Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Rata-rata pengusaha tanaman di Kampung Alor Ketitir dekat Merchang di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila tanaman diusahakan mereka musnah akibat banjir.

Kebanyakan mereka memaklumkan sudah biasa dengan banjir yang berlaku saban tahun namun kali ini kedatangan bencana itu lebih awal daripada biasa.

Ia menyebabkan ada antara mereka terpaksa berputih mata kerana tidak sempat mengutip hasil tanaman sehingga ada yang menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

Tinjauan NSTP mendapati kebanyakan pengusaha di kampung berkenaan mengusahakan tanaman jagung, cili, terung dan tembikai.

Ada antara mereka sempat mengutip hasil sebelum kebun ditenggelami air ketika banjir.

Pengusaha kebun cili, Rashid Awang, 65, berkata, kampung berkenaan memang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

"Cuma tahun ini agak teruk sebab kedalaman air lebih tinggi daripada biasa apabila mencecah hampir satu meter malah ada antara pokok ditenggelami air.

"Memang terkejut apabila melihat kira-kira 2,000 pokok cili yang diusahakan musnah namun saya bernasib baik apabila sempat mengutip sebahagian daripada hasil pada Oktober lalu.

"Jika tidak, tentu saya menanggung lebih banyak kerugian namun apa yang berlaku ada hikmahnya dan saya reda dengan ujian diberikan," katanya yang menanggung kerugian hampir RM6,000.

Rashid yang mengusahakan tanaman cili sejak lebih 30 tahun lalu turut mengusahakan tanaman jagung di atas tanah berkeluasan 0.40 hektar.

"Tanaman jagung memang tidak dapat diselamatkan sebab saya tidak sempat mengutip hasil.

"Bukan saya sahaja yang tidak sempat mengutip hasil tanaman jagung tetapi rakan yang lain turut mengalami nasib sama.

"Jadi saya berharap kerajaan dapat membantu bagi membolehkan kami mengusahakan kembali kebun sebaik tengkujuh berakhir," katanya.

RASHID menunjukkan pokok cili yang ditanam di kebun di Kampung Alor Ketitir musnah akibat banjir. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
RASHID menunjukkan pokok cili yang ditanam di kebun di Kampung Alor Ketitir musnah akibat banjir. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 2:26 PM