Zatul Iffah Zolkiply


Besut: "Saya mula rasa tidak sedap hati dan merasa sesuatu dengan keadaan anak apabila menerima panggilan doktor berulang kali daripada ketika dalam perjalanan ke hospital di Seremban.

"Namun saya kuatkan hati kerana tidak mahu isteri, Hamsah Omar, 52, panik," kata Wan Hussin Wan Ishak, 61.

Wan Hussin adalah bapa kepada atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu Wan Muhammad Haikal, 21, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Anak keempat daripada lima beradik itu disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Menurutnya, dia bersama isteri bertolak ke Seremban kira-kira jam 11.30 malam dan tiba di HTJ pada jam 5 pagi tadi.

WAN Hussin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Selising. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
WAN Hussin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Selising. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Katanya, sepanjang perjalanan mereka tidak putus-putus berdoa dan berharap ada keajaiban walaupun hati tidak tenteram apabila terlalu kerap menerima panggilan daripada pihak hospital.

"Sebagai seorang bapa, mesti ada rasa bimbang tetapi sebab saya pergi dengan isteri. Kalau saya ikut perasan takut, dia lebih lagi, jadi saya perlu kuat dan tidak terlalu melayan perasaan.

"Akhirnya rasa tidak sedap hati itu terjawab apabila dimaklumkan anak sudah tiada. Memang sedih tapi kita reda sebab kita tahu semua orang akan pergi ke sana dan sudah sampai ajalnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Selising di sini, hari ini.

HAMSAH (kanan) ditenangkan sanak-saudara yang menziarahi keluarga itu hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
HAMSAH (kanan) ditenangkan sanak-saudara yang menziarahi keluarga itu hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Wan Hussin berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada awal Januari lalu.

Katanya, arwah ada memaklumkan akan pulang ke kampung selepas pertandingan berkenaan namun tidak sangka hanya jasad anaknya yang pulang.

"Saya tidak salahkan mana-mana pihak dan reda dengan kejadian menimpa kerana ia berlaku di luar kawalan," katanya

Jenazah Wan Muhammad Haikal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Selising di sini selepas solat Isyak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 8:21 PM