Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB). FOTO Saifullizan Tamadi
Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB). FOTO Saifullizan Tamadi
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Berbaki kurang daripada 48 jam untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menyatakan beliau 'sedikit' sahaja yang tinggal untuk memasuki sepenuhnya kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, beliau akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk memasuki seluruh kawasan di Kuala Kubu Baharu menjelang tempoh berkempen yang akan tamat pada Jumaat.

"Saya tak boleh cakap (sudah capai kawasan untuk berkempen) 100 peratus. Tapi mungkin ada sedikit lagi.

"Kita akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh sepanjang (14 hari) kempen ini," katanya selepas sesi walkabaout di Pekan Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin.

Mengulas lanjut, Sock Tao berkata, sepanjang tempoh berkempen, beliau melihat penerimaan pengundi di Kuala Kubu Baharu amat baik terhadapnya, selain menggesa semua pihak untuk turun mengundi pada Sabtu ini.

"Jika diberi peluang, saya ingin mempertingkatkan perlindungan sosial wanita dengan dasar-dasar kerajaan negeri Selangor dan bantuan pasti akan sampai kepada masyarakat Kuala Kubu Baharu secara am terutamanya golongan wanita dan anak muda," katanya.

Sementara itu, Wan Azizah pula menyifatkan Sock Tao sebagai penerus kepada kesinambungan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu sebelum ini, Lee Kee Hiong.

Beliau juga menggesa agar semua pengundi untuk turun mengundi beramai-ramai Sabtu ini dan tidak memboikot PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, PRK yang diadakan di Kuala Kubu Baharu amat berbeza dengan boikot yang dilakukan orang ramai terhadap sesetengah produk yang dikaitkan dengan Israel.

"Jangan lepaskan peluang mengundi beramai-ramai. Ini tanggungjawab kita. Sebab apa? Kadang-kadang kita akan menyesal selepas itu.

"(Selain itu) janganlah boikot (PRK Kuala Kubu Baharu). (Boikot) yang Israel itu lain, amat berbeza," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Dalam PRK kali ini, Sock Tao bakal ditentang oleh Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:33 PM