diri sendiri apatah lagi orang sekeliling kerana stigma negatif terhadap penyakit mental," luah Norhaslina Abd Hamid.

Norhaslina yang dikenali sebagai El Haslina, 26, kini berjuang 'melawan' kemurungan dengan psikosis dan borderline personality disorder (kecelaruan personaliti) sejak 2018.

El Haslina juga mendapat perhatian di TikTok apabila dia giat berkongsi mengenai kesihatan mental serta pengalamannya sebagai pendedahan mengenai penyakit berkenaan.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, penyakit itu menjadikannya mengasingkan diri, hilang minat dengan aktiviti disukai, kurang selera makan sehingga kehilangan berat badan sehingga 10 kilogram (kg) dalam masa sebulan.

Menurutnya, dia akan berasa sedih berpanjangan tanpa sebab selain takut dan gelisah tanpa kawalan, berasa tertekan yang mengganggu kehidupan harian sehingga menyukarkannya untuk fokus dalam sesuatu perkara.

"Kadang-kadang bangun pagi tenaga sudah tiada terutama apabila tak dapat tidur malam yang menganggu emosi dan mental.

"Selain itu saya juga tiba-tiba berdebar, rasa tercekik dan tidak boleh bernafas terasa seperti ada ancaman buruk yang akan berlaku.

"Keadaan sekarang jika terlalu murung saya akan 'diserang' halusinasi dan akan nampak apa yang orang lain tak nampak, dengar bunyi yang orang lain tak dengar, boleh hidu bau yang orang lain juga tidak dapat bau.

"Kadang-kadang tercium bau darah, terdengar suara orang panggil saya dan kadang-kadang nampak orang perempuan dan lelaki yang jahat.

"Sekarang saya masih dalam rawatan di Hospital Taiping dan masih perlu makan ubat," katanya yang tinggal di Changkat Jering, di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaannya tidak pernah membahayakan orang lain tetapi boleh membahayakan dirinya sendiri dan untuk mengelakkan dirinya dalam keadaan itu, dia perlu menyedari waktu yang dia tidak boleh duduk seorang serta berada dalam lingkungan dan sistem sokongan yang positif.

"Apabila sudah ada anak, suami lah sistem sokongan saya dan akan membantu menjaga anak apabila saya sudah mula berasa simptom penyakit berkenaan," katanya.

El Haslina berkata, pada mulanya dia juga sukar percaya yang dirinya diuji dengan masalah berkenaan, malah mengakui turut takut dengan pandangan orang sekeliling, masa depan, kerjaya dan hubungan dengan masyarakat.

Bagaimanapun suri rumah dan penulis buku itu berkata, dia menguatkan semangat untuk tidak menyerah diri dan terus terjerat dengan masalah itu.

"Saya mahu sembuh daripada penyakit mental ini dan sedar yang saya tak boleh duduk saja dalam bilik dengan rancangan buruk untuk nyawa saya, saya tak boleh rasa 'jemu' jadi pesakit yang tidak ada usaha untuk sembuh," katanya.

Katanya, justeru itu dia memilih untuk terus bersifat terbuka mengenai penyakitnya kerana dia sudah penat berdepan dengan individu yang 'menjatuhkan' pesakit mental.

"Saya rasa apabila diri ini sendiri sebagai pesakit mental tak ada usaha untuk beritahu orang tentang kewujudan penyakit ini, saya nampak sampai bila-bila orang akan beranggapan penyakit mental ini hanya dibuat-buat atau lemah iman.

"Saya buang semua perasaan malu, rendah diri dan takut (untuk berkongsi kesedaran di TikTok) sebab saya memerlukan banyak sistem sokongan demi menyelamatkan nyawa sendiri," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai guru swasta.

Wanita cekal itu berkata, sebagai pejuang masalah itu, dia yakin orang normal tidak mampu memahami dengan mendalam mengenai penyakit mereka, namun cuma berharap lebih ramai orang mempunyai kesedaran penyakit berkenaan.

"Ia supaya kita sama-sama dapat menghapuskan stigma terhadap penyakit mental. Kita semua lebih terbuka bercakap tentang masalah ini kerana penyakit mental boleh berlaku kepada keluarga, kawan, anak dan setiap individu.

"Jadi sekurang-kurangnya apabila kita cakna dengan penyakit itu kita dapat menyelamatkan banyak nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 6:01 PM